PETUA ISTIQAMAH DAN KHATAM AL-QURAN DALAM TEMPOH SINGKAT

Assalamualaikum Warahmatullah.

Sempena bulan Ramadan yang telah tiba, saya nak bagi "Petua Khatam Al-Quran Dalam Tempoh Singkat". Petua ini adalah kesinambungan daripada "Petua Istiqamah Membaca Al-Quran" yang pernah diberi sebelum ini. Bagi yang ketinggalan, saya sertakan dulu "Petua Istiqamah Membaca Al-Quran"

Alhamdulillah.. Kedua-dua petua ini telah saya praktikkan dan terbukti keberkesanannya.

PETUA ISTIQAMAH MEMBACA AL-QURAN.

Petua ini saya dapat dari Majalah Gen-Q dalam 3 tahun lepas. Bunyinya lebih kurang begini, "..BACALAH MINIMUM 10 AYAT AL-QURAN SETIAP HARI.."

Sebelum mengamalkan petua tersebut, saya sangat jauh dari Al-Quran. Nak baca seminggu sekali pun susah, baca 2 minggu sekali ada la juga kadang-kadang.

Kemudian, saya amalkan baca minimum 10 ayat sehari. Baca 10 ayat selepas mana-mana waktu solat, saya langsung tak baca lebih daripada 10 ayat, siap kira lagi sebelum baca supaya cukup 10 ayat. Saya baca sekali dengan terjemahannya.

Cadangan saya, kalau tak dapat baca 10 ayat sehari, baca kurang dari tu pun tak apa asalkan istiqamah. Tapi baca sekali dengan terjemahan. InsyaAllah apa yang kita baca seolah-olah masuk ke jiwa dan hati.

Mula-mula, memang perlu paksa diri. Paksalah diri untuk membaca walau satu ayat sahaja sehari, tapi istiqamah.

Lepas praktikkan petua 10 ayat ni, saya rasa dekat sangat dengan Al-Quran. Sehari mesti akan baca Al-Quran, kalau tak baca rasa macam ada kekurangan. Cubalah petua ni, mesti akan rasa satu perasaan yang sangat "lain". Praktikkanlah untuk merasainya sendiri.

Alhamdulillah, dari membaca 10 ayat Al-Quran setiap hari, sekarang saya baca lebih dari jumlah tersebut. Saya agak kurang pasti sebenarnya bagaimana perjalanan dari membaca 10 ayat Al-Quran sahaja dalam sehari, sekarang dapat habiskan dalam 1/2 juz dalam sehari.

Panduannya adalah seperti di bawah:

PETUA KHATAM AL-QURAN DALAM TEMPOH SINGKAT.

Dengan kelajuan bacaan yang sederhana serta dibaca bersekali dengan terjemahan Bahasa Malaysia, berikut adalah purata tempoh masa yang diperlukan untuk menghabiskan bacaan:

Plan A: 1 Juz = 120 minit
Plan B: 1/2 Juz = 60 minit
Plan C: 1/4 Juz = 30 minit
Plan D: 1/8 Juz = 15 minit

Jadi, tempoh masa yang diperlukan untuk menghabiskan kesemua 30 Juz dan khatam Al-Quran adalah:

Plan A: 30 hari (1 bulan)
Plan B: 60 hari (2 bulan)
Plan C: 120 hari (4 bulan)
Plan D: 240 hari (8 bulan)

CONTOH: Jika anda istiqamah dengan PLAN C, iaitu memperuntukkan 30 minit sehari untuk membaca Al-Quran, anda dapat khatam Al-Quran selepas 120 hari (tempohnya akan sedikit berbeza untuk wanita). Bermakna anda dapat khatam Al-Quran 3 kali dalam setahun. Tidak perlu dihabiskan 30 minit sekaligus. Boleh curi sana curi sini sedikit masa. Mungkin baca 15 minit selepas solat Subuh dan 15 minit selepas maghrib. Yang penting, jumlah masa bacaan adalah 30 minit. Berhenti bila dah dapat 30 minit. Istiqamah membaca Al-Quran 30 minit sahaja sehari.

Saya tak galakkan untuk terus amalkan "Petua Khatam Al-Quran Dalam Tempoh Singkat". Mulakanlah dulu dengan "Petua Istiqamah Membaca Al-Quran". Bukankah amalan yang sedikit tapi berterusan itu lebih disukai Allah?

Akhir kata, sentiasa mulakan bacaan Al-Quran dengan Surah Al-Fatihah dan doa. Utamakan kualiti berbanding kuantiti. Baca perlahan-lahan dalam ketenangan. Jangan mengabaikan tajwid. Baca berserta terjemahan supaya kita dapat mempelajari dan memahami isi kandungan Al-Quran.

*Tempoh masa untuk menghabiskan bacaan mungkin sedikit berbeza daripada yang dinyatakan disebabkan kelajuan bacaan setiap individu yang berbeza. Tempoh masa yang dinyatakan di atas adalah berdasarkan bacaan saya yang sederhana, tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.

Selamat mencuba.

"Yaa Muqallibalqulub Tsabbit Quluubana Alaa Dinik"

– Kak Long

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *