REPLY: “Ikut Hati, Ibu Terluka, Ingin Restu, Hati Merana”

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Nama saya Laili (bukan nama sebenar).

Confession saya hari ini adalah balasan kepada Confession Sara iaitu “Ikut Hati, Ibu Terluka, Ingin Restu, Hati Merana” (https://iiumc.com/ikut-hati-ibu-terluka-ingin-restu-hati-merana/).

Saya pernah berada di dalam situasi Sara dan saya juga tersilap pilih. Kerana kasihkan ibu, banyak hati yang terluka.

Saya juga merupakan anak perempuan tunggal dan bongsu, mempunyai dua orang abang. Ibu merupakan seorang pegawai bank dan berstatus ibu tunggal. Sejak kematian ayah, ibu tidak pernah berkahwin lain.

Saya pernah bercinta dengan M sejak zaman sekolah. Ketika itu saya baru tingkatan 3 dan M masih belajar di Universiti. Kami berkenalan semasa program sekolah. Ketika itu M datang ke sekolah saya sebagai Fasilitator.

Selama 3 hari berprogram di sekolah saya, kami jatuh cinta pandang pertama. Saya memang lebih suka lelaki yang lebih berusia mungkin kerana faktor jarak usia abang-abang yang jauh dari saya.

Pada mulanya M add saya di Facebook dan kami bertukar nombor telefon. Kami bercinta sehingga saya habis belajar di peringkat Ijazah dan M juga mempunyai kerja yang tetap dan stabil.

Habis belajar, saya dapat kerja di tempat ibu tapi perkhidmatannya secara kontrak dan M masih bekerja di ibu kota. 10 tahun kami bercinta, macam-macam kami harungi lagi-lagi hubungan kami secara jarak jauh.

Abang-abang saya sangat mengagumi M kerana kesetiaan dia pada saya. Tidak lama selepas itu, ibu mula bertanya tentang M tetapi bukan bertanya bila M nak masuk meminang.

Ibu tanya bila M nak transfer ke negeri kami di selatan tanah air. Saya terkejut, mana mungkin M nak minta transfer sedangkan dia sudah bekerja secara tetap di sana.

Lagi pun syarikatnya tiada cawangan di negeri kami. Bukan seperti ibu, pegawai bank yang cawangannya merata di seluruh Malaysia.

Ibu kata kalau M tak nak transfer, putuskan sahaja hubungan. Ibu nak jodohkan saya dengan anak kawan ibu dan juga rakan sekelas saya semasa sekolah, Z.

Z memang dah lama minat saya, tapi dia bukan taste saya. Mungkin sebab sebaya. Dia pernah bercinta dengan rakan sekelas saya juga, tapi tak tau kenapa putus di tengah jalan.

Saya buntu. Abang tidak dapat dihubungi kerana abang yang pertama bekerja di kapal, 1 atau 2 bulan sekali baru pulang ke darat.

Abang yang kedua pula bekerja sebagai tentera dan kebetulan ketika itu dia masuk hutan. Saya meminta pendapat kedua-dua kakak ipar dan mereka kata jika M ikhlas, teruskan sahaja.

Saya memaksa M untuk menghantar rombongan meminang secepatnya kerana takut akan ditunangkan dengan Z. M turutkan kehendak saya tetapi malangnya ditolak mentah-mentah oleh ibu. Saya malu dengan keluarga M, dan malu dengan M.

M memujuk saya supaya bersabar dan berikan ibu masa. Kakak ipar juga meminta saya bersabar sehingga abang pulang dan memujuk ibu.

Di tempat kerja, rakan-rakan ibu memujuk saya untuk menerima Z. Kata mereka semasa ketiadaan saya dan abang-abang, Z lah yang banyak membantu ibu. Susah jugak bila kerja satu bumbung dengan keluarga ni.

Di rumah ibu sentiasa memuji Z dan meminta saya mengenali hati budi. Bukan saya taknak, tapi saya memang dah kenal dengan Z sejak sekolah. Cuma kenal secara mendalam belum lagi sebab memang tak berminat dengan dia.

Kali terakhir yang membuatkan saya nekad berkahwin dengan Z apabila ibu mengatakan jika bukan Z, maka terputuslah hubungan kami ibu dan anak.

Alasan utama ibu untuk mengahwinkan saya dengan Z ialah taknak berpisah jauh dari saya. Abang-abang memang bekerja tak tentu masa, kakak ipar juga sama. Dia sunyi hidup seorang diri. Pergi kerja dia happy, balik kerja dia sunyi. Rumah besar tapi tiada orang.

Z calon yang tepat kerana dia bekerja berdekatan dengan rumah kami, dan ibu bapanya tinggal lebih kurang 40 minit dari rumah kami.

Dahulu mereka duduk berdekatan, tapi setelah ayahnya pencen mereka pulang ke kampung.

Saya amat sayangkan ibu. Dari kecil memang hidup saya dengan ibu. Dialah ibu, dialah ayah. Susah payah dia besarkan kami seorang diri.

Dan saya berasa tidak berguna sebagai anak bila tidak menurut satu-satunya kehendak ibu.

Saya memutuskan hubungan dengan M walaupun ketika itu hubungan kami dah nak masuk 11 tahun. Selepas itu, saya terus block M dari semua media sosial. Saya menangis, meraung kerana tahu telah sakitkan hati satu-satunya lelaki yang saya cinta.

Saya bertunang dengan Z kira-kira 6 bulan dan selepas itu kami disatukan. Pada mulanya segalanya berjalan lancar dan kami tinggal dengan ibu. Setelah kontrak perkhidmatan saya tamat, Z meminta saya duduk di rumah sahaja.

Selepas 4 bulan kami berkahwin, adik perempuan Z buat hal di kampung dan ditangkap khalwat. Lelaki tersebut taknak bertanggungjawab dan Z memutuskan untuk adiknya tinggal dengan kami.

Kami keluar dari rumah ibu dan menyewa di kawasan yang berdekatan. Adik Z mendapatkan pekerjaan di kawasan rumah kami dan saya lah yang menghantar adiknya pergi dan balik. Bila Z cuti, dia yang mengambil alih tugas saya.

Tak lama selepas itu, seorang lagi adiknya ditangkap ponteng sekolah. Ibu dan ayah Z meminta adik-adiknya ditukarkan sekolah ke tempat kami kerana ada saya, kakak ipar yang kononnya bijak dan boleh mengubah adik-adiknya. Adik beradik Z 6 orang dan dia yang sulong.

Dan kini tinggallah saya, Z dan 3 orang adik dia di rumah kami. Saya jadi seperti grab dan tukang masak tidak bergaji. Pagi bangun memasak, menghantar adik-adik ke sekolah dan kemudian menghantar seorang lagi ke tempat kerja.

Balik rumah, masak pula untuk makan tengahari dan ambil mereka dari sekolah. Malam atau petang ambil seorang lagi dari kerja.

Mereka juga tidak menolong saya. Semua saya buat sendiri kerana alasan mereka saya tidak bekerja. Begitu rendah taraf suri rumah di mata mereka.

Saya mengadu pada Z, saya penat. Z kata penat apa, duduk rumah je kan? Saya betul-betul burn out. Dah lah setiap minggu dia nak balik kampung. Dekat kampung langsung tak rehat, di dapur je kerja saya.

Saya dah lama tak pulang ke rumah ibu sedangkan jarak rumah sangat berdekatan. Pernah tiba-tiba ibu datang ke rumah dan terkejut kerana anak dia semakin kurus dan cengkung. Saya menangis pada ibu tentang nasib saya.

Ibu menyuruh saya bersabar tapi saya tau dia juga serba salah. Dahulu dia yang memaksa saya berkahwin dengan alasan taknak berjauhan, tapi sekarang semakin jauh. Rumah dekat, tapi jarang berjumpa.

Ibu meminta saya merahsiakan dari pengetahuan abang, kerana ibu tahu abang pasti akan mengamuk jika tahu apa yang terjadi. Saya kata pada ibu, lama-lama saya mati atas jalan tengah bawak kereta.

Rutin diteruskan sehinggalah saya keguguran. Saya tak perasan saya mengandung dan tiba-tiba perut saya sakit. Sampai di hospital, doktor sahkan saya keguguran.

Saya berpantang di rumah ibu. Z tidak senang duduk. Hidupnya huru hara tanpa saya. Sepuluh hari berpatang, Z mengambil saya untuk dibawa pulang ke rumah.

Saya ingatkan dia nak jaga saya, rupanya untuk menyambung tugas menjadi ‘ibu’ kepada mereka. Sedih, saya sangat sedih.

Saya cari balik nombor telefon M, unblock M dari semua laman sosial. M masih begitu, masih membujang. Kawan M pernah cerita pada saya, M seakan hilang arah selepas saya putuskan hubungan.

Saya whatsapp M dan menceritakan apa yang terjadi. M meminta saya bersabar dan menceritakan semuanya pada abang.

Pendek cerita, rutin saya tetap diteruskan sama seperti dulu. Saya makan pil perancang, sebab taknak mengandung anak Z.

Pernah sekali ketika kenduri akikah anak abang, saya jatuh pengsan. Doktor kata saya terlalu lemah dan kurang air dalam badan. Berat turun dari 51 kg sebelum kahwin, ke 39 kg selepas kahwin. Saya tinggi, dah nampak macam batang kayu.

Saya dimasukkan ke wad untuk pemantauan. Paling sedih, ibu mertua datang melawat dan mengatakan kesian Z kena ulang alik ambik adik-adik. Masa tu saya rasa bukan Z je tapi satu family dia memang toxic.

Masa discharge saya paksa abang yang sulong ambik saya tanpa pengetahuan Z, kebetulan dia cuti selama 3 bulan. Dalam perjalanan balik rumah, saya cerita semua yang berlaku dari A to Z.

Abang mengamuk dan terus ke rumah ibu. Di sana teruk ibu kena marah dengan abang. Patutlah ibu beriya taknak abang tau rupanya dia takut.

Abang paksa Z halau adik-adik dia dari rumah atau jangan letak beban atas bahu saya, tapi Z menolak. Akhirnya, saya diceraikan talak satu oleh Z. Z menuduh saya isteri yang nusyuz kerana mengadu domba hal rumahtangga kepada orang lain.

Saya move on, apply kerja di tempat lain dan buka buku baru. Saya dapat semula hidup saya yang dulu, dan setahun kemudian saya menyambung semula hubungan dengan M.

Saya bersyukur keluarga M menerima saya seadanya walaupun saya berstatus janda. Dan kini, M suami saya yang sah dan saya sedang mengandung anak yang kedua.

Saya bersyukur, ada lelaki yang begitu setia menanti dan menunggu saya sampai macam ni. Ketika saya putuskan hubungan dulu, M memang hilang arah. Dua minggu tak masuk kerja, mujur tidak dibuang kerja. Hanya dikira unpaid.

M kata kalau saya memang betul-betul bahagia, dia bersyukur dan akan berusaha untuk move on. Walaupun saya dah block dia, dia masih mengikuti perkembangan saya dari rakan-rakan. Dia ada juga tanya khabar saya pada kakak ipar.

M tidak pernah menghalang saya berjumpa ibu, dan kami kerap menziarahi ibu.

Ibu pula menyesal dan berjanji tidak akan mencampuri urusan anak-anak lagi.

Ibu takut kehilangan saya sehingga membuatkan dia hilang pedoman dan tak fikir pasal perasaan orang lain. Ibu terlalu takut saya tinggalkan dia dan taknak hidup berseorangan.

Tapi perancangan Allah lebih baik. Ibu juga telah mendirikan rumah tangga semula dengan rakannya yang sering mereka jumpa di masjid.

Saya harap Sara fikirlah masak-masak dengan keputusan yang akan dibuat. Jangan jadi seperti saya, dua tahun menanggung seksa. Semoga semuanya baik-baik sahaja.

– Laili (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *