Saya seorang perempuan bujang berumur 28 tahun, sudah memiliki apartment sendiri di tengah KL, sudah mempunyai kerjaya yang baik di sebuah syarikat antarabangsa yang terkemuka.
Separuh gaji saya setiap bulan saya hulurkan kepada ibu bapa yang bekerja sebagai petani di kampung yang masih menanggung 4 orang adik saya, 2 orang masih di bangku sekolah, 2 orang di universiti tempatan.
Baki separuh gaji lagi saya guna kan untuk perbelanjaan diri, melancong ke luar negara serta melabur di dalam unit trust, REIT dan kini dalam proses membeli rumah kedua untuk property investment.
Hidup saya serba serbi lengkap, dari kewangan, kerjaya mahupun kasih sayang dari keluarga dan rakan rakan. Alhamdulillah Tuhan anugerahkan saya hidup yang serba serbi cukup walau pun tidak lah sempurna.
Saya dari kecik memang hidup susah, selalu kutip buah relai sawit untuk buat belanja sekolah. Selalu bangun pagi sebelum subuh tolong mak masak kuih muih untuk dijual,
Selalu tolong ayah bekerja di bengkel kereta, selalu tolong ayah bekerja buruh bancuh simen, angkat batu bata, selalu menolong ayah masuk ke hutan cari buluh dan akar kayu.
Pendek kata, saya adik beradik dididik dengan ilmu survival yang tinggi sejak kecil sehinggalah masing masing masuk ke asrama dan universiti.
Namun, sejak masuk fasa 25 tahun keatas, saya sering kali di jadikan topik perbualan ataupun bahan uji kaji oleh sesetengah manusia terutamanya kaum lelaki.
Sering kali saya di pertikaikan masyarakat sekeliling apabila tidak menerima lamaran ataupun niat kawan/ kenalan lelaki yang mahu menjadi kan saya isteri mahupun sekadar teman wanita.
Seringkali juga kenalan kenalan lelaki yang belum mahupun sudah berkahwin acah acah manusia lebih berpengalaman memberikan nasihat tanpa dipinta dan sering kali melabel saya wanita yang memilih, wanita yang mata duitan, wanita yang melayan serta bermacam lagi.
Padahal, saya hanya menikmati kerjaya saya, menikmati hobi saya yang suka mendaki dan melancong, menikmati masa terluang saya bersama sama keluarga dan rakan rakan.
Walau pun saya ini tidaklah bertudung labuh, kadangkala tidur sekhemah dengan pendaki pendaki lelaki yang lain, kadang kala berkongsi bilik dengan backpacker lelaki yang lain, saya masih tahu batas agama dan harga diri saya.
Saya tidak pernah bercouple/ bercinta dengan mana mana lelaki, apatah lagi berpegang tangan walau pun saya mempunyai ramai rakan lelaki berbagai bangsa dan agama.
Saya juga tidak pernah berduaan lama lama dengan mana mana lelaki tanpa sebab, mahupun berchating smpai ke pagi buta apatah lagi bervideo call.
Selama ini saya abaikan “nasihat” percuma mahupun sifat judgemental mereka, tapi kini saya sudah penat.
Penat di hina seolah wanita yang menghampiri umur 30 tahun perlu bersyukur ada lelaki yang masih mahukan mereka.
Penat dihina seolah wanita berkerjaya ini mengejar dunia mengejar duit yang tak kan boleh dibawa masuk ke syurga.
Penat dihina seolah wanita yang tiada pasangan ini sangat memilih sehinggakan tiada lelaki yang sempurna di mata mereka.
Penat dihina seolah wanita yang suka meneroka dunia berkongsi hobi diminati lelaki ini adalah wanita yang mudah melayan semua lelaki.
Sedangkan, saya hanya manusia biasa wanita biasa yang punya impian punya harga diri punya bakat tersendiri.
Jika saya tidak memiliki rasa sayang pada mana mana lelaki ajnabi kenapa saya perlu berusaha untuk sayang lelaki yang belum tentu jodoh saya hanya kerana dia suka kan saya?
Kenapa saya perlu menerima lelaki yang saya tidak yakin mampu membimbing saya hingga ke syurga atas sebab umur saya semakin tua?
Kenapa saya perlu perjudikan nasib saya di tangan lelaki yang ratanya alim di mata tapi amalannya seperti penunggang agama?
Kenapa saya perlu bazir kan masa cuba cuba untuk bercinta dengan kawan saya sendiri atas alasan dia serasi berkawan dengan saya?
Situasi ni macam ni, kau masuk kedai baju, kau tahu badan kau saiz M, tapi kau nak jugak try baju saiz XL yang memang jauh beza dari saiz badan kau. Kenapa ya kau bazir kan masa try baju yang memang tak muat langsung dengan saiz badan kau?
Then, kau dah tahu kau tak berkenan pon dengan design baju tu tapi kau beli jugak sebab semua orang di kedai tu cakap design tu sesuai dengan kau.
Kenapa ya bazir kan duit beli baju design yang kau tak berkenan yang mungkin menampakkan aurat kau ataupun membuat kan penampilan kau nampak gemuk, which end up kau tak kan pakai pun baju tu?
Manusia ni hanya merancang dan berusaha, Tuhan yang menentukan. Usaha saya bertemu jodoh adalah dengan memperbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam, kalau betul Tuhan dah tetapkn jodoh untuk saya, maka saya perlu berusaha pula agar jodoh kekal hingga ke syurga.
Kalau Tuhan dah tetapkan tiada jodoh untuk saya, saya tak luak apa apa pon, sebab itu takdir terbaik yang Tuhan dah susun cantik cantik untuk saya.
Hidup saya dah sempurna sudah lengkap segala keperluan, jodoh ni tak wajib pon yang wajib ni mati, ada jodoh tak menjamin saya masuk syurga apatah lagi menjamin saya takkan masuk neraka.
Masyarakat juga ada yang melabel saya tidak merancang masa depan kerana tiada siapa akan menjaga saya di hari tua jika saya tidak berkahwin.
Pelik ya masyarakat Islam kita ni, dalam Al Quran pon dah terang beritahu yang kita ni jangan bergantung harap pada manusia, berharaplah sepenuhnya pada Tuhan.
Tapi, mereka juga yang suruh kahwin supaya bila tua ada yang menjaga kita, sedangkan kita sendiri tak boleh predict future, tak boleh tahu pun besok suami si A akan meninggal dunia sebab accident, tak boleh tahu pon yang isteri si B ni nanti lumpuh pada usia 30 tahun.
Tuhan yang pegang takdir kita di dunia dan akhirat, kita manusia ni hanya boleh berusaha, usaha ni ada pelbagai cara dan kahwin hanyalah satu usaha dari pelbagai jenis usaha yang ada.
Saya juga sudah merancang bagaimana persaraan di hari tua baik dari segi kewangan, perlindungan dan kesihatan,
Maka ada jodoh ataupun tidak, tidak akan mengugat hidup saya selagi mana saya berusaha dan bergantung harap pada Allah, bukan pada jodoh yang juga seorang manusia seperti saya yang penuh kekhilafan.
Kadangkala saya rasa mahu pindah bekerja di luar Malaysia agar hidup saya tidak lagi dikelilingi oleh masyarakat toxic yang memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental dan emosi saya. Doakanlah agar saya tidak cepat melatah dalam isu remeh seperti ini.
Doakanlah agar masyarakat kita makin celik dengan peredaran zaman, tidak lagi menghukum dan menghina manusia lain sebagai topik perbualan di kedai kopi, di laman sosial, puncak gunung mahupun di office pantry.
Sekian dari pendaki wanita yang masih cuba mengenal Tuhan.
– Si Raksa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit