SAAT TERAKHIR BERSAMA AYAH

salam. saya ada nk kongsi sedikit kisah hidup saya. Saya dahulukan ucapan terima kasih jika kisah saya disiarkan dlm ruangan ini. Kisah ini ketika SAAT TERAKHIR BERSAMA AYAH….
Assalamualaikum warga IIUM Confessions. Oleh kerana aku juga sering membaca page ini , aku terpanggil untuk berkongsi sedikit coretan yang hingga kini masih berbekas di hati.
23/12/2012
HARI ni aku tiba di Bandar Kuala Terengganu Kg halamanku. Ketika di dalam perjalanan sewaktu tiba di Kemaman berlaku kemalangan yang mana telah meragut beberapa orang nyawa. Aku sekadar menjadi pemerhati dan pendengar di atas bas. Begitu hiba mendengar khabar akan kemalangan yang meragut nyawa tersebut. Akibat daripada kemalangan tersebut, bas yang aku naiki telah terkandas dalam kesesatan lalu lintas. Oleh hal yang demikian aku tiba agak lewat di Kuala Terengganu tidak seperti kebiasaan. Setibanya di perhentian bas Kuala Terengganu aku menunggu ketibaan adikku. Tidak lama selepas itu, adikku tiba dan kami mengatur langkah ke kedai makan untuk mengisi perut di pagi hari tersebut.

Kami memesan nasi lemak. Sedang asyik kami berbual, tiba-tiba aku menerima panggilan daripada mak. Mak bertanyakan keberadaan aku dan menyatakan bahawa ayah sering menanyakan akan kepulanganku. Aku hiba, aku sebak. Seringkali aku terbayang wajah redup ayah. Bagaimanakah keadaan ayah, setelah 2 bulan aku tidak pulang ke rumah oleh kerana jarak tempat pengajianku agak jauh dari rumah. Setiap hari aku teramat risaukan kesihatan ayah. Ayah insan yang teramat aku sayang. Hatiku melonjak-lonjak untuk pulang cepat ke rumah untuk bertemu dengan ayah. Tiba-tiba adikku bersuara, kata adik sekarang ayah sudah tidak boleh berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Hatiku resah gelisah serta merta air mata seakan mahu menjirus keluar. Namun, kutahan jua agar tidak menitis. Aku harus kuat. Seteguh hati ayah yang kental.

Belum sempat aku sampai ke rumah, mak menelefonku. Mak menyatakan bahawa ayah teringin untuk makan buah pear. Pesan mak, belikan ayah buah pear yang selalu ayah makan iaitu pear yang bersaiz besar dan segar. Lantas selepas letak panggilan daripada emak aku terus ke Mydin. Namun, hampa kerana buah yang aku cari tiada. Aku dan adik bergegas ke Pasar Chabang Tiga selepas itu untuk mencari buah yang diingini oleh ayah. Aku teramat berrsyukur kerana buah yang kami cari untuk ayah ada juga.

Setiba di rumah, aku menyalami mak. Mak memesan agar aku masuk ke kamar ayah untuk bertemu ayah. Aku akur dengan perintah emak. Apabila aku memasuki ruang kamar ayah, aku terkejut. Aku tersentak. Aku hiba. Aku sedih, pilu. Melihat keadaan ayah yang sangat tidak bermaya. Tubuh ayah sudah semakin menyusut. Wajah ayah pucat. Air mata tidak dapat ditahan. Aku menangis juga. Namun ku pastikan ayah tidak melihat aku menangis. Ayah melihatku. Dan tidak semena-mena ayah termenung. Tidak pasti apa yang berada di fikiran ayah, apa yang sedang bermain di fikiran ayah.

Tidak lama selepas itu, ayah menyuruh aku membeli kacang hijau. Kata ayah, ayah mahu makan bubur kacang. Aku tidak sanggup menolak permintaan ayah. Walau pada masa itu hujan turun agak lebat. Aku meminta izin mak untuk pergi ke kedai. Pada mulanya mak memesan supaya pergi setelah hujan reda. Namun, hati ku tidak akan reda selagi apa yang diingini oleh ayah tidak dipenuhi. Dalam hujan aku redahi jua. Namun, harapan kuhancur apabila kedai yang aku pergi telah kehabisan kacang hijau. Aku mengambil keputusan meredah hujan untuk pergi ke kedai yang terletak agak jauh dari kampungku. Walau dalam hujan aku teguh dengan pendirian. Selagi apa yang dingini oleh ayah tidak aku jumpa aku akan tetap mencari.

Alhamdulillah. Aku berjaya mencari kacang hijau yang dipesan oleh ayah. Setiba di rumah emak terus memasakkan ayah bubur kacang. Kata emak, tiap kali ayah makan pasti akan muntah apa yang dimakannya. Ayah memanggil ku lagi. Kali ini seperti kebiasaannya ayah akan menyuruh aku memicit kakinya. Aku akur. Mak yang berada di sebelahku asyik bercerita akan kesihatan ayah yang semakin menyusut sejak 3 bulan lepas. Aku hanya mendengar. Tidak mampu untuk bersuara. Kadang-kadang air mata jatuh kerana tidak sanggup melihat keadaan ayah. Aku bertahan supaya tidak nampak lemah di depan ayah. Aku sedih. Aku tidak kuat melihat wajah sugul ayah. Tubuh ayah semakin menyusut, yang aku picit sudah berlainan dengan dulu. Dari kecil sampai sekarang aku masih disuruh ayah untuk memicitnya.

Emak meninggalkan aku berdua dengan ayah. Aku ralik memicit ayah. Memang ternyata pucat sekali tubuh ayah. Ayah bertanya bermacam-macam perkara padaku seperi kebiasaannya. Pada akhir bicara ayah, ayah berpesan padaku. Kata ayah ‘jika nanti ayah sudah tiada, jagalah diri baik-baik, solat jangan tinggal, puasa pun jangan tinggal’. Ayah berpesan padaku seolah ayah tahu akan kepergiaannya. Aku hanya mampu menangis. Namun, apakan dayaku. Aku tetap insan yang lemah tidak mampu untuk menjadi seteguh karang di lautan.

Keesokkannya, begitulah rutin harianku. Ayah asyik memanggilku untuk mengurutnya. Aku akui, aku agak rapat dengan ayah, sering berbual dengan ayah. Ketika kepulangan aku ke rumah pada cuti minggu peperiksaan tersebut, aku teramat rasakan perubahan ayah. Sehinggalah aku terasa ingin meluahkan dalam kata. Supaya apa yang aku rasa dapat diterjemahkan. Ayahlah insan yang mulia di sisi ku selain emakku. Ayahlah yang mengajar aku mengaji, mendidik aku menjadi seorang yang pekerti. Tapi, aku tahu aku bukan anak yang baik, sering cuai dalam menilai dan menjaga hati ayah.

Hari berganti hari. Tiba jua waktu untukku pulang kembali ke Universiti(bukan UIA), Kuala Lumpur untuk mengambil peperiksaan akhir. Kakiku seolah berat untuk meninggalkan rumah. Lebih-lebih lagi keadaan ayah seperti itu. Saat aku menyalami tangan ayah ketika kali terakhir aku bersua, ayah seolah tidak mahu melepaskan tangan aku. Aku dapat rasakan tangan ayah menarik tanganku. Tapi, apa kan daya aku. Air mata menitis lagi. Aku takut menghadapi sebarang kemungkinan andai aku tiada di sisi ayah. Kucium pipi ayah buat kali itu. Aku seakan merasai kesyahduan yang teramat dalam. Aku sayu, aku hiba. Ku atur langkah untuk memburu impian dan juga harapan ayah yang sangat dalam untuk melihat kejayaanku…..
~

17 JANUARI 2013
AKU mengira-ngira detik di kalendar. Hari lahir ayah jatuh pada 17 May. Aku teringin sekali memberikan ayah kejutan. Aku menatap gambar ayah yang aku letak pada bahagian depan pintu loker. Aku tersenyum sendiri seolah ayah sedang memerhatikanku. Aku tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan ayah walau di mana aku berada. Ayah lah insan yang bermakna dalam hidupku.

Hari ini merupakan peperiksaan terakhir aku. Pukul 11.30 aku akan mengambil peperiksaan terakhir. Semalaman aku mentelaah nota. Aku terasa seakan dingin tubuhku. Bimbang demam melanda di saat itu. Aku bermohon kepada Allah agar diberikan kesihatan yang baik agar aku tenang menjawab peperiksaan. Pada pukul 12 pagi aku menemani teman baikku makan di Café berdekatan KolejKu, yang baru sahaja dibuka. Pada malam itu aku sangat gembira. Gembira akan suatu perkara yang tidak perlu aku ceritakan. Cuma teman-temanku yang tahu akan hal itu. Mereka mengerti riak gembira di wajahku. Aku sememangnya tidak keruan. Yang aku tahu aku gembira pada saat itu.

Pada pagi khamis yang dingin, sedang aku asyik menghafal nota ku menerima beberapa keeping mesej daripada adik yang bertanyakan bila peperiksaan terakhirku dan berpesan padaku agar aku terus pulang ke rumah selepas berakhir kertas yang terakhirku pada 11.30 pagi nanti. Aku mendesak agar adik memberitahu akan hal sebenar. Namun demikian, adik tetap membisu. Aku tetap berkeras selagi adik tidak memberitahu akan hal yang sebenar aku tidak akan pulang. Selepas itu, adik berterus terang yang bahawa ayahku sedang nazak tetapi keluargaku bersepakat tidak memaklumkan padaku sebelum aku menghabiskan peperiksaan akhir. Mungkin adik tidak sanggup menyimpan sesuatu yang aku sepatutnya mengetahuinya. Selepas aku membaca pesanan mesej adik, aku terus rebah tidak terdaya. Aku menangis semahu-mahunya. Rakan sebilikku memapahku dan menyuruhku mengambil wudu’ untuk sama-sama membaca yassin untuk ayah.

Saat itu, aku begitu berharap agar aku sempat berjumpa dengan ayah. Aku teringin untuk menatap ayah di saat itu. Peperiksaan yang aku jalani bagaikan sudah aku tidak hiraukan. Wajah ayah, senyuman ayah, gelak tawa ayah, sering bermain-main di kotak fikiranku. Aku langsung tidak dapat fokus sewaktu peperiksaan sedang berjalan. Saat itu, aku mengira detik demi detik masa berlalu untuk aku pulang ke rumah. Aku berharap aku sempat menatap dan memeluk ayah untuk kali terakhir. Sedang menjawab peperiksaan air mataku tidak henti-henti mengalir kerana teringat akan ayah. Aku berdoa semoga ayah kembali pulih seperti sedia kala. Aku seakan-akan pilu, hiba, sedih mengenangkan wajah ayah yang menahan kesakitan.

Aku bersyukur dikelilingi teman yang sangat memahamiku. Mereka sentiasa berada di sampingku apabila susah mahupun senang. Dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu, air mataku tidak dapat ditahan. Keluar juga menjurai di birai mataku. Tidak dapat kutahan mahupun kupendam. Peristiwa inilah yang tidak akan pernah kulupa sepanjang hidupku. Hatiku bertambah sayu dan pedih apabila menerima khabar yang bahawa jenazah ayah akan dikebumikan selepas asar. Hatiku pedih yang teramat dalam, aku teringin sekali menatap wajah ayah. Namun, sudah takdir aku tidak sempat melihat jenazah ayah. Aku tidak sempat memeluk dan mencium ayah untuk kali terakhir. Sebak di dada tidak dapat kutanggung. Sungguh perit saat itu.