REPLY: Dilema 1bu Bekerja

Assalamualaikum semua. Saya terpanggil untuk tulis confession ni selepas baca confession dilema ibu bekerja, (https://iiumc.com/dilema-1bu-bekerja/).

Sedikit pengenalan saya merupakan seorang ibu bekerja yang mempunyai tiga orang anak.

Saya bekerja shif pagi seminggu dan shif malam seminggu. Cuti setiap hujung minggu sabtu ahad.

Waktu saya bekerja shif malam suami akan menjaga anak sepenuhnya. Jadi saya hantar pengasuh waktu pagi saja.

Apa yang saya nak katakan memang susah kalau kita berurusan dengan saudara mara atau adik beradik dalam urusan kerja ni. Sebab selalunya mereka susah nak profesional.

Ibu mertua saya merupakan seorang pengasuh. Memang dari muda dia mengasuh budak dan tidak dinafikan dia mengasuh dengan baik.

Anak-anak asuhan berada dalam keadaan bersih dan kemas. Dia juga seorang yang penyayang.

Saya tinggal bersama ibu mertua atas alasan suami satu-satunya anak lelaki dan bertanggungjawab untuk menjaga kebajikannya.

Semasa mengandung anak pertama saya sudah mencari pengasuh lain kerana tidak mahu menyusahkannya.

Dia pun bersetuju kerana dia mempunyai anak asuhan tiga orang waktu itu.

Namun selepas kelahiran anak saya lain pula jadinya. Saya sempat menghantar anak saya ke pengasuh berkenaan selama dua bulan namun ibu mertua seperti tidak berpuas hati.

Setiap hari pasti ada saja rungutan darinya mengatakan anak saya tidak dijaga dengan baik, tidak bersih dan sebagainya.

Bagi saya pengasuh telah menjaga dengan baik. Saya juga selalu masuk ke rumah pengasuh semasa ambil dan hantar anak saya. Suasana dalam rumah juga bersih dan selamat untuk anak saya.

Namun tidak pasti kenapa ibu mertua tidak berpuas hati.

Pengasuh anak saya turut mengadu dia tidak selesa menjaga anak saya kerana ibu dan bapa mertua selalu mengambil anak saya awal.

Biasanya tengah hari mereka akan ambil dan menyebabkan anak asuhan lain yang dijaga pengasuh menangis kerana nak ikut balik.

Selepas dua bulan pengasuh sendiri mengatakan tidak mahu menjaga anak saya lagi kerana dia tidak selesa.

Ibu mertua menyatakan hasrat ingin menjaga anak saya memandangkan anak asuhan lain telah besar dan bakal bersekolah.

Saya walaupun berat hati bersetuju dan membayar harga seperti anak asuhan lain iaitu RM400 sebulan.

(Memang rate kawasan saya baby RM400) dan ibu mertua hanya menjaga waktu pagi saja. Malam dan hujung minggu saya dan suami akan jaga sepenuhnya.

Dari awal saya agak tidak berpuas hati kerana jika saya bekerja shif malam bila saya pulang waktu pagi memang saya kena uruskan anak sepenuhnya.

Ibu mertua akan keluar beli barang atau makan bersama bapa mertua di luar dan tinggalkan anak saya. Ataupun ibu mertua akan berada di bilik seharian dan menghiraukan anak saya kerana saya ada.

Saya cuma mengharapkan dia tengok anak saya dari pukul 8 pagi – 12 tengah hari sekurang-kurangnya supaya saya dapat melelapkan mata sekejap setelah semalaman bekerja. Namun tidak ya.

Memang saya sangat tertekan setiap kali bekerja shif malam.

Tak habis dengan itu, ibu mertua kerap kali ada urusan bila saya di shif pagi. Sering-kali beliau pulang ke kampung di negeri berlainan selama 2-3 hari pada hari biasa.

Esok nak pulang ke kampung hari ini baru maklumkan kepada saya suruh ambil cuti. Terpaksa la saya ambil MC atau emergency leave dengan pelbagai alasan.

Adakala beliau pergi makan angin pada hujung minggu dan malam harinya mesej mengatakan beliau tidak dapat pulang. Hari Isnin saya kena ambil cuti lagi.

Dalam seminggu saya shif pagi mesti ada saja urusannya.

Saya bertekad hantar anak ke pengasuh lain namun dia bermasam muka dengan saya dan turut menyebabkan pengasuh tidak selesa kerana mereka akan pergi melawat anak saya tak kira waktu. Kadang-kadang mengganggu waktu tidur budak-budak lain.

Sehingga kini, ibu mertua menjaga ketiga-tiga anak saya dengan bayaran RM1200 sebulan. Anak saya yang pertama dan kedua pagi sudah ke tadika jadi dia cuma jaga separuh hari.

Namun saya tidak tergamak nak kurangkan bayaran. Cuma itulah masalah sama masih berulang dia akan suruh ambik cuti sesuka hatinya.

Belum lagi tanggapan orang sekeliling yang ingat dia jaga percuma. Bagi mereka saya menyusahkan ibu mertua kerana perlu menjaga anak saya.

Saya pun dah buntu macam mana nak selesaikan masalah ni. Dah banyak pengasuh dan taska saya pernah hantar namun semuanya tidak sanggup jaga anak saya kerana karenah ibu dan bapa mertua.

Malah pernah mereka buat laporan polis palsu mengatakan anak saya didera di taska walhal anak saya baik-baik saja.

Sejak kejadian tu saya serik dah nak hantar ke taska kerana saya malu.

Mesti ada yang cadangkan suruh pindah. Saya sendiri sudah ada rumah yang dibeli sejak sebelum kahwin namun itula suami merasakan tanggungjawabnya untuk menjaga mereka.

Doakan urusan saya dipermudahkan dan masalah ni dapat diselesaikan.

Terima kasih..

– Ibu Anak Tiga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *