Rindu M4k

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Harini aku cuma nak meluahkan rasa rindu aku pada mak. Tahun ni adalah Ramadan ke 7 tanpa kehadiran mak.

Setiap kali Ramadan, perasaan aku sayup mengenang mak. Terbayang bayang wajah senyum tawanya, amarahnya serta bebelannya.

Orang kata masa tu akan menyembuhkan segalanya, tapi betul ke masa akan merawat rasa kehilangan? Kalau betul kenapa sampai sekarang masih terasa kosong di satu sisi? Atau 7 tahun masih belum lama untuk mengubati rasa itu?

Mak..

Lepas mak pergi keadaan dan suasana rumah sudah berbeza. Kakak dan abang sudah tidak ziarah seperti selalu. Cucu cucu mak jarang sekali menyebut nama mak. Kami jarang berkumpul sekali.

Seperti biasa Ramadan kalini hanya tinggal adik dirumah mak. Setiap hari adik singgah rumah mak tanpa lelah.

Adik tahu mak tak suka tengok daun kering penuh dihalaman rumah, jadi adik sapu dan cuci lantai depan setiap hari. Pokok pokok mak semua adik jaga dan siram setiap hari.

Dulu adik pernah cakap dekat mak, adik tak suka lah menanam, tangan keras nanti pokok mati. Lepas mak pergi, adik belajar cara tanam pokok dengan betul. Alhamdulillah, subur semuanya. Adik tanam semua pokok yang mak tak sempat nak tanam.

Mak..

Tiap kali adik dekat rumah, segala memori bertahun tahun dahulu terimbas kembali. Adik ternampak nampak bayang mak, terdengar dengar suara mak. Adik tengok bilik mak dah kosong. Sudah tiada penghuni di katil tu. Adik pergi ke dapur, sudah tiada masakan mak atas meja.

Dulu, mak selalu paksa makan. Sekarang adik menangis sebab nak sangat makan. Dulu mak kata “ambillah resipi ni nanti mak dah tak ada boleh buat”.

Adik cuba guna resipi yang mak bagi tu tapi tetap tak sama rasanya. Masih jelas terasa sosok mak berlegar legar dalam rumah.

Rasa rindu nak duduk dekat luar rumah setiap petang cabut uban mak. Dulu adik mengeluh cakap uban mak banyak sangat sampai bila pun tak habis. Kalau dapat diputar waktu, adik janji tak mengeluh lagi.

Permintaan terakhir mak untuk minta adik tinggal dekat rumah adik belum dapat tunaikan.

Perasaan adik terbawa bawa tiap kali tidur dirumah. Adik masih belum kuat dan tiap hari tanpa jemu adik minta dengan Allah supaya Dia kuatkan hati adik untuk menetap di rumah pusaka ini.

Mak…

Tahun ni masuk tahun ketujuh adik tak makan pisang goreng. Tak boleh masuk dalam mulut sebab teringat dekat mak. Setiap petang mak pesan belikan pisang goreng nangka.

Mak, adik dah sedekahkan semua baju baju mak cuma tinggal sehelai kain batik kesukaan mak yang adik simpan. Adik tak tahu berdosa ke tak kalau simpan tapi itulah satu satunya pelepas rindu adik dekat mak.

Dulu waktu mak ada, adik tak suka mak tanya banyak soalan sebab adik rasa mak tak faham masalah adik, jiwa adik. Tapi sekarang terlalu banyak soalan yang adik nak tanya pada mak.

Mak…

Rumah mak dulu meriah, riuh rendah dengan gelak tawa anak anak dan cucu cucu mak. Dulu mak adalah manusia paling sibuk tiap kali anak dan cucu mak nak balik. Macam macam mak masakkan sampai adik bising minta mak rehat.

Mak cuma senyum cakap “tak apalah kakak, abang duduk jauh tak selalu rasa mak masak”. Tiap kali mereka nak balik, macam macam mak bekalkan. Abang dan kakak masih ingat dan rindukan mak cuma mereka dah berkeluarga jadi tidaklah kesunyian seperti adik.

Mak…

Sejujurnya waktu Allah menjemput mak, adik rasa dunia adik gelap. Seluruh jiwa adik hilang. Adik lemas terkapai kapai tanpa tujuan.

Mereka kata anggap saja ini ujian tapi ujian ini terlalu berat mak. Mak diragut saat adik belum sempat belajar bersedia. Adik pernah doa pada Allah supaya ambil 5 tahun daripada nyawa adik dan bagi pada mak.

Adik pernah doa biar adik pergi dulu sebab ada rasa adik tak mampu hidup tanpa mak. Waktu adik marahkan mak adik pernah terlintas bahawa adik boleh hidup tanpa mak. Mungkin itulah hukuman untuk adik.

Mak…

Ingat tak setiap kali raya kita semua teruja nak pilih tema sama. Kata mak baju adik kena sama dengan mak sebab adik belum berkeluarga.

Kita buat kuih raya sama sama lepas tu bergegas ke dapur nak masak untuk berbuka pula. Lepastu malam kita merungut sebab penat hahaha. Raya tanpa mak tidak seronok lagi.

Pintu rumah hanya tertutup, mejanya kosong. Raya pertama adik habiskan dengan duduk di tepi pantai kesukaan mak sampai petang. Laut yang sama menjadi saksi.

Andai kita boleh balik ke masa lalu, aku tidak ingin mengubah apa apa. Aku cuma ingin merasai kenangan itu sekali lagi.

Kini, aku cuma menitip ibuku kepada Tuhan untuk menjaganya kerana semua itu diluar kekuasaanku. Sesungguhnya, Dia tidak akan memberi ujian diluar kemampuan hambaNya.

Adik beradikku tidak jemu memujuk aku supaya berkahwin untuk hilangkan rasa sunyi. Yang mereka tak faham, jiwa aku masih takut akan kehilangan. Tetap sahaja aku bersyukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk aku menjaga mak sehingga dia dijemput.

Maaf andai kalian berasa bosan dengan luahan ini. Bagi mereka yang merasai kehilangan, semoga Allah berkati kalian dengan menghadiahkan perkara yang baik baik sahaja sepanjang hidup kalian.

Bagi mereka yang datang dari keluarga yang toksik, yang tidak pernah mengenal erti kasih sayang dari ibu bapa, aku doakan semoga kalian dipertemukan dengan mereka yang boleh menyayangi kalian seadanya dan semoga kalian boleh menjadi ibu bapa yang baik untuk anak anak kalian.

Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah setiap detik kalian bersama mereka. Kita takkan pernah tahu waktu mereka dijemput.

Selagi ada ruang dan waktu manfaatkanlah sepenuhnya. Kalau jauh telefon lah 10 minit sehari pun sudah memadai.

Sungguh, manusia yang paling aku cemburu dalam dunia ini adalah mereka yang masih mempunyai ibu bapa untuk dicurahkan bakti.

Salam Ramadan.

– Seroja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *