Cerita Aku

Assalamualaikum, salam sejahtera straight to the point nama samaran Pokok Hijau, setakat ni tu je nama aku terfikir nak letak.

Umur hampir-hampir mencapai 30, perkerjaan sekadar berkerja sendiri dan berasal dari negeri dirahsikan.

Tujuan menulis di sini untuk memberi semangat kepada kalian melalui kisah aku. Diingatkan, aku tak pandai mengarang maaf jika tulisan ini agak bercelaru.

“Ya Allah, Aku nak Mati!”

Dulu aku nak mati, aku penat dengan hidup. Bila ujian demi ujian datang aku tahu Allah ada tengah atur hidup aku tapi aku kosong.

Aku yakinkan diri, sedangkan cacing dalam tanah Allah tetapkan rezeki inikan pula aku.

Tapi aku masih keliru, buntu dan tak tahu nak buat apa.

Aku solat, aku berdoa, aku berzikir tapi aku tetap tak tahu arah. Menangis, sedih menjadi hiasan wajah, bertambah-tambah apabila fitnah mula bercambah.

Dipendekan cerita, atas kecuaian suatu klinik swasta aku jadi tidak normal secara fizikal dan sakit dalaman.

Aku cuba, untuk mendapat bukti tapi kes aku ni agak “rare”, hingga dari golongan professional ke rakyat jelata tak percaya. Jadi tiada bukti yang aku dapat untuk membuktikan diri aku.

Tambah lagi, aku tak bagi tahu ahli keluarga sebab masing-masing ada masalah sendiri.

Jadi hiduplah aku dengan satu nikmat yang Allah telah dari aku, bersama satu ujian iaitu fitnah dari mulut manusia atas kekurangan yang ada.

Selama tujuh tahun, hari-hari aku celik je mata “Oh, aku hidup lagi hari ni”, macam tu lah rutin aku hari-hari mengharap nyawa ditarik dari jasad.

Tiap-tiap hari fikir nak tamatkan hidup tapi takut, takut Allah, takut Nabi Muhammad tak mengaku umat dan takut ulamak tak pandang akhirat esok-esok.

Imaginasi nak tamatkan hidup tu aku luah dekat kertas exam, lukisan tali gantung dan sebilah kapak padahal tangan aku ni keras tapi lukisan tu cantik, berseni.

Asbabnya, hidup dalam masyarakat tak mudah masing-masing ada mulut mencananag-canang dan setiap apa yang dipandang dibualkan malah berlebih-lebihan.

Tambah lagi, jiwa yang lemah mudah disiak-siak dengan setiap bait dan bicara maka hancurlah aku dalam kata-kata manusia.

Tahun keenam , aku hidup dalam dunia aku kurang berinteraksi dengan sekeliling dan tak ada kerja hakiki. Tapi aku ada buat “side job” sekadar lepas pinjaman ptptn dan untuk diri sendiri.

Masa ni aku, kurang dengar cemuhan, makian serta fitnah manusia jadi aku dapat bertenang dengan baik.

Tanpa sedar, Allah bantu aku grab masa dengan dia. Dulu, zikruallah lepas solat 5 minit, jadi 45minit, jarang-jarang tahajud, tiap malam bangkit tahajud dan istikarah hujung waktu.

Berkat posting seorang hamba Allah kat twitter ajak orang lain solat taubat dan witir sebelum tidur aku ikut serta berkat dia ajak orang beristigifar setiap masa menjadikan hati ini hidup dengan istighfar. Alhamdullilah

Lepas aku amalkan semua tu dalam beberapa bulan hidup aku tenang dan aku dapat berdamai dengan takdir.

Aku dapat lepasakan sedikit demi sedikit amarah dan dendam aku pada manusia serta aku dapat maafkan mereka atas kesalahan mereka pada aku. Jika dulu aku selalu mempersoalkan,

“Ya Allah, kenapa aku?”

“Ya Allah, kenapa sakit aku lain dari yang lain?”

“Ya Allah, dosa mana yang aku lakukan”

“Ya Allah, aku terlalu muda”

Tahun ketujuh, berakhir segala kekeliruan dan persoalan dalam hidup yang selama ini aku tidak faham. Allah menjawab semua persoalanku termasuk mengenai maksud doa sujud sewaktu tahajud iaitu

“Ya, Allah masuk aku kedalam agamaku dengan kemasukkan yang benar lagi mulia dan keluarkan aku dari agamaku dengan keluaran yang benar dan mulia, dan kurniakan dari sisiku hujah-hujah serta kerterangan darimu yang membantu menolongku”

Persoalanku

“Aku sebagai muslim tidak masuk benar-benar dalam agama ni? Macam mana nak masuk secara benar? Adakah kalimah syahadah belum cukup membuktikan? ”

Ringkasnya, aku dipertemukan seorang guru yang membimbing dalaman serta luaran muridnya dan tiap-tiap persoalan serta kekeliruanku tak dijawab melalui kata tapi melalui bimbinganya.

Aku jumpa apa itu Islam serta komponen-komponen didalamnya seperti aku tidak pernah mempelajarinya dan mengenalinya.

Jika dulu “Ya, Allah sembuhkan aku” menjadi zikir doa di hatiku kini tidak lagi kerana terasa kejahilan serta kebodohanku sangat besar tak layak untuk aku meminta lebih.

Kini, aku sedang melalui liku-liku sebagai murid masih cuba bertatih dengan benar, diharap menjadi insan yang benar kelak.

Sekian ceritaku sampai sini.

– Pokok Hijau (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *