Penawar Panas Baran

Perasaan marah ialah perasaan fitrah semula jadi yang ada dalam setiap diri manusia. Hatta Nabi kita sendiri pun ada perasaan marah dalam beberapa situasi.

Contohnya Nabi pernah marah Usamah bin Zaid yang pernah membunuh seorang musuh di medan perang yang telah mengucap dua kalimah syahadah. Nabi bertanya pada Usamah,

“Apakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan La ilaha illa Allah? Usamah menjawab: Dia hanya mengucapkannya kerana takut dibunuh.

Nabi SAW membalas: Apakah kamu telah membelah hatinya untuk mengetahui samada dia benar-benar beriman ataupun tidak?”

(Sahih Muslim)

Walaupun sifat marah itu merupakan sifat yang fitrah dalam diri setiap manusia namun Nabi kita ada ajarkan beberapa tips untuk mengawalnya.

1) Ubah posisi badan ketika sedang marah.

“Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.”

(Sunan Abi Daud)

Maka tidak hairan jika kita melihat seseorang yang sedang marah atau mengalami perasaan kecewa atau istilahnya “bad mood” lebih suka baring atau tidur di dalam biliknya.

Perbuatan tersebut sedikit sebanyak dapat melegakan perasaannya ketika itu.

2) Mengambil Wuduk.

“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air.

Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.”

(Sunan Abi Daud)

Berwuduk juga boleh menjadi senjata dalam menghadapi kemarahan. Apabila marah kita seolah-olah dapat merasakan seperti bahang api sedang menyelubungi tubuh dan wajah.

Mungkin juga perkara itu disebabkan oleh perubahan aliran darah dalam tubuh kita. Dinginkanlah ia dengan air wuduk.

3) Elak Membuat Keputusan Besar ketika sedang Marah.

“Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.”

(Sahih Muslim)

Sering kali kita mendengar banyak pasangan suami isteri yang berpisah kemudiannya menyesal dengan tindakan yang diambil.

Semuanya kerana mereka membuat keputusan ketika sedang marah atau bertengkar. Bibir menjadi ringan melontarkan lafaz talak walaupun tidak disengajakan. Berhati-hatilah ketika sedang marah.

4) Diam.

“Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.”

(Al-Adab al-Mufrad)

Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.

Lebih elok juga jika kita beredar dari situasi yang tegang.

Oleh itu para isteri jangan hairan jika suami anda keluar rumah selepas berselisih faham. Biarlah bara itu sejuk dengan sendirinya.

Jom ikut pesan Nabi!

– Halawah Iman (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *