‘PTSD’kah Aku?

Salam sejahtera semua. Lama aku tak meluah di sini. Kadangkala aku nak meluah tapi tak terluah sebab kehilangan kata-kata, dan terlalu banyak yang membebankan hingga aku fikir lebih baik aku diam sahaja.

Tapi diam aku ‘membunuh’ aku dalam diam.

Dulu aku pernah berkongsi kisah rumahtangga aku, dari saat sengsaranya hidup aku sepanjang berumahtangga sehinggalah bercerai akhirnya.

Aku sangkakan noktah di situ rupanya kesan selepas episod hitam yang aku lalui lagi kuat menghantui.

Macam tajuk aku; aku sendiri self-diagnosed diri aku sebagai PTSD sebab simptom dan tanda-tanda tu banyak menjurus ke arah itu.

Aku kemurungan selepas bercerai. Aku menjauhkan diri dari semua orang dan mengelak bertemu sesiapa pun.

Banyak kali aku tidur masih dihantui mimpi ngeri dan aku jadi takut untuk membaca atau menonton kisah kezaliman rumahtangga.

Aku masih rasakan bekas suami aku ada lagi dan masih terngiang-ngiang segala kata kesat yang dia maki dulu. Malah aku masih terasa sakitnya tubuh badan aku dipukul dulu sepanjang perkahwinan.

Aku bina hidup baru sedikit demi sedikit selepas bercerai. Cumanya aku jadi pasif, aku takut bercampur gaul dengan orang.

Aku blocked semua nombor telefon dan hanya berkomunikasi dengan family serta kawan yang aku percayai sahaja.

Aku berpindah jauh dari kawasan yang aku pernah diami dengan bekas suami. Sebab aku taknak terserempak dengan dia lagi. Malah aku taknak sesiapa tahu di mana aku tinggal sekarang.

Hidup aku macam ‘pelarian’. Ya, aku pilih jalan hidup macam tu. Macam-macam orang lemparkan pada aku seolah-olah aku ni isteri yang jahat.

Mereka tak tahu kisah kezaliman dalam rumahtangga aku dulu. Aku diseksa mental fizikal oleh bekas suami dan mertua selama bertahun-tahun.

Bekas suami macam biasalah masih dengan watak penuh bertopeng, hinggakan orang takkan percaya pun dia sezalim itu. Hanya orang terdekat sahaja yang tahu bagaimana zalimnya bekas suami aku dan keluarga bekas mertua.

Aku cuba untuk hidup normal seperti biasa, tapi jantung aku jadi berdebar dan aku tak percayakan sesiapa.

Aku jadi rimas dengan soalan-soalan kenapa bercerai, apa sebab, dan ada yang turut menyampaikan pada aku tentang bekas suami ku sekarang.

Aku seboleh-bolehnya tak mahu lagi menjawab dan mengenang kisah lalu.

Sakit. Ya sangat sakit.

Malah ada yang semudah itu katakan bahawa aku ini pendendam, putuskan silaturrahim. Ya Allah… kalaulah kamu tahu episod yang aku lalui.

Aku bukan pendendam, tapi aku tak sanggup memperjudikan masa sekarang dan masa hadapan aku. Kamu tak tahu bagaimana zalimnya bekas suami aku dulu.

Kamu tak tahu bagaimana aku hidup dalam ketakutan kerana disihir oleh bekas mertua. Kamu taktahu tahap kezaliman mereka pada aku, jangan semudah itu menuduh aku pendendam.

Aku ambil cara menjauhkan diri ini sebab aku taknak hidup aku derita lagi dan tiada noktah. Aku nak hidup normal macam orang lain. Usia aku pun bukan muda lagi. Bukan mudah aku nak bina hidup pada usia sekarang ni.

Untuk mengenali lelaki lain pun aku jadi takut kerana aku dah tak mampu beri kepercayaan pada sesiapa lagi.

Sebab aku akan terus terbayang bagaimana sikap bekas suami sebelum berkahwin denganku dan selepas berkahwin bagaimana wataknya berubah menjadi terlalu zalim.

Usia aku begini, siapa lagi yang ada untuk aku? Untuk berkahwin dengan lelaki muda, aku tak berani. Untuk berkahwin dengan duda, bagaimana pula penerimaan bekas isterinya atau keluarganya?

Jika ada anak, lagi menjadi beban untuk aku. Aku tak mahu fikir soal jodoh lagi sebab aku pilih untuk fokus pada kerjaya dan keluarga sendiri. Aku pilih untuk berbakti pada keluarga aku berbanding mencari cinta.

Di usia mencecah 40 tahun, aku tak harapkan apa-apa selain ketenangan hidup. Aku trauma dengan rumahtangga aku dahulu. Trauma yang membawa kesan kepada gaya hidup aku sekarang.

Aku dah tak seceria dulu, aku penuh berahsia dan aku pilih jalan menjauhkan diri dari orang.

Doakanlah aku untuk lepaskan diri hidup dalam trauma begini. Aku tak sanggup tidur malam aku terganggu dengan mimpi ngeri, hidup aku dirasakan seperti bayang-bayang bekas suami dan bekas mertua masih menghantui aku.

Pergilah masa lalu, pergilah mimpi ngeri ku.

– Teratai (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *