Profesor Tiada Teman Berbual

Nama saya Hasbullah (nama samaran), saya berkerja sebagai profesor universiti, isteri juga bekerja di organisasi yang sama namun sebagai staf pentadbiran.

Alhamdulillah kami dikurniakan anak-anak yang baik, hidup kami agak senang, mungkin boleh dikategorikan sebagai T20.

Saya hampir memasuki usia 50 tahun, manakala isteri beberapa tahun lebih muda daripada saya.

Secara ringkas saya berpandangan isteri saya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kami.

Saya jenis pendiam, tak ramai sangat kawan, apatah lagi mempunyai teman rapat yang dapat minum bersama saban hari. Manakala isteri sebaliknya pula, dia agak peramah dan ramai kawan.

Rutin kami setiap pagi, mungkin sejak 4 tahun yang lepas adalah kami pergi kerja secara berasingan disebabkan kami bergilir menghantar dan mangambil anak pulang dari sekolah.

Pada hari bekerja, biasanya saya bersarapan pagi dan makan tengahari bersendirian atau kadang-kadang bungkus sahaja,

Manakala isteri selalunya tidak bersarapan namun keluar makan tengahari bersama teman-teman rapat sepejabat dia.

Dirumah, isteri biasanya menyiapkan makan malam sebelum Maghrib, saya bersolat Maghrib di surau dan makan malam selepas solat Maghrib atau jika ada kuliah agama di surau, saya makan malam selepas Isyak.

Isteri selalunya makan malam terlebih dahulu bersama anak-anak.

Pada hari minggu isteri selalunya sediakan sarapan dan makanan tengahari. Tapi kami tetap juga jarang makan bersama,

Biasanya saya makan sejurus dia siap memasak manakala bila saya ajak makan bersama, isteri kata selepas memasak dia macam belum berselera lagi nak makan, jadi saya makanlah bersendiran lagi.

Begitulah rutin seharian saya dan isteri sejak beberapa tahun lepas. Isteri mungkin selesa bersosial bersama rakan pejabat, manakala saya kerap bersendirian tidak punya teman bicara.

Biasanya dirumah, saya dan isteri tidak banyak sangat berbual, bergurau jarang sekali, hanya berbual perkara rutin dan penting sahaja.

Namun begitu, pada cuti-cuti panjang persekolahan kami sekeluarga kerap juga pergi bercuti di hotel atau resort. Ada juga waktunya kami sekeluarga bercuti ke luar negara.

Kalaulah boleh dikatakan masalah, ‘kesepian’ atau ‘keseorangan’ yang saya rasakan ini mungkin tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan masalah orang lain. Namun sedikit sebanyak perkara ini menggangu emosi saya.

Nak dikata depresi saya tidak pasti, namun apa yang pasti saya merasakan prestasi kerja saya tidak sebaik dahulu,

Kadang-kadang seperti kemurungan, kurang bersemangat dan tidak lagi bersungguh melaksanakan tugas seperti dahulu.

Di usia ambang 50 ini saya pun tak mahulah memikir perkara-perkara berat, kalau boleh nak relax-relax sahaja dalam serba serbi.

Mungkin di usia sebegini saya memerlukan seseorang untuk berbual-bual dengan lebih kerap untuk bercerita tentang kehidupan.

Saya ada juga melibatkan diri dalam suatu aktiviti rekreasi bersama rakan, namun tidaklah sekerap mana, mungkin sekali dalam sebulan atau dua bulan. Itulah sahaja waktu yang saya ada untuk bersosial bersama rakan.

Selalu terfikir mahu berterus terang menyatakan rasa ‘keseorangan’ ini kepada isteri, namun bimbang isteri berkata saya mengada-ngada pula, lantas saya batalkan hasrat tersebut.

Kadang kala terfikir benda ‘nakal’ iaitu manalah tahu saya bertemu orang lain yang sudi menjadi peneman bicara saya, agaknya saya akan terpaut pada orang tersebut.

Namun di usia begini, anak pun dah besar, saya tak mahulah nak hadap perkara-perkara berkaitan ‘orang ketiga’ ni.

Mahu perang besar saya dan isteri nanti agaknya. Aduhai tak sanggup nak hadap.

Daripada menghadapi konflik rumahtangga, biarlah saya pendam rasa keseorangan ini, moga Allah beri saya kekuatan untuk hadapi dan moga saya menjadi suami dan ayah yang lebih baik.

Saya terus berdoa. Jika ada rakan pembaca IIUM Confessions yang sudi memberi kata-kata nasihat, saya dahului dengan jutaan terima kasih.

– Hasbullah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *