Pergaulan
Assalamualaikum semua.
Saya adalah bekas pelajar uia dan sekarang bekerja di selatan tanah air. Apa yang saya nak sampaikan di sini ialah mengenai pergaulan. Sejak saya mula bekerja setahun yang lalu, saya dapati pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti tiada batas. Lebih-lebih lagi muslim.
Kerjaya saya memerlukan saya banyak berkomunikasi dengan lelaki. Apa yang saya perhatikan ragam di pejabat, lelaki dan perempuan bertepuk tampar, pegang-pegang. Saya tak selesa dengan situasi begitu. Untuk pengetahuan, saya adalah yang paling muda disitu. Biasalah kan bila kita ini muda, teguran kita itu hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Apa yang menarik perhatian saya adalah rakan sekerja saya yang berbangsa cina sangat menjaga pergaulannya dengan saya. Pada satu hari, kami pergi melawat tapak projek. Sewaktu saya terkial-kial hendak mendaki cerunan tanah, rakan saya itu mencari sebatang kayu lalu dihulurkan kayu itu kepada saya supaya dia dapat menarik saya. Saya kagum kerana dia menghormati prinsip saya untuk tidak berpegangan tangan dengan berlainan jantina. Saya agak malu apabila memikirkan rakan saya yang bukan muslim tetapi boleh memahami sedangkan rakan muslim saya seakan mengendahkan larangan Allah.
Saya berdoa agar kita semua dihindari dari membuat perkara-perkara yang dilarang Allah. Kepada adik-adik yang masih belajar mahupun rakan-rakan yang telah bekerjaya, jagalah batas pergaulan kita tak kira dimana kita berada, walau apa status kita. Mungkin perkara ini nampak kecil bagi anda, tetapi jika perkara kecil kita tidak mampu untuk jaga, mana mungkin kita dapat menjaga hal yang lebih besar.Semoga kita semua berada di dalam redha Ilahi.
– Sis bekerjaya