Assalamualaikum, Terima kasih kepada IIUMC berkongsi confession aku. Ini kali keempat aku menulis.
Aku En Oyen, bagi mereka yang tak kenal aku. Sila hadamkan dulu Siri “Nasihat Poyo Buat Wanita” (https://iiumc.com/nasihat-poyo-buat-wanita/). Bagi yang tak dapat hadamkan nasihat tersebut. PLEASE STOP baca.
Tajuk kali ini memang “klik bait”. Tapi yang tak dapat hadam penulisan lepas. Aku minta maaf kita tak sama fikrah nya. Mungkin ada yang terkejar akan sesuatu yang sementara. Bagi aku perkara yang sementara hanyalah ujian.
Perkongsian kali ini nak menjawab komentar berkaitan dengan rezeki. Ramai yang komen tentang DUNIA DAN DUIT.
Apa nikmatnya hidup didunia jika kita tak rasa bahagia, kesenangan hidup, makan minum yang lazat, rumah yang besar serba lengkap, kawan/jiran yang baik, kenderaan mewah yang tersedia dengan jenama terunggul.
Aku akui, Nabi kita ada pesan tentang kebahagiaan hidup didunia yang sebenar iaitu isteri solehah, tempat tinggal yang luas (rumah), jiran yang soleh dan kenderaan yang elok.
Maka terpanggil untuk aku kongsikan. Apa itu Asas kepada rezeki manusia. Adakah benar rezeki itu bukan datang dari Tuhan? Jika Benar siapakah yang memberi rezeki?
“Wa lao eh!!, AKU USAHA SENDIRI KOT, KELUAR SIANG MALAM, KALAU TAK KELUAR, ALAMAT NYA MAKAN PASIR, KEBULUR HABIS ANAK AKU KAT RUMAH. SUKA HATI KAU JE CAKAP WANITA TAK PERLU KERJA. HABIS TU NAK MAKAN PASIR KE ? KAU MEMANG MINDSET LELAKI SAMPAH KAN !! ”
Suka aku bawa kecaman dalam penulisan supaya kita nampak siapa diri kita sebenarnya. Jika kita meletakkan USAHA itu sebagai perkara utama dalam menyatakan pendapat, maka kita sudah tersilap memahami konsep rezeki.
Salah seorang komentar berpendapat bahawa, “kalau tak nak isteri berkerjaya pastikan kewangan stabil, boleh tanggung komitmen isteri & beri duit belanja pd ibu ayahnya di kampung.” Aku bersetuju, namun kita kena lihat dari istilah rezeki tersebut.
Jika ingin memulakan sebuah perkahwinan yang perfect, ianya mengambil masa yang agak lama untuk persediaan yang baik. Rata-rata bakal terjebak dengan ujian hidup melakukan maksiat bersama pasangan. Jika kesempurnaan yang kita cari dalam kehidupan dunia, maka kita akan lalai dengan nikmat tersebut.
Jom Ikuti pengertian rezeki dibawah.
Rezeki semuanya daripada ALLAH dengan firmanya ” Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya (rezekinya).”
– Surah At-Talaq ayat 2-3
Firman Allah menceritakan tentang 2 perkara iaitu, Takwa, Yakin nya manusia kepada Allah SWT yang memberi rezeki. Kita juga harus faham konsep rezeki yang “tidak disangka-sangka”, kita tetap usaha, tapi Allah SWT bagi rezeki itu dari jalan yang kita tak sangka-sangka.
Jika kita mengetahui hakikat ini maka kita akan lebih tenang dalam hal rezeki kerana kita tahu Allah SWT itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya. Bertepatan dengan firman Alalh seterusnya
“Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
— An Nuur ayat 32
Jelas, kepada kita rezeki itu milik Allah SWT, jika ada yang tak mampu, Allah SWT akan kurniakan yang terbaik buatnya.
Jika ada yang tidak mempercayai urusan rezeki itu adalah dari Allah SWT maka kita sedang membina kehidupan yang tidak berpaksi kan kepada ketuhanan. Ingin aku jelaskan rezeki ini luas takrifannya bukan sekadar duit.
Namun kebanyakkan kita berpendapat “cash is king” dalam menempuh kehidupan di dunia. Apakah kita sedar udara segar yang kita sedut ini juga merupakan rezeki daripada Allah SWT. Berapa ramai sekarang sedang menikmeninggal dunia udara segar dan seterusnya berasa Syukur kepada Allah SWT?
Namun fokus perkongsian kali ini adalah berkisarkan kepada duit itu sendiri. Akan aku ceritakan tentang keberkatan rezeki yang rata-rata tidak peduli langsung pada zaman sekarang. Tapi itu disiri akan datang.
Harus yang membaca hadamkan ini adalah takrifan hakiki tentang rezeki, manakala jika kita tarifkan dari sudut syariat, Perlu akan usaha-usaha kepada mencari rezeki. Ditekankan bahawa kita harus jelas tentang hakiki, seterusnya mengusahakan secara syariat.
Perkongsian ini bukan berkaitan tentang manusia-manusia yang hanya sekadar mengangkat tangan lalu berdoa kepada Allah semata-mata.
Tapi aku cuba bawa pemahaman asas dalam kita memahami konsep rezeki dalam kehidupan, baik kehidupan secara perseorangan, penceraian, kehilangan suami/isteri maupun yang baru ingin mendirikan rumahtangga.
Dalam ingin membina kehidupan rumah tangga, atau yang berpisah, atau yang kehilangan pasangan seharusnya kita sedar bahawa Allah SWT berfirman
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafaqah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafaqah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu),
Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
(Surah al-Talaq: 7)
Jelas sekali, Allah berkehendak kepada sesiapa yang ingin diberikan rezeki yang lebih, atau disempitkan rezeki seseorang itu.
Suka aku ketengahkan, untuk menjadi lelaki atau wanita yang baik, yang telah memahami maksud rezeki, untuk kurang persoalkan tentang penyediaan kehidupan yang begitu sempurna.
Jika Seorang suami itu kemampuanya sekadar sekian-sekian, maka sekian-sekian itu adalah asas kepada kehidupan pemulaan berumahtangga. Perlu difahami kita yang memilih pasangan yang sebegitu rupa dengan yakinnya bahawa Allah SWT pemberi rezeki.
Rezeki ini asasnya sangat komplek untuk kita faham, Adakalanya jika RM1000 diberi kepada pasangan A, kemungkinan kehidupan nya sangat tenang, satu keluarganya merasa nikmat ketenangan walaupun pada asasnya RM1000 itu terlalu sedikit.
Nikmat sebenar yang dirasakan Pasangan A adalah keberkatan dalam rezeki tersebut. Manakala jika diberinya RM5000 kepada pasangan B, kemungkinan kehidupan nya kekal kusut,serabut, perbelanjaan kehidupan nya berada pada paras cengkaman hutang yang membebankan.
Nikmat kehidupan telah ditarik, malah tiada keberkatan dalam kehidupan nya. Kompleks nya rezeki itu berdasarkan usaha mencari yang halal, berserta tawakkalnya kita kepada Allah.
Kita tetap kena faham bahawa, Allah SWT masih dalam ruangnya menguji hamba-hambanya. Segala kenikmatan hidup ini boleh ditarik atau diberi lebih untuk diuji.
Ingin aku jelaskan suami yang bertanggungjawab tidak akan sesekali abaikan keluarganya dengan meletakkan segala-gala urusan kepada Allah semata-mata.
Suami yang bertanggungjawab akan hadirkan maksud hakikat dan syariat itu bersama dalam menyatakan pendapatnya.Usaha mencari rezeki itu perlu, namun hakikat kepada rezeki itu juga adalah milik Allah. Kedua-duanya harus seimbang.
Wanita yang jelas akan perkara ini, dengan tenang dapat berada disamping suaminya ketika suka duka, mampu untuk tersenyum dan memberi kata-kata semangat serta dapat mendoakan suami dan keluarganya dalam kebaikkan.
Kegagalan menyediakan atau berusaha untuk membantu keluarga sebenarnya akan merendahkan nilai seorang ketua keluarga (suami).
Sekiranya seorang suami itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa kepada suaminya. Tak perlu sebenarnya wanita untuk taat kepada suami yang tidak berusaha menafkahi keluarganya.
Ianya adalah hak seorang isteri untuk berpisah jika suaminya itu gagal kepada menyediakan nafkah yang baik. Sebab itu aku pesan kepada wanita, carilah lelaki yang bertanggungjawab.
Lelaki yang bertanggungjawab tu taat akan perintah Allah, disamping akan cuba sedaya upaya untuk membimbing keluarganya mencekupkan segala keperluan keluarganya. Lelaki bukan nya manusia sempurna, namun jika masing-masign sedar akan konsep rezeki, kita akan lebih bersyukur.
Ada komentar berpendapat bahawa, Ada banyak suka duka melayari kehidupan rumah tangga ini. Kehidupan ini bukanlah sentiasa dalam keadaan tenang,bahagia semata-mata, tetapi adanya ujian yang memerlukan kita menilai dengan kebijaksanaan, hikmah, ketenangan dan kecerdikan untuk membuat keputusan demi kebaikkan bersama.
Harus jelas, berumahtangga atau tidak, kita akan tetap diuji. Yang bujang dengan cara bujang, Yang berumahtangga dengan cara berumahtangga.
Ini berdasarkan firman Allah
“Adakah manusia menyangka, bahawa mereka akan dibiarkan, dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), Allah mengetahui, siapakah orang-orang yang benar-benar beriman, dan dapat diketahuiNya, tentang siapakah orang-orang yang berdusta.
(Surah Al Ankabut 29:2-3)
Banyakkan berdoa kepada Allah semoga dimurahkan rezeki, kehidupan yang tenang, dapat menggalas ujian dengan tenang. Perbanyakkan istighfar, qiamullail, sedekah dan membantu mereka yang memerlukan.
Ingin Aku tekankan bahawa rezeki itu semuanya milik Allah, kita yang berusaha, kita berdoa untuk mendapatkan nikmatnya. Namun harus kita terima, jika usaha telah dibuat dengan niat mencari nafkah untuk keluarga tapi masih disempitkan oleh Allah sebagai salah satu bentuk ujian nya kepada kita.
Maka kita sebaiknya redha dengan ujian nya seterusnya berusaha untuk mendapatkan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. Itu janji Allah SWT.
Dalam aku selitkan pesanan kepada wanita, ianya semua berbalik kepada suami sebagai ketua keluarga. Sebab itu diawal Siri I “Nasihat Poyo Buat Wanita”, pastikan wanita cari bakal suami yang bertanggungjawab, Yang faham dan kenal erti tujuan hidup berumahtangga.
Supaya lelaki itu dapat bimbing wanita (bakal isteri) dan anak-anaknya ke syurga yang abadi. Ini perkongsian ilmiah menggunakan Ayat Al-Quran sebagai sandaran. Kehidupan kita harus berpaksikan kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi.
Jika ada yang berpendapat sebaliknya maka lebih baik aku berdiam diri. Itu adalah keputusan kita memilih untuk tidak mengikut pada yang Allah perintahkan. Namun Kelak kita akan ada ditanya tentang segala keputusan yang kita buat.
Perkongsian ini berat sebenarnya untuk kita hadam, rata-rata masih 50/50 dengan perkongsian aku nih kerana asas kepada pegangan agama kita agak lemah.
Jika kita yakin sekali pun, kita tetap nak kan nikmat dunia yang sementara ini. Tapi percayalah kita kena yakin dengan akan apa yang Allah janjikan kepada kita tentang nikmat akan datang.
Bagi yang nak impikan keluarga yang bahagia sehingga ke syurga itu bukan mudah. Memerlukan pengorbanan seorang suami yang bertanggungjawab dan isteri yang taat kepadanya.
Akan aku kongsikan beberapa topik lain, berdasarkan komen-komen dan input semua.
Ianya bukan mudah untuk aku terangkan, mungkin ada kesilapan aku dalam menerangkan sesuatu perkara, kerana aku juga manusia yang tak sempurna. Namun itu tugas untuk aku galas. Aku akan belajar dari kesilapan aku sendiri.
Terima Kasih semua.
– En Oyen (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit