Ramadhan Dulu-dulu

Sudah dekat bulan puasa, aku termenung di petang hari sambil mendengarkan radio klasik memutarkan lagu ramadhan oleh Ramli Sarip,

Terkenang zaman budak-budak dulu waktu mula berpuasa, zaman dulu seronoknya bukan main nak sambut kedatangan ramadhan.

Beberapa hari lagi nak masuk bulan ramadhan, ayah dan mak sibuk menyiapkan bekalan untuk menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.

Segala jenis ikan kering, telur masin, papadom, budu, pendek kata makanan untuk bersahur dipersiapkan, saat paling dinanti adalah pengumuman dari penyimpan mohor besar raja-raja bahawasanya esok puasa. (Sekarang orang tak ambil peduli pun)

Aku mula belajar berpuasa pada umur yang muda namun faham-faham la, Berpuasa tak penuh? Mungkin sejak berusia lima atau enam tahun.

Masih segar dalam ingatan bagaimana aku ter mamai-mamai ketika mak kejutkan untuk bersahur kali yang pertama.

Sedangkan aku yang suruh gerak pada sebelah malamnya, Beria-ia. Tetapi pada sahur yang pertama itu aku sekadar bangun untuk menyambung tidur di meja makan. Esoknya aku berpuasa juga. Sampai jam 9 pagi.

Hari-hari selepas itu barulah aku mula belajar berpuasa dalam erti kata sebenar. Sebelum tidur, mak ajar niat berpuasa Ramadhan. Dwi bahasa.

Tetapi waktu itu aku tak mampu hendak mengingati versi bahasa Arabnya. Jadi aku niat puasa menggunakan ‘subtitle’ nya sahaja. Tidak macam sekarang siap dibuat lagu oleh Raihan.

Masih ingat sangat hari pertama berpuasa itu aku berubah menjadi seperti zombie. Dengan perkataan lain, aku bukan MAT KALUT yang biasa.

Yang celik sahaja mata akan terus ceria. Yang selepas sahaja basuh muka akan berkejar ke dapur untuk melihat sarapan apa yang mak sediakan. Aku dan makan sampai sekarang pun berpisah tiada. (Sebab tu Gemuk sangat).

Tetapi hari itu hendak basuh muka pun aku rasa tidak berdaya. Dari saat mula bangun, aku sudah mengira berapa jam lagi waktu berbuka puasa.

Aku yang tahu, aku berbuka lebih awal pada hari itu. Sebelum jam satu. Puncanya kerana aku terjumpa air sirap dan baki kanji (bubur lambuk) dalam peti sejuk.

Silap aku adalah kerana membuka pintu peti sejuk itu, tetapi mak lebih silap sebab mak letakkan air sirap dan baki juadah berbuka di situ.

Hari-hari selepas itu pun aku berpuasa separuh hari juga. Konsepnya mudah dan menjadi amalan turun-temurun. Hari ini separuh, esok separuh, apabila dicampur jadilah satu hari penuh.(hahaha)

Dan ketika kali pertama berjaya berpuasa penuh satu hari adalah pada umur tujuh tahun, kegembiraan aku tidak tergambar. aku berasa betul-betul hebat.

Terasa macam hendak menjerit memberitahu seluruh dunia. Betapa hebatnya aku boleh berpuasa penuh seharian. Tapi masih berbaki 29 hari lagi. Sebab ayah berjanji kalau aku dapat berpuasa penuh 30 hari tahun ini, aku akan diberikan duit raya sebanyak 50 Ringgit.

Ketika kali pertama berpuasa penuh seharian aku mengisi hari dengan melihat jam. Berpuluh kali.

Malah setengah jam sebelum waktu berbuka, aku duduk menghadap jam di dinding. Melihat jarumnya berdetik sambil membayangkan apa yang aku hendak makan dan hendak minum dahulu nanti.

Mengikut rancangan, apa sahaja yang ada di atas meja aku akan ‘belasah’ tetapi apabila tiba waktu berbuka, selepas menghabiskan dua gelas air, sepotong kuih dan tembikai aku terus mencari bantal.

Tahun tersebut puasa jatuh pada musim cuti sekolah, jadi aktiviti aku hanya tidur seharian sebelum waktu berbuka, dan setiap kali terjaga dari tidur pasti jam dinding akan aku tengok dan sambung tidur semula.

Aku tak mahu bazirkan tenaga aku ni untuk perkara-perkara yang merugikan seperti pergi bermain dengan kawan-kawan di luar, setiap kali Amir dan Jan panggil aku untuk ajak bermain pasti aku akan perli mereka.

“Hangpa tak puasa tak apalah, aku ni nak dapat pahala banyak, aku puasa, tak boleh bercampur dengan hangpa, nanti tak dapat pahala.”

Setelah penat tidur seharian ayah akan ajak aku tengok ‘Jejak Rasul’ sebelum sambung tengok Chef Wan masak macam-macam.

Tengok Jejak Rasul pada aku ok, banyak juga ilmu sejarah rasul-rasul dapat aku tahu, tapi bab Chef Wan masak tu aku tak boleh terima, kenapa rancangan begitu ada pada bulan ramadhan ini saja. (aku tak tahan tengok aaaaaaaa, menjerit dalam hati).

Mungkin ramai nak tahu sama ada aku dapat puasa penuh atau tak tahun tu.

Jawapannya tidak, sebab aku terpengaruh dengan budak dua orang tu, syaitan kecil yang tak diikat. Tapi aku tetap dapat 50 ringgit walaupun aku ponteng puasa 3 hari makan rambutan rumah jiran sebelah.

Tahun-tahun seterusnya bukan sahaja menjadikan aku lebih biasa dengan amalan berpuasa, malah mula memahami nikmat dan keseronokannya.

Seronok membeli air batu di kedai Cina, seronok membayangkan sirap bercampur biji selasih membasahi tekak, seronok berebut-rebut juadah di meja makan dengan adik-beradik.

Bagi kanak-kanak yang segenerasi dengan aku tentu sedia maklum bahawa Ramadhanlah satu-satunya bulan di mana kami berpeluang makan minum dengan semahu-mahunya.

Itulah bulan di mana ada sahaja juadah baharu tersaji di meja setiap hari. Tidak perlu lagi berlegar pada lauk-pauk dan kuih-muih yang sama.

Sesukar mana sekali pun kehidupan sesebuah keluarga, ayah dan mak lazimnya akan berusaha menyediakan juadah yang istimewa daripada biasa untuk kami.

Anak-anak sekarang mungkin tidak merasai keseronokan itu. Kebanyakan mereka boleh mendapat makanan yang sedap-sedap pada bila-bila masa.

Apatah lagi dalam era Foodpanda dan GrabFood ini. Budak-budak zaman aku jika diajak ke pasar Ramadhan oleh ibu bapa, seronoknya mengalahkan Rohingya mendapat kad UNHCR.

Anak-anak sekarang, sudah sampai bazar pun liat hendak keluar dari kereta. Ketika aku tinggal di Taman Ria,Sungai Petani, ikatan kejiranannya cukup kuat. Setiap petang bulan Ramadhan ada sesi bertukar-tukar kuih.

Dengan bermodalkan seperiuk bubur gandum yang diagihkan kepada jiran, kita akan menerima pemberian balas yang selalunya berupa juadah yang berbeza-beza. Macam magik.

Masak hanya bubur gandum tetapi bila waktu berbuka di atas meja ada karipap, onde-onde, seri muka, ketayap dan bermacam-macam lagi. Sendawa sampai sahur.

“Ada juga pengalaman bertukar juadah Ramadhan ini yang kelakar”

“Mak aku masaklah mee goreng. Diberinya seorang sebekas kepada enam jiran kami. Hanya seorang jiran tu yang balas dengan bihun goreng, yang lima lagi secara kebetulan balas balik dengan kuih spera (karipap inti kelapa).”

“Kesemua kuih spera itu pula bentuk dan rasanya sama. Kami syak, secara kebetulan juga mereka beli di gerai yang sama!” #dush!

Selamat menyempurnakan ibadah Ramadhan.

– MAT KALUT (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *