Perempuan Bukan Kuli

Assalamualaikum. Terima Kasih kepada Admin jika confession ini disiarkan.

Pertamanya, aku minta maaf kalau apa yang aku nak cakap ni agak kasar atau akan melukakan hati mana mana pihak. Maaf. Niat aku bukan untuk memburukkan sesiapa mahupun mengaibkan. Hanya sekadar luahan, peringatan dan pengajaran buat kita semua.

Perempuan bukan kuli. Apa maksud aku? Zaman sekarang ni, apa yang aku nampak, alam berumahtangga ni lebih mengikut adat daripada tuntutan agama. Bila dah kawin, isteri je yang kena buat semua benda. Makan pakai suami, kebersihan rumah, semualah, semua isteri kena buat.
“Eh tu kan memang tanggungjawab isteri, dia lah buat semua tu”.
Habistu, suami buat apa? Haa, meh nak habaq, hang tau dak sebenaqnya itu semua adalah tanggungjawab suami, isteri ni hanya membantu. Tau dak? Hang taktau, sebabtu hang buat bini hang macamtu. Macam kuli. (sila baca dalam nada marah untuk menghayati watak)

Nak cakap pasal tanggungjawab ni, sendiri boleh fikir kot. Takkan nak kena terang satu persatu kan? Bila dah bergelar suami isteri, masing masing ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Aku pun bujang lagi, jadi takda lah expert sangat hal rumahtangga ni. Tapi apa yang aku nak luahkan ni isi hati sebagai seorang perempuan yang bakal bergelar isteri (doakan aku hehe). Layanlah isteri tu sebaiknya seperti yang dikehendaki dalam Islam. Bukan tu je, dalam undang-undang perkahwinan agama lain pun, suami kena jaga hati dan perasaan isteri agar tak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan dan kelembutan.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpim terhadap kaum perempuan” –Surah Al-Nisa’ (ayat 34).

Aku yakin, ramai yang arif dan maklum dengan maksud ayat ni. Lelaki merupakan pemimpim bagi wanita. Tapi kena ingat, Allah menetapkan suami sebagai pemimpin bukan sebagai tiket bagi para suami untuk bersikap sombong, zalim, diktator dan berkeras kat isteri. Seorang isteri tu perlu diperlakukan seperti seorang hamba yang merdeka, bukannya hamba yang menurut segala arahan tuannya yang membabi buta. (Kasar ke? Maaf yaa)

BIla bekerja, masing-masing ada komitmen, balik rumah masing-masing letih. Si isteri ni, tak sempat rehat, dah terkocoh-kocoh kalut masak kat dapur. Untuk siapa ? Semestinya untuk keluarga tersayang dan suami terchenta. Apalah salahnya kalau si suami ringan-ringankan tulang membantu buat kerja rumah macam menyapu ke, basuh pinggan ke, jaga anak ke. Ini tak, terbongkang depan tv, bila nak sesuatu terjerit-jerit panggil minta sediakan. Bila tak ada, dibentak-bentak marah. Cakaplah dengan lemah-lembut. Seorang isteri perlu dipanggil dengan ucapan yang menunjukkan kasih sayang dan bukan kata-kata yang boleh menyakitkan hatinya. Itu salah satu tanggungjawab suami. Isteri nak sediakan pun takdelah rasa ralat, ikhlas je buat sesuatu tu. Kalau terjerit-jerit, mana nak dapat kemanisan tu? Lagi rasa terkilan. Dah berdosa pulak si suami lukakan hati si isteri. Astaghfirullah.

Perempuan ni memang hobi dia suka shopping. Tak kesahlah, shopping barang dapur ke, shopping barang sendiri ke apa, asal namanya shopping, perempuan suka lah. Tapi, kalau si suami dah tahu, dekat rumah tak cukup keperluan barang dapur, tolonglah belikan. Mentang-mentang isteri suka shopping. jangan mengharapkan isteri nak sediakan semua. Suami tau order je? Amboi, itu bukan caranya. Isteri ni ada banyak benda nak kena fikir. Hal suami, hal anak-anak, hal kerja, hal rumah, hal kucing lagi. Mana mampu dia nak ingat biskut kering ada ke tak kat dapur tu. Allahu. Kalau suami tau benda tu tak ada, apalah salahnya keluar, belikan. Alang-alang tu belikan sekali barang-barang yang tak cukup. Tanggungjawab suami kan sediakan keperluan keluarga?

Pastu, kalau ada masalah, apa salahnya berbincang, luahkan apa yang tak kena. Bukan ke kalau dah berkahwin ni, takboleh ada rahsia antara suami isteri demi menjaga keharmonian sejagat. Kan? Lebih elok berkongsi masalah, sekurang-kurangnya boleh minta pendapat isteri. Lagipun, isteri akan rasa lebih dihargai dan penting dalam hidup suami. Kalau taknak cerita pun, takpe pendam. Tapi janganlah lempiaskan marah tu dekat isteri dan anak-anak. Diorang ni tak bersalah, diorang taktau apa punca ni tiba-tiba nak marah-marah, tarik muka bagai. Jangan dimarah isteri dan anak-anak atas kesalahan yang diorang tak buat. Bukan apa, letih tau dengar asyik nak terpekik-pekik marah. Kadang-kadang tu geram je dengar, dimarah-marah. Tapi, apa boleh buat, taknak jadi biadab, pendam jelah. Tahu tak bahawasanya, sang suami yang tercela adalah suami yang berkelakuan seperti kucing di hadapan rakan-rakannya, tetapi bertukar menjadi harimau di hadapan keluarganya. Astaghfirullah (minta dijauhkan)

Hidup berumahtangga ni kena banyak toleransi dan kesefahaman. Jangan harapkan sebelah pihak je laksanakan tanggungjawab menjaga keharmonian rumahtangga. Isteri bukan kuli nak kena sediakan semua. Isteri ini harus disayangi, dilindungi. Bukan diherdik, dimaki (ni bukan aku yang memandai k). Aku tak mintak para suami layan isteri macam puteri raja, cukuplah sekadar dapat menjaga hati, dapat meringankan beban. Apalah salahnya, masing-masing saling bantu-membantu. Boleh kan? Bukan untuk orang lain, untuk keluarga sendiri jugak. Tak rugi apa-apa pun. Suami harus menjadi pelindung kepada si isteri daripada apa saja perkara yang boleh menyakiti si isteri. Tapi, kalau yang menyakiti si isteri itu adalah suaminya sendiri, macam mana? Renungkan.

Maaf sekali lagi, kalau aku ada menyakitkan hati mana-mana pihak. Maaf juga kalau aku kasar dalam meluahkan rasa. Terima kasih baca confession aku dan aku hargai segala komen-komen korang, sama ada yang murni atau yang kecam. Hehe. Sekian. Jagalah hati para isteri untuk sama-sama menuju ke syurga yang hakiki.

Salam sayang, Assalamualaikum.

– Dee

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit