Salahkah Aku Tidak Berpantang?

Assalamualaikum…. Namaku Hani, berusia awal 30-an, baru melahirkan seorang bayi yang cukup comel 20 hari yang lepas.

Kisahku bermula apabila aku pulang ke kampung untuk berpantang. Ini merupakan anakku yang pertama, jadinya aku tiada pengalaman berpantang, apatah lagi berpantang sendiri, aku tidak mempunyai keyakinan.

Lalu aku meminta izin daripada suamiku untuk pulang ke kampung selepas bersalin.

Tambahan pula, anakku mengalami ‘jaundice’, aku amat memerlukan pertolongan dan sokongan daripada ibuku kerana suamiku tidak boleh bercuti lama dek kerana baru berpindah ke tempat kerja yang baru. Selepas hari ke-empat bersalin, aku pulang ke kampung.

Pada awalnya, tiada masalah kerana aku hanya mengikut sahaja apa yang disuruh ibuku. Jangan makan ini, tidak boleh makan itu, jangan mandi malam nanti badan masuk angin.

Selepas mandi perlu memakai lulur, berurut bertungku dan sebagainya. Berstokin setiap masa ketika cuaca yang amat panas.

Selepas hari ke-10 bersalin, badanku mulai letih dan amat penat. Aku mula tidak mahu mengikuti tatacara berpantang yang disuruh. Tambahan pula, aku mengalami sembelit yang teruk yang menyebabkan luka ketika bersalin kembali sakit.

Aku hanya boleh bergantung kepada ubat tahan sakit, kadangkala, aku terpaksa memakan 3 biji ubat tahan sakit demi untuk mengurangkan kesakitan. Ubat lawas b***k yang dibekalkan doktor sudah habis sebotol aku minum. Tetapi masalah sembelitku tidak juga selesai.

Ibuku masih menyuruhku untuk berpantang secara tradisional dengan memberitahu kebaikan dan faedah jika berpantang.

Aku mendengar ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Aku masih cuba mengikuti apa yang disuruh ibuku walaupun hati dan fikiranku semakin koyak. Anakku yang sering berjaga hingga ke pagi menambahkan stressku.

Aku juga perlu menduduki peperiksaan akhir untuk menghabiskan semestar ini

Salah seorang pensyarah juga telah mengugut untuk memberikan markah kosong jika aku tidak menyiapkan tugasan yang diberikan. Semua perkara ini telah menambahkan stress yang sudah sedia wujud dalam diriku.

Setiap hari aku menangis dan apabila ku khabarkan kepada suamiku, dia hanya mampu menyuruhku bersabar. Akhirnya, aku memberontak. Aku tidak mahu lagi berpantang secara tradisional.

Bagiku mengapa aku perlu berpantang sebegitu jika badanku sakit dan tidak selesa. Aku sama sekali tidak mahu berpantang hatta memakai stokin pun aku tidak mahu.

Ibuku mula memarahiku kerana tidak mahu berpantang. Keadaan ini mencetuskan perang dingin dengan ibuku. Aku semakin kurang bercakap dengan ibuku.

Ibuku masih menyuruhku untuk berpantang. Aku cuba menjelaskan keadaanku yang mengalami sembelit teruk menyebabkanku tidak mahu berpantang.

Aku semakin tertekan. Selera makanku menjadi kurang dan aku mula menolak untuk menjamah makanan.

Kemuncaknya, aku mula memukul diriku sendiri kerana tidak lagi tahan menanggung rasa. Aku juga mula membayangkan alangkah seronoknya jika aku mati sahaja sekarang.

Aku juga mula memarahi anakku pabila dia enggan tidur walaupun sudah disusukan. Gilakah aku?

Akhirnya, aku memohon kepada suamiku untuk pulang ke rumah sebelum keadaan menjadi lebih parah terutamanya hubungan antara aku dan ibuku. Aku sama sekali tidak mahu menjadi anak derhaka.

Namun, yang paling penting, anakku tidak diapa-apakan olehku tanpa kusedari. Aku amat risau jika perkara ini berlaku.

Aku amat berterima kasih kepada ibuku kerana membantu aku menjaga anakku dan menyediakan makanan untukku. Aku sama sekali tidak pernah menghalang sesiapa yang ingin berpantang secara tradisional.

Namun, aku tidak lagi mampu mengikuti semua tatacara pantang itu. Biarlah diriku bernafas walaupun seketika. Suamiku membawaku pulang ke rumah kami pada hari ke-20 setelah melihatku sering menangis.

Mentalku sudah koyak, jiwa dan perasaanku sudah lagi tidak keruan dan rapuh menanti masa untuk pecah.

Wahai pembaca, salahkah aku tidak mengikuti semua pantang itu? Derhakakah aku kerana tidak mengikuti kata-kata ibuku?

Tolonglah aku, bukan kecaman yang ku pinta, tapi dorongan dan kata-kata semangat agar perasaan dan jiwaku yang sudah rapuh mampu bertahan ke akhirnya.

– Ibu yang letih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *