Pengalaman Bersalin di Hospital Kerajaan II

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku Sarah, yang menulis kisah ‘Pengalaman Bersalin di Hospital Kerajaan’.

Untuk confession pertama, boleh baca di sini, (https://iiumc.com/pengalaman-bersalin-di-hospital-kerajaan/).

Untuk makluman, aku bersalin di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar.

Ini confession kedua aku, dan tujuan aku menulis ini adalah untuk memberi sedikit gambaran tentang perkara yang boleh dilakukan jika terjadi perkara yang sama kepada kalian semua.

Lepas confession pertama aku disiarkan, aku baca semua komen dan aku ikut nasihat dari kebanyakan komen, dan aku buka laman web SISPAA pada 2 September 2022.

Aku pun menulis aduan yang selengkapnya dengan kronologi, waktu dan tarikh bersalin, nama midwife yang menyambut kelahiran,

Dan setiap detail aku tulis tanpa ada terlebih dan terkurang, kecuali yang aku memang tak ingat nama nurse dan muka nurse tersebut sebab dia memakai mask.

Beberapa hari selepas itu (aku tak ingat tarikh sebab call log pun dah terpadam), ada seseorang dari Bahagian Siasatan called aku. Ayat pertama yang ditanya adalah, ”Puan okay?”

Kemudian dia meminta aku menceritakan kronologi ketika hari aku bersalin itu dari mula hinggalah akhir, walaupun aku dah tulis dalam aduan bertulis SISPAA sepanjang-panjangnya.

Lepas habis aku bercerita dia bertanya, “Puan nak tamatkan perkhidmatan keempat-empat belas orang ni ke? Nanti puan nak bersalin anak keempat dah tak cukup nurse.”

Baru aku tahu rupanya yang bertugas pada malam itu 14 orang kesemuanya.

Aku balas semula, “Tak teringin aku nak bersalin di sana dah.”

Aku memang nak sangat nurse itu ditamatkan perkhidmatan sahaja supaya selamat orang lain dari terkena dengan mulut tak ada insurans dia,

Lagipun kalau dia ditukarkan ke hospital lain pun, nanti aku pergi hospital lain pula eh ada dia lagi, haha.

Kemudian, staf itu meminta maaf dan katanya esok pagi ada meeting dan keempat-empat belas orang itu akan dipanggil dan disiasat.

Habis saja dia bercakap aku pun mula membebel. Ini ayat-ayat aku, “Aku bukan minta dilayan macam VVIP pun, aku cuma minta dilayan macam manusia sahaja.

Lagipun masa dia ambil jurusan ni dulu, dia tahu dah kan ini risiko yang dia kena hadap, kena berhadapan dengan pesakit yang macam macam kerenah (walaupun pada masa itu aku bukanlah banyak kerenah pun),

Kena kerja lewat malam mengantuk, dia tahu skop kerja dia macam ini dan bukan ada orang letak pisau dekat leher dia pun untuk pilih kerja yang macam ini, dia yang pilih sendiri untuk jadi jururawat, jadi kenapa kerja macam taknak kerja saja?

Tak boleh ke buat kerja secara ikhlas sikit? Kalau dia rasa malas sangat kerja mulut asyik nak mengata patients baik dia berhenti jadi surirumah macam aku tak kacau orang tak menyakitkan hati orang.”

Panjang aku membebel kemudian aku bertanya pula, “Sebab inikah dekat buku pink ada tahap pendidikan dan pekerjaan? Supaya perempuan yang tahap pendidikannya rendah dan surirumah boleh diperlekehkan sesuka hati?”

(Soalan ini saja aku tanya takde kena mengena pun dengan kisah aku, dan aku pun tahu jawapannya apa, haha)

Staff itu menjawab sabar puan, maaf puan, saya faham puan bla bla bla, aku malas nak ingat dia cakap apa tetapi kebanyakannya kononnya ayat yang menenangkan akulah, itulah yang diulangnya sehingga aku meletak telefon.

Pada 25 September 2022, aku terima e-mel yang tertera surat rasmi yang dibawahnya tertulis nama Timbalan Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah.

Dalam surat itu, katanya nurse tersebut telah menjalankan tanggungjawab dan rawatan mengikut SOP atau Standard of Procedure yang betul,

Tetapi dia terpaksa menggunakan suara yang tinggi kerana aku kurang memberi respons terhadap arahan yang diberikan. Menyirap juga aku bila baca.

Memandangkan aku seorang suri rumah yang ada banyak masa kan, yelah aku bukan nurse yang kena oncall ke sibuk sampai tengah malam assist orang bersalin mengantuk sampai kena maki patients, so aku pun menulis aduan kedua di SISPAA pada 6 Oktober 2022.

Aku tanya semula dengan merujuk kepada surat rasmi tersebut, aku tulis bahawa baik, aku terima yang dia cakap suara nurse itu terpaksa ditinggikan kerana aku kurang memberi respons ketika itu,

Tetapi bagaimana pula dengan ayat-ayat yang dikeluarkan seperti, “Lepas ni tak payah beranak dah pakai ja perancang”, “Takkan tak tau beranak ni sakit, dah anak ketiga takkan tak bersedia mental dan fizikal.”

Dan beberapa tengkingan lain, aku bertanya adakah kata-kata seperti ini juga mengikut SOP yang betul yang ditetapkan oleh KKM?

Jika ya, tolong berikan aku bukti seperti akta/pekeliling atau apa-apa sahaja yang berkaitan supaya aku berpuas hati.

Sekali lagi juga aku menegaskan supaya jururawat terbabit DIAMBIL TINDAKAN TEGAS supaya kejadian yang sama tidak berulang lagi kepada orang lain dan aku juga ingin menerima permohonan maaf daripada jururawat terbabit.

Sejak dari aduan kedua itu, aku dah tak menerima apa-apa maklum balas secara panggilan, mesej ataupun e-mel sampai sekarang. Sekian cerita aku haha. Assalamualaikum.

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *