Kisah ini mungkin tidak menarik. Tetapi masyarakat Melayu terutamanya perlu sedar bahawa gangguan mental adalah bahaya dan perlu dirawat. Cukuplah menabur stigma yang akhirnya membungkam mereka ke lembah kegelapan. Penderaan mental lebih menyakitkan daripada penderaan fizikal.
Aku adalah seorang lelaki yang luar tampak penuh keriangan dan keceriaan. Tiada siapa yang tahu bahawa aku mengalami penderaan mental yang sungguh dalam. Lebih dalam peritnya daripada penyakit fizikal seperti barah, kencing manis dan HIV.
Sejak lahir aku sudah dihina oleh keluarga sebelah ayahku. Entah apa salah aku lahir di dunia. Aku selalu disisihkan, disindir sehinggalah aku masuk universiti. Ketika ayahku meninggal, segala harta ayahku ingin dirampas. Seolah-olah tiada waris yang wujud di atas muka bumi ini. Mereka sangat gilakan duit. Padahal atokku adalah bilal kampung. Laungan takbir suci mulutnya tidak sesuci hatinya.
Tidak cukup sebelah ayah. Pakcik makcik sebelah ibu juga begitu. Hidup berhambakan duit. Menziarahi nenek ketika hidup jarang sekali. Ketika mati, masing-masing bergaduh mahukan harta yang tidak seberapa. Ibuku menjadi mangsa pertuduhan. Dikatakan mengambil harta senyap-senyap. Mereka bertengkar dihadapanku. Dan mereka lupa anak kecil sedang melihat, dan anak kecil takkan lupa.
Ibuku sering dihina dan dituduh oleh orang kampung kerana status janda. Entah apa salah agaknya. Semua itu berlaku di hadapan mataku. Dan anak kecil tahu orang kampung penipu. Anak kecil marah dan benci ibunya diperlakukan sebegitu.
Perlahan-lahan aku menjadi seorang pendendam. Aku cepat marah, dan mudah menangis. Sejak aku sekolah di asrama, emosiku kadangkala tidak terkawal. Kejadian pertama berlaku apabila aku bersama kanak-kanak lain sedang bermain kejar-kejar, tiba-tiba aku berasa marah dan membaling kerusi kayu tanpa sebab. Malangnya seorang rakan menjadi mangsa. Untung sahaja tangannya yang membengkak. Selepas itu aku bingung.
Bapa tiriku pula seorang yang baran tak bertempat. Kerap marah dengan perkara kecil. Sudahlah nenek tiriku pula membenci aku sebab status aku “tiri”. Aku kerap dihina bila balik kampung. Dan dibeza-bezakan dengan cucu-cucu kesayangannya. Walhal sekarang, aku yang jaga dia dan tiada tiada seorang pun cucu yang menziarahinya.
Ya, aku kerap mengamuk tanpa sebab. Tanpa sedar, aku akan menghancurkan barang disekeliling. Kejadian ini berlarutan sehinggalah aku diperingkat sarjana muda. Dalam tempoh itu, aku juga menjadi seorang yang bersemangat. Aku akan pastikan apa yang mahu, dapat. Walaupun cara aku guna menyusahkan orang lain. Aku mahu menjadi pemimpin persatuan, aku dapat.
Banyak persatuan yang aku pegang. Aku beranggapan bahawa tiada yang boleh pegang jawatan besar dan hebat selain aku. Aku juga selalu yakin aku mempunyai kekuatan luar biasa; terutama bila aku marah. Bayangkan besi boleh bengkok, dinding boleh pecah, kayu boleh patah. Pernah juga berlaku mesin rosak ketika aku mengamuk.
Ketika gembira, aku menjadi orang yang boros. Asalkan ada duit dalam dompet, pastikan akan lebur sekelip mata. Beli itu, beli ini dan akhirnya aku kesempitan wang setiap kali hujung semester. Aku juga suka memandu laju dan bertentangan. Rasanya seperti pelumba profesional tapi kulupa nyawa dalam bahaya. Dahulu aku seorang penulis cerpen. Aku boleh menulis 1 cerpen dalam masa satu malam sahaja. Idea yang terlalu membuak-buak memang sukar untuk dikawal.
Keadaan bertukar 360 darjah apabila aku berada di alam sarjana muda. Aku mula bersendirian, tidak riang dan selalu mengelak daripada bertemu orang. Aku kerap menangis sendiri. Aku cuba menceritakan keadaan kepada sahabat dan orang yang aku rapat. Tetapi jawapannya semua sama; iman lemah, lelaki tak boleh macam ini, jangan jadi lembik dan sebagainya.
Lebih menyedihkan, satu persatu mulai mengelak untuk bertemu denganku. Ketika aku bercerita, aku pula dituduh bukan-bukan. Aku pernah berfikir untuk membunuh diri. Oh ya, aku sebenarnya suka menyimpan pisau-pisau lipat yang unik. Satu persatu pisau aku guna untuk memutuskan nadi.
Anehnya, semua pisau tumpul apabila aku tarah pada nadi. Padahal sudah beberapa kali ku asah. Aku cuba pula sepapan panadol biasa dan sepapan panadol actifast sekaligus. Dengan harapan aku mati. Tetapi esoknya, aku bangung seperti tiada apa-apa berlaku. Aku cuba berulang kali, tetap hampa.
Akhirnya aku mengambil inisiatif untuk pergi ke klinik pakar universiti. Kerana aku tahu, mereka yang mahu lihat diri kau sihat. Ketika sakit dan resah, mereka tidak peduli. Aku dirujuk pada pakar psikiatri hospital kerajaan.
Mulai hari itu, aku kerap mendapatkan rawatan dan akhirnya aku didiagnos mengalami Bipolar Disorder II. Lintas masa yang berlaku dalam hidup sebelum ini jelas menunjukkan simptom bipolar. Keadaan depresi dan dendam telah memberi impak kepada diriku. Dr menyarankan aku untuk menjalani rawatan mengambil dos ubat.
Sejak itu, aku hidup dengan ubat yang efeknya maha dahsyat. Anti Depressant, Lithium, Seroquel, dan macam-macam lagi. Badan menggigil, selera makan hilang dan kadangkala makanan yang ku jamah tidak ubah seperti menjilat besi logam.
Sekarang, aku lebih suka menyendiri. Aku mahu mula menulis seperti dahulu. Tetapi agak sukar kerana aku tidak dapat mengembangkan idea seperti dahulu. Sudah lama sebenarnya aku tidak meneruskan rawatan. Kadang-kadang rasa memang aku masih perlukan rawatan, Masalahnya aku tidak tahu dari mana mahu mulakan. Aku berharap aku dapat menyiapkan sebuh novel yang telah lama aku impikan.
Akhir kata, kanak-kanak dibentuk melalui persekitaran. Bipolar disorder bukan penyakit yang biasa. Emosi yang bercelaru hanya memberikan dua jawapan mutlak ; Hidup dalam depresi atau Mati.
– MQS
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit