Pengalaman Bersekolah Di Sekolah Ternama

Semenjak dua menjak ini tular pula tentang anak seorang selebriti yang diterima masuk ke beberapa sekolah ternama.

Aku antara manusia yang berpeluang menghabiskan umur remajaku di sebuah sekolah berprestasi tinggi. Yang mana bila aku beritahu orang aku pernah bersekolah di situ, mereka akan terkejut dan perbualan selepas itu semuanya akan berkisar tentang sekolah itu. Begitulah.

Aku dibesarkan oleh seorang ibu tunggal, dan dari kecil aku melihat kesusahan ibuku membesarkan kami adik-beradik.

Jadi apabila aku diterima masuk ke sekolah ini, aku langsung tidak berfikir panjang. Aku terima dengan besar hati dengan harapan aku dapat membuat ibuku bangga.

Aku tidak pernah menyalahkan ibu, aku faham keadaan kami dan dia tidak mampu memberikan perhatian kepada kami sepenuhnya. Mungkin dalam keadaan keluarga kami ketika itu, ke asramalah jalan yang terbaik untuk aku.

Tapi aku ingin bertanya kepada ibu bapa yang berduit banyak, hidup yang selesa, mampu menghantar anak-anak ke kelas di sini sana, untuk apa kalian menghantar anak-anak ke sekolah asrama sebenarnya ya?

Soalan jujur.

Untuk dia pergi ke universiti yang bagus?

Untuk dia belajar berdikari?

Atau sebenarnya, untuk memenuhi angan-angan kalian sendiri dan bukan mereka?

Hakikatnya, tidak semuanya indah di sekolah berprestasi tinggi. Pada masa itu semuanya aku anggap normal sahaja. Go with the flow.

Ya, aku survive hingga kehujung, mendapat biasiswa, dan sekarang bekerja di syarikat yang bagus. Tapi aku tahu emosi aku tidak stabil.

Aku tahu ada sesuatu yang seakan tidak kena dalam mental aku dan sesungguhnya sekolah lah tempat yang aku paling tidak mahu jejakkan kaki lagi.

Jadual kami padat. Dari pukul 6 pagi sehingga 10 malam, setiap benda telah diatur. Selepas kelas siang, ada kelas petang. Selepas kelas petang, ada waktu sukan yang wajib disertai semua pelajar. Selepas bersukan, balik bersiap sekejap untuk ke kelas persediaan malam.

Hari Sabtu biasanya diwajibkan juga ke blok akademik untuk belajar, hanya berehat pada hari Ahad. Hari ahad pula digunakan untuk mencuci baju, kadang-kala ada sesi gotong-royong di asrama.

Sebulan sekali dapat balik bertemu keluarga tapi aku tinggal jauh di negeri lain jadi aku hanya pulang bertemu keluarga pada cuti semester.

Begitulah jadual kami sehari-hari. Bila pulang ke rumah sewaktu cuti memang ibuku akan biarkan saja aku tidur sebab dia tahu aku kepenatan.

Ibu bapa sekalian, memang ini yang perlu dilalui seorang anak 13 tahun?

Tahap jangkaan guru-guru terhadap kami terlampau tinggi. Masakan tidak, guru-guru ini terbiasa mengajar para pelajar yang bijak dan mudah faham.

Aku tidak pasti bagaimana keadaannya di sekolah lain, tapi di sekolah kami pelajar yang bijak diberi pula tugasan untuk membimbing pelajar yang lemah. Sistem mentor katanya. Kami tidak bersuara kerana merasakan ini semua normal.

Tapi sejauh mana kawan aku dapat membantuku dalam pelajaran? Dia juga perlukan masa untuk belajar. Aku pernah dipanggil bodoh oleh seorang guru kerana aku lemah dalam satu matapelajaran.

Untuk pengetahuan kalian, jika aku tidak mendapat A dalam satu atau dua matapelajaran, aku akan berada dalam bottom 10 untuk keseluruhan tingkatan. Begitu pandainya kawan2 aku.

Setelah lebih 10 tahun meninggalkan sekolah, aku masih bergelut dengan masalah mental sendiri. Bila aku berborak dengan ibu, dia selalu minta maaf kerana menghantar aku ke asrama.

Dia tahu kerana itu aku tidak rapat dengan adik-beradik, kerana itu dia tidak dapat bantu aku saat aku perlukan bantuan emosi.

Sedarlah ibu bapa, pada saat anda melepaskan anak-anak anda ke sekolah berprestasi tinggi, anda telah melantik dia untuk menjadi dewasa. Anda telah meletakkan dia di satu tempat yang penuh tekanan untuk dia memberikan yang terbaik dalam semuanya.

Sebarang KELEMAHAN akan dianggap KEGAGALAN. Inilah sekolah berprestasi tinggi yang diagung-agungkan.

Sedangkan mungkin anak-anak ini boleh berbuat dengan lebih baik di rumah, di mana tiada tekanan yang melampau untuk untuk fizikal dan mental susuk kecil tu.

Mungkin dia lemah dalam sesuatu, tetapi cemerlang dalam sesuatu yang lain. Mungkin anak-anak ini akan membesar dengan lebih gembira di sisi keluarga dan adik beradik.

Mungkin juga, anak-anak ini akan membesar dengan lebih berakhlak apabila dididik sehingga besar di bawah jagaan ibu bapa sendiri, berbanding di kalangan kawan-kawan sebaya, warden, dan guru-guru.

Ibu bapa sekalian, untuk apa sebenarnya?

– Kucing Jalanan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Saya setuju dengan confessor, sebab saya pun bersekolah asrama yang dikenali. Zaman sekolah menengah adalah zaman yang paling saya tak suka. Jadual yg sangat padat, hanya belajar belajar sahaja. Semua telah diaturkan. Kalau ada yg buat masalah, kami didenda mandi 10 min sahaja. Basuh baju hanya waktu tengah hari, yg ada 50 min je.. Masatu la makan, mandi, solat, dan waktu tu sahaja boleh basuh baju. Rules yg nonsense.

  2. Semoga yang baik2 saja untuk penulis. Saya pon dulu pernah masuk asrama penuh tapi sehingga t2 sahaja antara sbbnya sbb saya tak boleh nak ikut jadual padat yang disediakan sekolah. Pada mulanya mak bapa mmg tak bagi saya berhenti, tapi ada satu kes jdi pada t2 yg membuatkan mak bapa saya terpaksa mengambil saya.

    Oleh itu, skrg saya pon ada anak 5 org dan 3 org ni mmg saya tak bagi lagi anak2 sekolah asrama. Satu mmg saya tahu pelajaran mereka biasa2 saja satu lagi saya rasa kesian kat anak2, saya taknak anak2 rasa penatnya bersekolah asrama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *