Pegawai Kontrak Yang Penat Dengan Dunianya

Hi semua. Assalamualaikum. Terima kasih admin sudi menyiarkan perkongsian aku.

Aku Julia (bukan nama sebenar), seorang pegawai farmasi kontrak yang bakal meninggalkan KKM dalam beberapa bulan lagi.

Niat aku untuk kongsi dengan pembaca bukan untuk meraih simpati atau apa-apa. Sekadar untuk bercerita betapa sistem yang diguna pakai sekarang, bukanlah satu solusi masa panjang.

Untuk masa pendek, benar ianya banyak membantu dari segi memendekkan masa menunggu untuk housemanship. Namun disatu sudut, ketahuilah hati kami telah remuk dan tawar setawar-tawarnya.

Sistem kontrak mula diperkenalkan hujung 2016. Untuk pengetahuan am, kontrak disini bermaksud kontrak yang TIDAK akan disambung. Habis kontrak, habis. Tak ada peluang untuk masuk KKM semula. None.

Melainkan special case yang disambung kontrak contoh: Covid. Untuk batch tahun aku, setakat hari ini, tiada apa-apa pengumuman daripada kerajaan. Aku kira mungkin bagi pihak atasan, bahagian farmasi tidak memerlukan orang walaupun hakikatnya kami bekerja hampir separuh nyawa.

Tidakkah mereka tahu farmasi juga sebahagian besar daripada understaffed, underbudget dan overcrowded yang pernah dikatakan oleh DG Hisham sebelum ini. Aku kira, suara kami mungkin kurang didengari, tidak seperti doktor. Mereka ada suara yang lantang dan kuat.

Aku rasa dulu pernah ada orang kongsi, nasib pegawai kontrak di page ini, tapi aku tidak ingat bila. Apa yang tidak seronok menjadi pegawai kontrak ialah kami selalu dipandang rendah berbanding pegawai tetap.

Workload kami sama, kadang-kadang lebih banyak. Namun, kami sentiasa rasa tidak dihargai. Ada masa, kami dilemparkan dengan kata-kata kesat.

Ada masa, kami dibebankan dengan kerja yang sangat banyak. Ada masa, kami dipinjamkan ke fasiliti-fasiliti lain.

Sebagai seorang yang bersyukur, masih diberi peluang untuk berkhidmat, aku akan buat yang terbaik, aku berusaha untuk jadi manusia yang paling punctual, aku akan pastikan kerja aku siap 100% sebelum due.

Aku rajinkan diri untuk tolong kerja-kerja lain. Aku sentiasa ringankan tulang. Tak berkira buat kerja. Dan aku yakin, kebanyakkan pegawai kontrak mempunyai sifat yang sama macam aku.

Sebab apa? Sebab aku dah tawar hati dengan manusia. Selepas keluar keputusan tidak dapat tetap, perkara pertama yang aku buat ialah redha.

Dan kemudiannya, aku set dalam otak, aku buat ni kerana Allah. Aku bekerja untuk berkhidmat kepada masyarakat. Untuk kumpul pahala banyak-banyak sementara ada masa.

Aku tak boleh nafikan, ada segelintir pegawai tetap yang suka mengular, yang tak pernah masuk kaunter on time, yang sentiasa rehat awal atau masuk lambat. Yang selalu hilang daripada pandangan mata.

Ya, golongan macam tu ada. Dan golongan sebegitu lazimnya dilakukan oleh sesetengah pegawai tetap. Entahlah ya kenapa. Mungkin mereka rasa selesa, tidak perlu bersaing, tidak perlu fikir demerit. Gaji tetap masuk, dan pangkat akan naik bila tiba masanya.

Aku doakan semoga mereka semua berubah. Pegawai yang baik, bukan sahaja baik dan bersopan santun dengan pesakit, tetapi dia juga baik dengan rakan sekerja dan junior. Apa guna jika disanjung oleh pesakit, namun sentiasa dalam makian rakan sekerja. Bukankah neraka jiwa namanya?

Sewaktu aku masih houseman, aku pernah tidak diberikan cuti dengan alasan aku hanya prp (nama lain untuk houseman). Bila aku telah tamat housemanship, alasan itu ditukar kepada aku pegawai kontrak, tak layak cuti lama-lama.

Priority cuti diberikan kepada pegawai tetap. Sedih? Tak. Aku dah tawar hati nak sedih. Lebih baik aku fikir bagaimana aku boleh bantu pesakit untuk patuh dengan ubatnya.

Rakan kontrak aku pernah dipanggil bab*, si*l dan celak* kerana lambat datang oncall atas sebab-sebab kecemasan, bukan disengajakan. Tidak pernah lagi pegawai tetap dihina secara publik jika berbuat demikian. Perkataan bodoh itu biasa. ‘apa ni..tu pun tak tahu’ itu makanan ruji.

Aku sendiri pernah difitnah oleh unit lain dan dimaki oleh senior-senior aku dihadapan semua orang atas kesalahan yang aku tidak pernah lakukan.

Aku cuba membela diri, namun tidak diendahkan. Bila kebenaran tersingkap, tiada satu kata maaf pun dilemparkan. Mereka hanya tertawa dan berlagak biasa. Adakah aku sedih? Ya dan tidak. Ya aku sedih mulanya. Kemudian tidak, sebab mereka tidak layak untuk menyedihkan aku.

Sebelum kontrak diperkenalkan, markah dan lnpt tidak menjadi satu bebanan. Yang penting, siapkan logbook, tamat housemanship, terus dapat fully registered dan bekerja macam biasa.

Namun selepas sistem kontrak diperkenalkan, bukan sahaja kami kena bersaing antara satu sama lain, tetapi requirement logbook menjadi 2 atau 3 kali ganda daripada biasa.

Alasan boss unit-unit, buat banyak, dapat banyak. Tapi hakikatnya, markah seciput juga, tidak berbaloi dengan kepenatan berhempas pulas 200%.

Lagi rasa kecewa bila markah yang bagi mereka sudah cukup tinggi untuk diserap sebagai pegawai tetap, namun hanya paras alas kaki sahaja untuk KKM dan tidak lepas syarat.

Itu belum cerita pelbagai jenis cable. Lagi rasa tawar hati.

Sekarang zaman covid, workload kami bertambah-tambah, namun orang semakin kurang. Pegawai kontrak ditamatkan kontrak dan tiada pengganti. Yang tersisa menjadi terbeban.

Aku tak pastilah apa langkah pihak atasan sekarang ini kerana hampir semua warga KKM sedang mengalami fasa yang sangat sukar.

Dipihak farmasi sendiri, dah ramai yang mengalami burn out. Walaupun tiada siapa di Malaysia ini mengiktiraf farmasi sebagai frontliner, tanpa farmasi, cacamarba segala gerak kerja. Aku berani katakan akan lumpuh satu fasiliti jika farmasi tiada. Ini bukan statement berbaur narsistik. Bukan. Ini fakta.

Berbalik soal kontrak, banyak sebenarnya lagi kisah hitam. Terutamanya waktu houseman. Tak jauh bezanya pengalaman dengan doktor.

Aku turun berat 15kg dan underweight sebab aku terlalu stress mengejar masa dan requirement. Air mata itu teman. Malam aku menangis puas-puas, esoknya aku kerja macam biasa. Orang luar mungkin nampak, kerja farmasi ni simple, mudah. Realitinya jauh sekali.

Dan point paling last aku tawar hati sebab kami disposable dan replaceable. Kami boleh dibuang dan diganti. No hard feeling. Itu yang berlaku kepada senior-senior aku dan bakal berlaku kepada aku.

Siapalah kami untuk dihargai, hanya seorang pegawai kontrak cabuk yang gagal. Tiada nilai. Habis madu, sepah dibuang.

Namun, tidak dapat dinafikan kebanyakan senior-senior aku masih ramai yang baik-baik, tak culas buat kerja dan sentiasa melayan kami dengan baik. Mereka tidak mendiskriminasi.

Senang cerita, mereka adalah orang baik-baik. Berkerja dengan mereka akan sentiasa mengingatkan aku akan dua golongan.

Golongan malaikat dan golongan syaitan. Ingat ya, syaitan adalah dari kalangan jin dan manusia bukan jin sahaja. Terima kasih atas pengalaman pahit dan manis aku, aku belajar untuk menjadi pegawai malaikat. Yang baik, aku jadikan pedoman, yang buruk aku simpan jadikan sempadan.

Akhir kata, buat pegawai kontrak seperti aku, jadikan ke’tawaran hati’ kita untuk melangkah lebih jauh lagi. Semoga kita semua mendapat kerja jauh lebih baik daripada sekarang atau yang telah luput dibelakang.

Ingat, jadilah pharmacist yang bermanfaat untuk semua, bukan sebahagian-sebahagian sahaja. Buat yang telah sengaja menyakiti aku dahulu, aku dah maafkan kalian. Tetapi diakhirat, aku kurang pasti. Semoga dibawah lindungan.

Mari sama-sama doakan yang baik-baik untuk semua yang terjejas angkara Covid dan banjir.

– Julia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *