Rindu Ayah

Sebenarnya aku dah lama follow IIUM confession ni. Tapi tengok dari jauh jer. Banyak kali terfikir nak hantar confession, tapi aku pendam jer. Sebab aku bukan jenis suka kongsi cerita hidup baik pada orang yang rapat mahupun tak rapat.

Bukan apa, sebab aku rasa biarlah aku dan Allah je tahu, sebab kadang-kadang sakitnya bila kita cerita tapi orang gagal memahami ataupun memberikan reaksi tak seperti kita harapkan tu lagi dalam.

Tapi kebelakangan ni, aku selalu rindu Ayah. Tapi sedikit selfish la, sebabnya aku rindu waktu aku dirundung kesedihan tanpa tepian.

Ada juga rindu yang datang tiba-tiba, tanpa sebab aku hati aku sayu, sampai seharian menangis jer sambil teringat kebaikan-kebaikan Ayah. So, hari ni aku kuatkan tekad nak berkongsi kisah manis menjadi anak kepada Ayah.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang besar. Ramai adik-beradik dengan saudara-mara. Tahap ramainya pakcik makcik aku sampai ada yang aku tak ingat rupa mahupun nama. Sadis kan? Tapi sebenarnya ada kisah kenapa aku tak kenal diaorang. Kisahnya macam ni.

Keluarga aku lain dari keluarga lain. Sejak kecil, Ibu aku tak sihat. Ibu aku tak sihat dari muda, sebelum berkahwin dengan Ayah. Tapi baiknya Ayah, sudi terima Ibu walau tak sihat. Emak aku tak sihat, sampai kadang-kadang tak kenal orang dan meracau. Tapi Ayah jaga Ibu dengan baik.

Seingat aku, ada masa Ibu aku elok, sihat, boleh memasak dan jaga anak macam orang lain, tapi ada masanya sakit sampai berubah sikapnya. Tapi Ayah sabar dan tak putus-putus bawa berubat. Hospital ada, tradisional pun ada. Tahap kemuncak Ibu sakit, Ibu jadi macam lumpuh.

Kakinya tak berfungsi langsung. Dengan kadang-kadang meracau, kadang-kadang elok, anak ramai, Ayah terus setia menjaga Ibu. Ayah mandikan Ibu, suapkan Ibu makan, sampai kadang-kadang walau lapar Ayah akan tetap pastikan Ibu makan dulu.

Kadang-kadang Ayah masak sendiri, kadang-kadang beli kedai. Ada hari Ayah angkat Ibu bawa masuk kereta, sambil pusing-pusing ambil angin pagi dan makan sarapan. Ayah kerja sendiri waktu tu. Baik kan ayah?

Tapi sebaik-baik ayah, entah kenapa Ibu selalu marah ayah. Bila berdekatan marah, tapi bila jauh Ibu jadi begitu rindu dan teringatkan Ayah.

Disebabkan Ibu yang begini keadaannya, keluarga kami sering menjadi mulut orang kampung.

Ayah pun sebenarnya dikenali orang kampung sebab sikapnya yang ramah, ringan tulang dan sering bergaul dengan orang masjid. Jadi kedua-duanya menjadi buah mulut. Perihal ibu yang sakit, dan kebaikan Ayah.

Sampai satu tahap, orang yang tak dikenali boleh tegur sebab kenal kami anak siapa. Kadang-kadang siap bercerita lagi perihal yang kami tak tahu.

Bahkan lebih dahsyat, kisah macam mana Ibu kami sakit, kisah hidup Ayah ketika muda, orang kampung lebih tahu dari kami. Reaksi aku? Aku banyak mengunci mulut.

Ayah tak pernah bercerita dalam, dan aku pun tak pernah bertanya. Hidup aku dikelilingi dengan buah mulut orang.

Disebabkan keadaan keluarga kami yang sering menjadi bualan, kami adik-beradik tak bergaul rapat dengan orang kampung mahupun saudara-mara. Bukan tiada yang baik, ramai juga orang kampung dan saudara-mara yang baik dan berbudi bahasa, tapi kami lebih suka menyendiri.

Waktu aku dilahirkan, Ayah telah pun mencecah usia 50-an. Ayah puluhan tahun lagi tua dari Ibu. Ada juga yang siap mengata sebab ayah sudah lanjut usia tapi anak-anak masih kecil, kami pekakkan. Hanya tumpu pada kehidupan kami sekeluarga.

Aku bila dah besar, sekolah rendah dalam 7-8 tahun dah boleh memasak untuk adik-adik, basuh baju sendiri, sediakan sarapan. Kami adik beradik berdikari.

Ayah tak lekang mengucap ‘terima kasih’ bila dia pulang kerja, aku sudah menghidangkan makanan tengah hari yang tak seberapa. Pada orang-orang yang ditemui, Ayah rajin bercerita tentang anak-anaknya yang membantu.

Anak-anak Ayah banyak yang masuk ke menara gading. Di sekolah sering menjadi pujian guru-guru kerana prestasi yang baik. Tapi di sebalik itu, sebenarnya ada seorang Ayah yang sering mendoakan.

Ayah rajin solat malam. Kadang-kadang pukul 4 pagi sudah bangun, untuk tahajud, solat malam. Di musim peperiksaan, Ayah akan bangun, mengaji, dan mendoakan kami. Buat air penerang hati orang kata.

Sebenarnya air botol dan kismis yang dibacakan doa-doa. Jarang sekali Ayah memaksa kami belajar, tapi mungkin kerana kehidupan kami, kami sendiri akhirnya ingin belajar.

Yela, kalau belajar pandai tak dibuli di sekolah, cikgu pun sayang. Aku sendiri menanam tekad, tak mahu jadikan kekurangan keluarga kami penyebab kami gagal di kemudian hari.

Namun Ayah semakin tua, anak-anak masih kecil. Sampai satu tahap, Ayahku membawa kereta sangat perlahan 20-30km/h sewaktu menghantar kami ke sekolah, mungkin kerana sudah tidak nampak jalan. Sekolah kami jauh dari rumah. Sekitar 10km.

Pernah satu ketika, Ayah lupa yang aku sudah diambilnya pada waktu tengah hari. Lalu petang itu, Ayah datang ke sekolah menantiku selama berjam-jam. Namun Ayah tidak memberitahuku. Aku hanya tahu setelah guruku bertanya ke manakah aku pergi semalamnya sehingga Ayahku menanti lama.

Ada satu ketika paling aku terharu apabila Ayah demam tetapi masih menghantar kami ke sekolah. Bayangkan, Ayah sakit hingga muntah berkali-kali ketika menanti adikku habis sesi persekolahan.

Walaupun Ayah adalah lelaki terbaik yang aku pernah jumpa dalam hidup, tapi pengakhiran Ayah bukanlah yang paling membahagiakan. Di usia sekitar 70an, Ayah jatuh sakit yang kerap dan akhirnya terlantar. Tak mampu menguruskan diri.

Pada ketika itu, hanya dua orang adikku masih di rumah. Seorang bersekolah rendah, seorang lagi bersekolah menengah. Yang lain bersekolah asrama ataupun di universiti. Adik-adikku itulah yang menyuap makanan, mengelap badan ayah.

Tapi walaupun terlantar, sebaik sahaja masuk waktu Ayahku akan membuat bunyi untuk memanggil anak-anaknya untuk mengambilkan Wudhu’. Akhirnya Ayah pergi selepas setahun dua terlantar. Ayong rindu Ayah.

– Ayong (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *