Nama samaran saya Murni. Saya seorang wanita, 48 tahun.
Saya ada penyakit mental. Ada jumpa pakar psaikaitrik dan juga psaikologis setiap tiga bulan. Makan ubat setiap hari. Alhamdulillah keadaan saya banyak berubah ke arah kebaikan.
Saya juga ada religious trauma, di mana sekiranya saya paksa diri untuk solat, saya rasa cemas dan tertekan dan fikiran saya bercelaru.
Ini bukan penyakit mistik. Sebelum saya dirawat di hospital, keluarga sudah bawa saya ke beberapa ahli perawat tradisional dan ustaz.
Semua katakan yang saya diganggu oleh makhluk halus. Namun, semua rawatan mereka tidak berjaya memulihkan saya.
Saya sering memekik, meraung, menangis lebih-lebih lagi bila mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dan dzikrullah.
Sebab kejadian ini, para perawat dan ustaz yakin saya diganggu makhluk halus.
Sehinggalah satu hari, Allah ketemukan saya dengan seorang soleh yang peka dengan ilmu ukhrawi dan duniawi.
Beliau melihat keadaan saya dan memberitahu ibu saya bahawa saya perlu dirawat oleh doktor psaikaitrik dan makan ubat.
Tahun pertama dirawat di hospital mental, saya masih tetap sakit teruk. Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani.
Satu hari, Allah menggerakkan fikiran saya untuk mencari rawatan di hospital yang lain.
Dengan izin Allah, doktor psaikaitrik di hospital kedua lebih memahami dan prihatin dengan symptom penyakit saya dan dia tukarkan ubat-ubatan saya. Doktornya sangat baik.
Dia bertutur dengan sopan, lembut dan hormat pada saya. Dengan izin Allah, saya menjadi sihat dan tenang dengan rawatan di hospital kedua ini.
Sekarang, saya sudah boleh mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan dzikrullah dengan tenang dan gembira. Saya juga ada belajar membaca Al-Quran sekali dalam seminggu.
Setiap hari, saya baca Ayatul Kursi, 3 Qul, selawat Nabi, istighfar dan memohon doa kepada Allah.
Saya rasa sangat bersyukur kepada Allah yang banyak membantu saya dan memberikan saya keadaan mental yang baik dan tenang hari ini.
Saya juga sudah boleh menghadiri majlis agama dengan tenang dan diam. Sudah tidak lagi terpekik-pekik dan meraung-raung.
Alhamdulillah segala syukur dan terima kasih kepada Allah, Tuhan sekelian Alam, di atas segala nikmatNya.
Cuma itulah, saya rasa risau dan bimbang kerana belum boleh dirikan solat fardhu. Saya tahu penyebab saya ada religious trauma.
Tapi, saya belum bersedia untuk membincangkannya dengan sesiapa pun walaupun pakar psaikologi saya. Rasa amat berat di hati dan susah nak buka mulut ini.
Doa dan harapan saya ialah akan datang satu masa di mana saya boleh mendirikan solat fardhu dengan baik, betul, ikhlas dan istiqomah sehinggalah malaikat maut menghampiri saya dan mengambil nyawa saya.
Mohon para pembaca doakan saya. Semoga saya meninggal dunia di dalam husnul khotimah dan ketika saya sedang bersujud kepada Allahu Ta’alaa. Aamiin ya Allah.
Terima kasih.
– Murni (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit