Rumahku Bukan Syurgaku

Assalamualaikum semua, terima kasih kepada admin jika siarkan luahan aku ni. Aku tak nak bermukadimah panjang lebar. Cukup lah aku katakan aku anak perempuan dari 4 beradik. Kami merupakan keluarga bahagia yang tinggal di sebuah kampung di utara semenanjung Malaysia.

Walaupun keluarga kecil kami hidup sederhana tapi kami memang tak bermasalah. Tapi entah musibah apa,ujian muncul bila nenek aku kata nak menetap di rumah kami. Mungkin sesetengah orang kata apa masalahnya kan? Patut happy lah sebab nenek nak tinggal sekali. Ok di bawah ni aku akan terangkan serba sedikit kenapa nenek aku nak menetap dengan kami.

Pertama sekali, rumah nenek aku sebenarnya sebelah rumah aku je. Ye, sangat hampir. Dalam 10 langkah dah sampai rumah dia. Atuk aku dah meninggal, nenek aku tinggal dengan makcik aku dalam rumah tu. Makcik aku tu dah berkeluarga. Ada suami, anak-anak, menantu dan cucu-cucu.

Jadi bukan nenek aku sebatang kara je dalam rumah tu. Rumah tu pun memang milik nenek aku bukan dia menumpang duduk dengan makcik aku. Oh ye.. Nenek aku walaupun dah tua tapi dia sangat berdikari. Dia pandai memandu kereta dan dia memang ada sebuah kereta proton wira peninggalan arwah atuk.

Punca segala masalah ni ialah, salah seorang anak makcik aku. Dia ni memang syaitan bertopengkan manusia. Dia seorang lelaki, umur awal 20 an. Berhenti sekolah sekerat jalan akibat banyak sangat kesalahan disiplin. Kemudian berjinak-jinak dalam dunia dadah. Dia telan pil. Syabu lah, ecstasy lah, entah apa jenis lagi pun aku tak tau. Sambil-sambil tu dia menjual dadah jugak.

Korang bayangkan port jual beli dia depan rumah nenek aku. Baik punya dia berniaga kat depan pagar rumah. Aku tak faham macam mana orang dalam rumah tu boleh pejam mata je tengok. Jangan kata sebagai jiran kami tak report polis ye, dah pernah report dan pernah kena tangkap beberapa kali tapi aku tak tau siapa yang rajin sangat ikat jamin mamat ni.

Disebabkan mamat ni tak bekerja. Meniaga dadah pun kecil-kecilan, maka dia memang hari-hari minta duit dari mak dia & nenek aku. Hari-hari pau duit, tokey balak pun boleh bangkrup inikan pulak nenek aku yang tak bekerja. Pendapatan pun duit pencen arwah atuk je.

Antara mak dia & nenek aku memang apa-apa masalah dia akan cari nenek dulu sebab dari kecik nenek yang manjakan dia. Bukan mak dia. Nenek aku punya tahap sayang kat mamat ni, sampai sanggup bertekak dengan anak-anak sendiri asalkan orang jangan sentuh mamat tu walaupun dia tak habis-habis menyusahkan orang.

Dalam pada sayang tu hari-hari dia bergaduh dengan mamat tu sebab kes duit. Tapi bila ayah aku datang nak tolong, kemudian nak hempuk mamat tu, nenek aku akan berdrama buat-buat pengsan lah, siap merayu jangan apa-apakan budak tu.

Kalau terlepas jugak ayah aku dapat marah budak tu, kejap lagi nenek aku marah ayah aku balik. Kemudian bangkitkan isu bukan-bukan untuk nampakkan ayah aku ni salah, kadang habis dikaitkan mak aku & kami adik beradik. Sedangkan kami ni dah habis cuba tak nak cari pasal dengan dia tapi tetap jugak kena.

Selepas bertahun-tahun macam ni, tiba-tiba nenek aku kata dekat ayah aku, dia nak tinggal di rumah kami. Walaupun tak berapa berkenan, dengan berat hati kami terima. Sebab apa tak berkenan?

Pertama, ianya normal bila kita akan rasa tak berapa selesa tinggal dalam rumah bila ada orang lain yang nak menetap bersama.

Kedua, kami memang tak rapat dengan nenek dari kecil lagi. Sebab apa? Maaf cakap, nenek aku memang agak pilih kasih. Walau dia kata dia bagi kasih sayang sama rata tapi memang boleh nampak mana satu anak, menantu & cucu cicit yang dia sayang, mana satu yang dia layan suam-suam kuku. Aku tak nak huraikan panjang lebar bab pilih kasih ni sebab nanti meleret kisah ni jadinya.

Yang ketiga, nenek aku agak cerewet & jenis tak pikir hati orang lain. Nak cakap apa dia cakap je. Tak fikir dah orang yang dengar.

Yang keempat dia suka bercerita hal anak menantu dia. Mungkin niat cuma nak bersembang tapi bagi aku tak perlu kot. Contoh, dia datang rumah aku dia akan kata makcik aku malas masak, sepupu aku gaduh dengan suami & macam-macam lagi. Jadi tak mustahil bila tinggal dengan kami, hal kami pulak dijaja ke lain.

Walau tanpa persetujuan kami (ibu dan kami adik beradik), dia dah pun tinggal dengan kami. Dua tiga hari, ok lagi. Tapi masuk hari keempat sikit-sikit dah keluar perangai dia. Baru pukul 9 pm, nak tengok tv pun serba salah kalau dia dah buat muka. Maknanya kena masuk bilik tidur.

Kalau tetamu kami datang pun dia datang duduk dekat-dekat tapi buat muka ‘korang baliklah’ sampai tetamu nak bercakap dengan kami pun serba salah. Sebab rasa macam tak dialu-alukan datang.

Paling menyakitkan hati, tengah malam dia boleh keluar dari rumah semata-mata nak hulur duit dekat mamat tu. Itupun ayah aku yang nampak. Dia menyorok kat rumah aku, alasannya nak lari dari mamat tu. Tapi boleh lagi keluar tengah malam senyap-senyap sebab nak hulur duit.

Mak aku pulak memang penat lah. Selama ni kami jenis simple-simple je. Disebabkan dia bekerja jadi kalau tak sempat masak malam, kami makan ringkas-ringkas je. Beli nasi lemak rm1 ke, beli burger ke. Tapi dengan dia tak boleh. Kau buatlah cincai-cincai gitu jap lagi mak aku kena cop menantu pemalas. Kami pulak jadi cucu pemalas. Dia tak kata depan-depan, tapi kat belakang dia bebel kat ayah aku.

Ni kami balik kerja penat-penat tengok dia dah angkut anak makcik aku dari rumah sebelah. Sedap budak tu duk buat macam rumah sendiri. Nak makan apa ambik je. Tak mintak izin tuan rumah pun tak apa sebab nenek aku dah bagi kebenaran.

Aku bukan nak kedekut sangat tapi kalau jenis angkut cucu-cucu masuk waktu kami tak ada kemudian budak-budak tu buat macam rumah sendiri, tu yang aku angin. Mana hak kami sebagai tuan rumah? Mana privasi kami kalau orang sebelah ikut suka masuk keluar dari rumah.

Kalau dulu ketuk pintu bagi salam untuk masuk, sekarang tak payah dah sebab nenek aku dah pegang kunci. Ikut suka dia nak angkut anak cucu makcik aku masuk rumah.

Satu lagi aku tak tahan dia suka jadi “cctv”. Dia akan duduk atas sofa setentang dengan lorong. Kalau duduk situ memang strategik sangat, boleh nampak orang keluar masuk bilik, boleh tengok orang pergi dapur apa semua.

Jadi tiap kali lalu lalang dia akan nampak. Nak keluar ke, nak pergi dapur masak apa-apa ke, dia duk perhati je. Aku rasa macam tak bebas dalam rumah sendiri. Kalau dia perhati dengan pandangan mesra seorang nenek takpe. Ini pandangan dia tajam macam kita ada buat salah. Mungkin lah itu perasaan aku je tapi sumpah aku tak selesa.

Aku akui memang aku jenis yang introvert. Bukan jenis boleh huha-huha dengan sesiapa je. Tapi kalau aku selesa dengan orang tu, InsyaAllah tak ada lah aku kaku sangat. Tapi dengan dia aku tak mampu nak jadi mesra. Sebab dari kecik pun dia layan aku nak tak nak je.

Aku pun dah terbiasa dengan batas yang dia cipta dari dulu sampaikan kalau pergi rumah dia mana mak aku duduk situ la aku & adik beradik aku duduk. Orang pelawa makan aku makan, orang tak pelawa aku senyap je. Tengok je lah orang lain makan.

Aku asuh hati aku untuk tak terasa hati tengok dia mesra dengan cucu-cucu pilihan dia. Tapi bila nak minta tolong, anak cucu yang selalu dia kata macam-macam ni jugak yang dia cari.

Aku tak tau sampai bila semua ni akan berakhir. Aku harap mamat tu cepat-cepat la melingkup dalam penjara atau mana-mana pusat pemulihan supaya nenek aku balik semula ke rumahnya dan semua nya pulih seperti sediakala.

Kalau pembaca di sini ada idea macam mana nak nenek aku kembali ke rumah dia boleh kongsikan sekali. Aku pun tak nak jadi cucu derhaka, hari-hari pendam sakit hati dekat nenek sendiri. Aku cuma nak keadaan pulih macam sediakala. Sekian.

– Miss Unknown (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *