Salam Kaut dan Doorgift

Assalamualaikum.

Dalam hidup aku tahun ni ramai yang menjemput majlis perkahwinan sana sini. Mana yang dapat datang, aku datanglah. Kalau ada masa dan ada bajet untuk duit sumbangan mesti aku akan cuba datang. Mestilah nak kena bagi duit sumbangan tanda kita berterima kasih sebab dijemput meraikan pengantin. Dapat makan pulak tu. Paling kurang pun aku bagi RM10. Kalau kawan-kawan, maksimum aku bagi RM50. Kalau ada rezeki lebih, aku bagi lah lebih dan bergantung kepada tahap keakraban hubungan persahabatan tu hehe.

Tapi sebenarnya, tak kisah pun nak bagi berapa RM yang mampu. Pada aku kalau tak bagi pun tak menjadi masalah. Tuan rumah menjemput mestilah dengan niat nak bagi sedekah berupa makanan. Pihak yang dijemput pula, kalau orang yang berbudi bahasa mesti akan hulur berapa RM yang termampu. Kan? Konsepnya macam bersedekah semula kepada tuan rumah. Tuan rumah jangan mengharap orang yang dijemput akan memberi. Orang yang dijemput pula mesti berbudi bahasa datang majlis orang. Gituuu. Kalau malas fikir semua ni, toksah ler datang daripada buat dosa mengutuk buah tangan yang tuan rumah bagi. Jemputan walimah ni kan sebenarnya untuk tuan rumah buat pahala, memberi makan terutamanya kepada golongan kurang mampu. Jangan pula sebab fikir perlu “membayar” nilai tertentu, golongan yang sepatutnya datang makan jadi malu nak pergi ke majlis.

Ada juga kes tuan rumah dapat sampul kosong. Banyak aku tengok gelagat orang sekeliling bila kes macam ni terjadi. Ada yang berkecil hati, ada yang mengutuk. Kurang ada yang berfikir elok-elok. Macam mana nak fikir elok-elok? Ambil point kat perenggan atas tadi. Tuan rumah nak bukak kedai makan ke? Orang yang bagi sampul kosong ni mesti dia segan sebab adatnya orang kita bila datang majlis walimah mesti hulur salam kaut. Disebabkan taknak malu tapi tak mampu, dia bagi lah sampul kosong buat ada-ada je. Kasihan… Ini bermakna betul lah majlis kita ni tercapai objektifnya – memberi makan kepada golongan yang kurang mampu. Ini juga sepatutnya buat kita rasa bersyukur dan sedar bahawa dalam kalangan kita ni ada orang susah. Ataupun, kita anggap je lah orang tersebut terlupa nak isi. Positif je lah, tak susah kan? Bukannya dicanang-canang sambil cuba ingat kembali siapa punya sampul ni agaknya. Taknak tambah dosa kan?.

Mana kita nak tahu kisah orang kan? Dia datang majlis kita dengan senyum manis untuk meraikan kita, dia makan menjamu selera, dia terjumpa kawan-kawan yang turut menerima undangan, bertukar cerita sambil gelak ketawa, lalu dia hulur sampul berisi not RM10 kepada tuan rumah. Kita tak tahu yang duit itu sebenarnya “duit korek-korek” mana yang ada. Mungkin di celah bawah tikar, mungkin dia jumpa syiling sen-sen yang seterusnya ditukar not kertas. Apa-apa pun tahniah dan terima kasih kepada anda yang memberi dan memenuhi undangan dengan ikhlas.

Selepas bersalaman dengan tuan rumah dan memberi ucapan ringkas kepada pengantin, tuan rumah pun bagi buah tangan yang sekarang orang panggil door gift. Wajib ke door gift ni? Tak wajib. Ini cuma tanda kemurahan hati tuan rumah. Kalau tuan rumah tak bagi, maknanya dia tak murah hati ke? Bukan tak murah hati, yang kita makan ngap-ngap tadi tu apa? Sebab kita bagi salam kaut RM10, kita boleh demand tuan rumah bagi door gift pula? Ingat ye, salam kaut tu sedekah awak kepada tuan rumah.

Ada pula yang komplen, door gift kicap sebotol kecik ni je? Eh mana gula-gula jajan-jajan? Kesian budak kecik datang tak dapat apa. Eh mana air? Orang datang dari jauh tak diberi air. Haus dalam perjalanan ni. Eh beg kertas bukan main besar, bagi benda ni je? Haaa komplen la komplen. Niat dah lari menyimpang. Ikutkan hati nak je aku bahasakan orang-orang yang perangai macam ni. Aku baru cakap, syukurlah dapat jugak. Dia balas, bukan tak bersyukur cuma bagilah yang patut sikit orang makan nak tercekik ni tekaknya kering perjalanan jauh bila bukak door gift takde bagi air. Haihhh nakk je aku debik. kang aku jotos kepala tu biar betul sikit cara berfikir. Akhirnya aku diam je dan berdoa semoga terbukaklah hati dan luaslah pemikiran mereka.

Orang yang nak tinggalkan komen tak perlu buat majlis, bagi makan kat masjid je sedekah, kahwin tu cuma nikah salam tok kadi, tak perlu katering tak perlu kenduri tak perlu bla bla bla… artikel ini bukan untuk anda. “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau hendaklah dia diam.”(Al-Bukhari & Muslim)

– Linda

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit