Sayap Yang Patah

Bahu tak terpikul berat. Hati tak tertahan sarat.

Itulah apa yang membuak-buak di jiwa aku akhir-akhir ini.

Saya seorang wanita yang baru melangkah ke alam 20-an.

Di usia muda sebegini, saya menggalas tanggungjawab seorang ketua keluarga, mencari rezeki untuk keluarga kecil saya.

Ketika saya masih kecil, saya dan adik beradik dibuang dan diabaikan oleh ayah dan dibesarkan oleh ibu seorang diri.

Dipendekkan cerita, saya hidup susah dari kecil. Setelah berpisah, ibu bawa saya dan adik beradik ke kampung dan membesarkan kami dengan bekerja keras tanpa pekerjaan tetap.

Iya, hanya kerja biasa di kampung. Sejak kecil, saya memang nekad nak ubah kehidupan keluarga kecil saya.

Dan saya bersyukur dikurniakan rezeki kecerdasan ketika zaman sekolah. Keputusan SPM saya juga agak cemerlang dan hampir dapat straight A.

Saya pernah sambung belajar di universiti tapi cuma separuh jalan atas sebab kewangan. Bila difikirkan balik, banyak impian saya yang terkubur kerana duit.

Sekarang saya dah bekerja 2 tahun lebih. Dengan gaji yang tak seberapa, saya cuba untuk tolong ekonomi keluarga.

Ramai yang menggesa saya untuk sambung belajar. Kata mereka sayang sebab saya dulu budak pandai.

“Sayang belajar dulu pandai2 sekarang tak sambung belajar”.

Saya angguk saja dan jawab “takpelah makcik kerja sekarang lagi best”.

Walaupun dalam hati memang saya nak sangat sambung belajar. Tapi kenapa tak sambung?

Sekali lagi masalah duit. Hidup saya tak privileged.

Saya tiada ayah. Kadang bila saya rasa penat sangat, saya terfikir, “kenapa aku kena hidup susah macam ni, kenapa aku kena tanggung beban ni”.

Saya cuba untuk tepis fikiran tu. Tapi bila saya tengok kehidupan kawan2 yang lain, fikiran tu akan berlegar dalam kepala.

Tak seperti orang lain yang ditanggung oleh ayah, apa yang saya ada sekarang semuanya hasil duit titik peluh sendiri.

Kawan seusia saya sambung belajar dengan support ibu ayah, jadi tak perlu nak fikir sangat masalah kewangan.

Pakai kereta ibu ayah jadi tak payah susah2 nak fikir dah. Lesen pun sponsor.

Saya pula kerja 2 tahun dengan motor sebab belum mampu nak beli kereta sendiri. Redah hujan panas cari rezeki.

Nak sambung belajar pulak masih struggle dengan masalah kewangan. Lesen pun lepas dah kerja baru dapat buat.

Kena usaha 2 kali ganda untuk dapat semua tu. Semua kena usaha sendiri.

Tambah pula sekarang pikul tanggungjawab cari nafkah untuk keluarga. Ibu saya dah tak berapa sihat dan dah tak kerja.

Lagi la terkubur impian saya untuk sambung belajar. Kalau saya sambung, mesti ibu nak kerja balik.

Tapi saya cakap kat ibu tak payah. Biar saya je kerja cari duit. Ibu rehat je sekarang.

Saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat sekarang.

Saya ikhlas kuburkan impian saya demi keluarga. Saya tak pernah menyesal, cuma kadang saya terbeban.

Di usia saya dimana orang lain menikmati masa muda keluar bergembira dengan kawan2. Namun saya susah payah mencari rezeki untuk keluarga.

Seakan jiwa anak kecil yang terperangkap di dalam tubuh seorang dewasa. Saya ketepikan kemahuan saya demi keluarga.

Sekarang dah 2 tahun lebih saya bekerja. Keadaan tak berapa baik juga. Selalu kena aniaya majikan.

Saya masih struggle cari kerja lain tapi susah sebab tiada kelayakan pendidikan.

Kadang saya terfikir, kenapa susah sangat untuk aku berjaya macam orang lain. Dugaan demi dugaan menimpa.

Adakalanya saya rasa seperti sayap yang dah patah. Tapi saya cuba untuk rawat luka supaya saya boleh terbang lagi.

Dan mungkin sayap itu akan patah lagi. Tapi saya akan kuat untuk rawat luka saya lagi dan lagi.

Dan saya yakin, suatu hari saya mampu untuk terbang tinggi.

– Candra (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *