Pindah Sekolah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua pembaca IIUM Confession,

Sesungguhnya saya menulis bukan niat untuk mendabik dada tentang anak saya tapi saya mohon kata-kata motivasi untuk kekuatan saya dan anak saya yang bakal berpindah ke sekolah baru. Bunyinya remeh tapi ada cerita di sebaliknya.

Bermula tentang cerita anak sulung saya, tahun ini sesi persekolahan baru bermula Mac nanti, dia akan menginjak ke tahun 6. Alhamdulillah, Allah jadikan dia anak yang cerdik, cemerlang dalam akademik juga kokurikulum.

Sejak dia mula bersekolah sewaktu umur 6 tahun, dia sentiasa mendapat tempat pertama bukan sahaja di dalam kelas malah keseluruhan darjah baik di SK mahupun SRA, bersaing bersama-sama hampir 600 orang kawan sedarjah, ya ramai, sekolahnya dalam kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

Dia pengawas sekolah, aktif dalam kokurikulum (bukan sukan), mewakili sekolah dalam pelbagai acara dan pertandingan sehinggakan ke peringkat kebangsaan.

Sejak dari tahun 2013-2023, kami bermastautin di kawasan M ini. Pada hemat kami, mungkin kami akan duduk sini lama, tapi perancangan Allah mengatasi perancangan manusia, memang tidak boleh tidak, kami terpaksa berpindah ke kawasan B yang jauhnya 30 minit jika tidak jem, dan menempuh highway.

Sepatutnya kami berpindah pada tahun 2022, tetapi pelbagai masalah timbul, berlarutan hingga hujung tahun 2023.

Setelah berbincang dengan gurunya, pada mulanya kami bercadang untuk meneruskan persekolahan anak di sekolah di kawasan M sehingga dia tamat darjah 6, jadi since Januari 2024, saya cuba berulang-alik menghantarnya.

Sewaktu perjumpaan prestasi yang lepas, saya suarakan pada cikgu yang anak saya terpaksa berpindah. Cikgunya tersandar, katanya sangat sayang untuk anak berpindah selewat ini.

Lagi pula sekarang markah PAJSK sangat dititikberatkan, jadi cikgunya khuatir, bila di sekolah baru, anak saya tenggelam potensinya dan tidak dapat lagi aktif berkokurikulum kerana dia merupakan murid baru dan cikgu pasti mengambil masa untuk mengenalinya, jadi dia tak dapat menambah markah PAJSK di tempat baru.

Tambahan pula, anak turut dicalonkan sebagai salah satu calon penolong ketua pengawas, jadi cikgunya menyuarakan kerugian melepaskan peluang besar sebegitu andai anak terpilih.

Anak juga terlibat dengan program yang menuntut latihan khusus berbulan-bulan, jadi kalau anak berpindah, sekolah terpaksa melatih murid baru dan ini merupakan kerugian kepada pihak sekolah.

Pesan cikgu, cubalah ibu berkorban kerana dia sendiri sebagai cikgu juga berulang alik dari rumah ke sekolah dengan jarak 20-30 minit juga. Aduhai…

Jadi pengorbanan saya bermula, selama sebulan ini sejak Januari 2024, saya cuba rutin baru menghantar anak ke sekolah kawasan M. Seawal 6.30 pagi saya akan hantar anak ke sekolah bersama-sama baju tukarnya untuk ke SRA.

Anak saya berdikari transit sendiri di masjid sebelah sekolah, tukar baju, makan tengahari, solat dan berehat di sana pada waktu tengahari sebelum dia berjalan bergerak ke SRA.

Adiknya berumur 9 tahun yang bersekolah sama tapi berlainan sesi juga menjalani rutin yang serupa. Pukul 6 petang saya dah berada di sana mengambil anak-anak pulang ke rumah dari kawasan M ke kawasan B.

Kawasan M-Kawasan B, 30 minit sehala jika tidak jem, ditambah pula dengan tol. Bunyinya achievable untuk dilaksanakan tapi hakikatnya tidak mudah. Cabaran paling besar adalah masa, tenaga dan kewangan.

Saya cuma seorang surirumah dan suami seorang berkerja merupakan eksekutif swasta golongan B40. Untuk saya sendiri, saya habiskan masa selama 2 jam lebih di dalam kereta, paginya 30 minit pergi menghantar dan 30 minit balik ke rumah.

Petangnya 30 minit pergi mengambil dan 30 minit balik ke rumah. Bersama-sama dengan anak saya yang bongsu berumur 3 tahun. Kereta kami cuma satu dan downsidenya adalah jenis kereta makan minyak untuk pemanduan di dalam bandar, jadi belanja untuk petrol adalah tinggi, belum termasuk tol.

Sudah dikira-kira, kami perlukan lebih RM1k hanya untuk perbelanjaan menghantar anak-anak ke sekolah, belum dikira segala komitmen yang lain, jika tiada timbul isu dan kami betul-betul hidup seadanya, betul-betul cukup-cukup.

Tapi melihat dari segi jangka masa panjang, jika ada kecemasan atau timbul isu di kemudian hari, kami tiada duit extra untuk dibelanjakan.

Setelah sebulan ini saya dan anak-anak mencuba, suami buat keputusan yang dia tak mampu menanggung belanja dan berkeras untuk pindahkan anak-anak ke sekolah kawasan B yang jaraknya cuma 5 minit dari rumah.

Kami ajukan perkara itu kepada anak-anak, maka menangislah yang sulung mengenangkan dia bakal meninggalkan kawan-kawannya, gurunya, reputasinya yang dibina selama 5 tahun.

Saya cuba terangkan kepadanya pros n cons berpindah ke sekolah kawasan B, tapi bukanlah saya yang berada di tempatnya, tentulah saya tak merasa betapa berkecamuknya hati remajanya.

Keputusan ini dibuat dengan hati yang sangat berat, mengenangkan dia anak yang sangat baik, tak pernah menyusahkan kami malah menjadi kebanggaan kami tapi apakan daya, kami terpaksa.

Jadi esok, saya akan ke pejabat memohon untuk perpindahan sekolah. Cikgunya masih belum tahu.

Maaf, saya mohon tiada kata-kata nista hanyalah saya mengharapkan kata-kata sokongan dan semangat untuk saya sendiri dan untuk saya sampaikan kepada anak saya kerana saya juga merasakan kesedihannya, saya sendiri juga menangis.

InsyaAllah kalau dari segi akademik, anak boleh meneruskan kecemerlangannya, saya rasakan sekolah di mana-mana, pembelajarannya InsyaAllah boleh dikuasai.

Tapi dia akan bermula sebagai murid biasa tanpa apa-apa jawatan yang saya kira bukan perkara buruk, tetapi perwatakan anak yang suka menyerlah membuatkan saya risau dia rasa dipandang rendah dan tak dihargai.

Mohon kalau-kalau pembaca ada pengalaman yang sama, boleh kongsikan kata-kata semangat untuk kami. Tolong…

-Mama pun sedih jugak….-

– Mama Sedih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. I have read some excellent stuff here Definitely value bookmarking for revisiting I wonder how much effort you put to make the sort of excellent informative website

  2. Amat bersimpati dgn sis. Anak lelaki sy betul2 serupa dgn anak sis. Dia baru je tamat darjah 6. Anak sy cemerlang akademik, sahsiah dan kokurikulum. Markah pajsk nya tinggi. Pd majlis kecemerlangan baru2 ni, dia mendapat anugerah Tokoh Murid. Dari penceritaan, Sy rasa anak sis juga boleh jadi tokoh murid. Darjah 6 ni ialah prime year utk murid drjh 6. Tahun ni mereka akan menyerlah dlm segala aspek. Wakil semua program. Kursus sana sini. Tapi cikgu lah yg calonkan. Kalau cikgu tak kenal, susah juga.. kalau sy di tempat sis, mmg sy susah hati juga. Sy faham juga kesulitan sis alami. Mmg susah dgn jarak, kewangan, masa. Kalau anak sis biasa2 mungkin tak apa, tapi anak sis kesayangan guru dan murid harapan. Jika sis dan suami dah buat keputusan, teruskan shj. InshaAllah bnyk lagi peluang utk anak sis menyerlah. Anak sis yg baik dan hebat spt benih yg baik, dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *