Assalamualaikum & selamat sejahtera kepada pembaca setia IIUM Confession.
Cukup sekadar aku gelarkan diriku dengan nama Embun. Kisahku ini tidaklah seindah kisah-kisah IIUM Confession yang lain, tetapi ini mengenai kisah rumahtanggaku yang kini membuat aku makin keliru.
Secara ringkasnya akan ku ceritakan ia..
Tempoh perkahwinan aku dengan suami pada tahun ini hampir menjengah usia 5 tahun. Kami telah dikurniakan seorang anak pada tahun lepas setelah melalui tempoh TTC sebelum ini.
Yang menjadi masalah sekarang, adalah perasaanku terhadap suami langsung sudah hilang. Kosong. Sepi.
Yang pastinya, aku cuma boleh katakan aku rasa nikmatnya sebuah perkahwinan dengan rasa cinta pada suami itu hanya sehingga tahun ke-2 perkahwinan.
Dan boleh dikatakan, pada tahun ke-3 perkahwinan kami, kami sudah jarang berhubungan intim. Boleh dikira dalam tahun tersebut hanya 6 bulan sekali saja kami berhubungan intim.
Aku sehingga kini masih keliru dengan diri aku, dengan suami aku. Sejak dari itu, memang aku mulai sedar yang sebenarnya aku sudah pun mati rasa terhadap suamiku.
Tambahan pula, beberapa kali aku pernah berniat ingin berpisah tapi banyak perkara yang aku perlu titik beratkan. Aku perlu memikir kesan dari perceraian sekiranya aku memang ingin berpisah, aku fikir tentang mertua aku. Mereka sangatlah baik.
Aku pernah beberapa kali menyuarakan luahan rasa hatiku ini kepada suami, tentang segalanya tapi suami tidak endah. Tiada sebarang tindakan daripada sang suami untuk cuba selesaikan isu dalam kain kami ini.
Suami hanya ingin berhubungan intim denganku apabila dia betul-betul mahu saja tapi selebihnya memang dia menolak biarpun aku yang sering cuba mulakan.
Kami tidak pernah lagi berhubungan intim kembali setelah suami tahu aku mengandung. Katanya dia risau dan kasihan padaku. Tapi kadang aku sampai terlintas yang suami aku ini seperti pentingkan diri.
Suami memang langsung anggap masalah kami ini hal yang remeh temeh. Nanti jika aku menekan dia lagi, dia akan stres dan cakap aku ni sengaja buat teruk. Sedih rasa hati ni. Aku dah penat sebenarnya.
Jujur aku katakan hati aku ni meronta nak berpisah dan mulakan hidup dengan anak ku tapi aku tak tahu bagaimana caranya. Hingga kini pun aku dah mati rasa terhadap suamiku.
Dia sayang sangat anak kami. Pastinya dia tak mahu berpisah dengan anaknya. Aku pun tak sampai hati.
Suami memang tiada masalah kesihatan batin. Dan dia juga tiada perempuan lain. Aku dah cek semua aktiviti dan apps dalam phone suami. Tiada yang mencurigakan.
Hampir setiap hari aku berdoa supaya Tuhan semaikan rasa cintaku terhadap suami namun perasaan kosong ni masih sama.
Kini hanya tinggal rasa ihsan dan kasihan saja terhadap suami. Entah berapa lama lagi aku perlu untuk hidup dengan perasaan yang kosong seperti ini. Tak ubah seperti housemate di rumah sendiri, bukan pasangan.
Suamiku juga kelihatan macam tidak kisah dan hanya menjalani kehidupan macam biasa. Teringin nak tanya apa perasaan suami sekarang terhadap aku. Tak tahulah berapa tahun lagi perlu bertahan.
Berdosakah jika aku berdoa pada Tuhan supaya suamiku bertemu dengan wanita lain? Sebab aku memang tak mahu untuk teruskan semua ini.
Entahlaa.. aku buntu.
– Embun (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit