Pasangan Introvert

Assalamualaikum wbt, nama saya Luqman, berumur 27 tahun, anak jati Perak, bekerja sebagai penjawat awam di Johor Bahru.

Kebelakangan ini saya terbaca beberapa perkongsian tentang introvert. Kali ini giliran saya pula ingin berkongsi. Sebagai intro saya nak maklumkan yang saya baru berkahwin 7 bulan, isteri merupakan seorang ustazah yang mengajar sekolah agama.

Kami berdua sebaya umur, saya berkenalan dengan isteri sewaktu di selangor, berjumpa beberapa kali kerana terlibat dalam program antara sekolah, tidaklah terlalu rapat, namun selepas 10 tahun tidak berjumpa, akhirnya bertemu semula selepas saya & isteri tamat pembelajaran peringkat ijazah sarjana muda.

Saya merupakan pelajar lepasan universiti tempatan, isteri pula lepasan universiti di luar negara. Nak dijadikan cerita selepas tamat belajar saya berjumpa dengan pihak keluarga si isteri untuk menyatakan hasrat, alhamdulillah hasrat saya diterima baik oleh ahli keluarga beliau.

Satu waktu telah ditetapkan untuk saya mengikat tali pertunangan. Ibu telah menyarungkan cincin tunang pada bakal isteri ketika itu. Maka perbincangan dari kedua belah keluarga pun bermula. Beberapa pesanan yang saya terima oleh ahli keluarga belah bakal isteri antaranya ialah cari pekerjaan tetap & belajar berdikari.

Sebenarnya waktu saya bertunang saya bekerja sendiri, agak lama menganggur kerana belum dapat pekerjaan tetap setelah bergraduasi. Sedangkan bakal isteri ketika itu telah dapat pekerjaan sebagai guru sejurus tamat belajar.

Mungkin rezeki bertunang, ahamdulillah selepas sebulan bertunang saya mendapat tawaran bekerja di sektor awam dengan gaji permulaan + elaun tambahan mencecah RM4k sebulan, bermula itu saya berpindah dari perak ke johor.

Genap 5 bulan bekerja saya membeli sebuah kereta sedan, memerlukan kenderaan berbumbung kerana jarak dari kuaters & tempat kerja agak jauh, mendapat tentangan dari ahli keluarga & rakan2 kerana saya membeli kereta dalam keadaan baru sahaja memulakan kerjaya, tapi saya bertekad juga sebagai satu pembakar semangat untuk bekerja.

Sambung semula cerita pasal tunang tadi, selepas 5 bulan bertunang akhirnya ahli keluarga pihak perempuan sudah memberikan hint & soalan bilakah cadangan tarikh untuk langsungkan pernikahan, kerana ketika itu, keluarga pihak perempuan sudahpun tahu yang saya telah bekerja & bercadang untuk terus tetapkan tarikh. Selepas hampir 10 bulan mengikat tali pertunangan, akhirnya tibalah waktu saya bernikah.

Betullah apa yang dikata, bila kita dah duduk sebumbung, tidur sekatil, makan sepinggan barulah kita mengenali wajah pasangan kita yang sebenar, walaupun selalu orang cakap, dah kahwin 10 tahun pun belum tentu kita kenal pasangan kita sepenuhunya, inikan pula baru 7 bulan. Namun apa yang nak dikongsikan sedikit menyedihkan bagi saya sebagai seorang suami.

Haa baru nak masuk isi cerita, perwatakan isteri saya merupakan seorang yang comel, lemah lembut, sopan santun memang cair lah kalau tengok tu. Tapii, semakin hari, semakin menonjol perangai sebenarnya bila duduk bersama, sehinggalah saya berjumpa serta rujuk dengan beberapa orang motivator & hadir sesi kaunseling, saya dapat tahu isteri saya seorang yang introvert.

Untuk makluman saya & isteri masih duduk berjauhan (pjj) saya bekerja di JB, si isteri pulak berkerja di petaling jaya, isteri duduk dirumah keluarga beliau. Saya hanya berjumpa isteri 2 minggu atau 3 minggu sekali sahaja dalam sebulan.

Namun, menjadi cabaran bagi saya apabila isteri merupakan seorang introvert & sangat pendiam. Isteri memang tidak langsung pandai untuk memulakan perbualan. Kami jarang berhubung, bila nak berhubung semuanya saya yang mulakan, bermula dengan tanya khabar & sebagainya. Isteri tak pernah langsung tanya khabar saya & tanya saya tengah buat apa, macam orang baru2 nak bercinta lah kan.

Selepas 3 bulan bernikah, saya jadi stress memikirkan masalah isteri, isteri yang tak pandai berkomunikasi, tak pandai nak mulakan perbincangan, tapi macam mana boleh mengajar pulak kan?, tak pernah ambil tahu langsung pasal suami dia. Sehinggakan saya tak dapat bekerja dengan baik, keluar pejabat sesuka hati, berat badan menurun, sampai sleeplessness.

Beberapa kali saya ke singapore untuk menenangkan diri, apa yang saya harapkan sebelum kahwin, tidak terjadi selepas kahwin. Saya rasa macam tak dapat kasih sayang, nak pegang tangan isteri, isteri tak bagi, apatah lagi nak peluk, nak cium, jauh sekali. Malu isteri yang sangat teruk.

Baru-baru isteri cakap pada saya, kalau tak boleh sabar carilah orang lain. Kalau ikut hati nak cari dah orang lain, cari teman sebelah yang baru untuk civic saya ni, haha. Tapi saya taknak buat pun. Dalam tempoh 7 bulan ni juga, saya belum pernah bersama dengan isteri, permintaan saya sering ditolak, sampaikan terdetik kat hati ini, isteri aku seorang LGBT kah?

Isteri lebih gemar bersendirian, bermain hp berjam lamanya, lebih utamakan rakan rapatnya berbanding suaminya sendiri. Dengan rakan rapat mampu luah apa perasaan&masalah, tapi dengan suami semuanya disimpan, pernah saya membawanya berhujung minggu di JB.

Di JB saya duduk di kuaters, rumah 2 tingkat, apa yang berlaku, isteri mengasingkan diri di bilik tingkat bawah, saya duduk di master bedroom tingkat atas, saya pernah menegur isteri tentang layanan dia kepada saya, namun jawab balas yang saya dapat memang tak sangka, saya dapat jawapan yang menyakitkan hati.

Saya sehingga trauma dengan perkataan ustzah, takkanlah orang yang berilmu tak amal dengan ilmunya, dia sering menggunakan dalil2 agama untuk mengelakkan diri dia dengan saya, saya pula bukanlah seorang ustaz, namun saya terkilan dengan tindakan isteri.

Inilah ujian besar saya, saya bukan nak merendahkan golongan introvert, tapi berilah ruang diri kalian untuk berubah, isteri saya juga keras kepala orangnya, sentiasa merasakan dirinya betul saya yang salah, saya merupakan seorang yang hati lembut & tak suka memaksa orang lain, bila saya tegur isteri banyak kali tiada perubahan.

Kadang2 terdetik dalam hati, “suka hati kau lah nak buat apa”, tapi saya memikiran tanggungjawab saya, saya sentiasa mengambil berat pada isteri walaupun isteri tak pernah ambil berat pada saya, saya tak pernah bercinta, tapi bila keadaan macam ni, memang betul2 mengganggu saya.

Bila mengadakan perbincangan tak pernah serius & sering mengambil mudah, apa yang saya perhatikan isteri memang suka mengambil jalan yang mudah, suka beri short answer, taknak memeningkan diri sendiri, tapi hakikat memeningkan orang lain, saya memendam lama, dalam keadaan ibu ayah saya & keluarga mertua tak tahu langsung dengan masalah kami.

Bila balik kampung halaman masing2, seperti tiada masalah, semua ok bak dikata. Tapi saya terkilan bila ahli keluarga tanya dah ada isi ke belum, saya hanya mampu senyum, dan minta doakan, jangankan isi, cuba pun belum lagi, saya insyaallah masih mampu bersabar.

Hari demi hari saya cuba untuk mengenali, walaupun berjauhan & jarang berjumpa. Si isteri amat marah kalau barang peribadinya diusik atau dialih. Jadi semenjak itu memang saya tak berani nak sentuh apa2 yang berkaitan dengan dia.

Isteri jenis yang straight, apa2 mestilah ada plan, sangat menepati masa & solat2 sunat alhamdulillah istiqamah, kalah saya, tapi tak berguna andai tiada taat pada suami, bukanlah saya terlalu mengongkong, walaupun saya tahu golongan introvert ni tak suka dikawal & diarah, tapi saya tak pernah mengarahkan apa2 yang bertentangan agama, saya rasa dia tahu perkara tu, tapi entahlah.

Jadi kesimpulannya, berkahwinlah bila benar bersedia, banyakkan berdoa, solat istikharah minta petunjuk, jangan sebab kawan kahwin, kita pun nak kahwin, tapi bila bab tanggungjawab taknak buat.

Minta pembaca semua mendoakan kebahagian & kesihatan saya. Doakan juga untuk isteri agar diberi kelembutan hati & kekuatan untuk berubah sedikit demi sedikit serta mendengar kata suami. Kita cuba nak bantu dia, harap isteri akan sedar satu hari nanti.

Itu sahaja yang nak dikongsi, maaf kalau tidak menarik untuk dibaca.

– Luqman (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *