Beli betik yang isi dia merah tapi keras kalau cari yang kuning-kuning merah pun sedap juga. Lepastu kau buang kulit dan takik lepastu racik betik tu biar kasi halus macam pencungkil gigi.
Bahan blender pula bawang merah, bawang putih, udang kering, ikan bilis dan lada hitam sikit.
Masukkan air dalam periuk curah bahan yang blender tadi dalam air dan tunggu sampai dah menggelegak.
Sudah tu letak betik, letak daun selasih dan juga daun kunyit. Kasi perasa garam sikit dan tekak Melayu kita jangan lupa ajinamoto.
Resepi betik air umi aku. Seminggu sekali mesti umi aku akan masak sayur betik tu. Kenapa sayur betik?
Sebab sebelah rumah kami ada sebatang dua pokok betik arwah nenek tanam kalau dah tumbuh sedap kami ambil masak sayur air.
Kalau tanya abang, akak, adik ayah dan aku sendiri. Makanan favorite kami sekeluarga sayur air betik tu.
Kalau sambung belajar ke sebelum balik memang dah cakap “umi nanti balik nak makan sayur betik umi” baik aku, abang dengan akak semua.
Kalau ayah aku jangan cakap lah dia selalu yang ratah benda tu dengan sagu.
Selalu umi aku masak pakai periuk yang besar tu. Paling koman pun 2 biji betik kalau sebiji memang tak puas sikit sangat.
Setiap sorang pula ada mangkuk sendiri makan hirup macam tu baru puas. Ratah macam tu je pun dah sedap.
Umi kami ni orangnya kalau boleh diceritakan. Dia macam cikgu pendidikan Islam dekat sekolah sebab umi aku ni cikgu sekolah agama. Waktu garang tu ada waktu baik tu ada kira balance. Dah bersara pun orangnya.
2019, satu tahun sebelum negara kita dilanda covid umi aku meninggal dunia. Sebelum tu memang 2017, 2018 umi aku tak sihat selalu sakit dan akhirnya januari 2019 meninggal dunia.
Waktu dapat panggilan dari ayah tu memang semua kelam kabut.
Aku waktu tu dekat perlis jauh ke utara, kak ngah aku dekat indonesia trip kerja dan abang long aku waktu tu dekat sarawak.
Mungkin ketentuan Tuhan waktu dapat panggilan telefon tu tepat hari angah dengan along aku nak balik. Kalau tak memang payah nak cari ticket segala macam.
Aku pula drive dari perlis ni dah macam apa memandu kereta. Dekat rumah ada adik aku yang SPM tahun tu, ayah dan umi aku.
Ayah aku telefon cakap umi masuk hospital. Tengah nak solat tiba-tiba dia jatuh pengsan. Kami semua pun sempat berkumpul tengok umi. Dalam hati semua memang tak sedap hati.
Tak sampai satu beberapa jam kami berkumpul dekat hospital umi pun hembus nafas yang terakhir. Sedih dia jangan cakap.
Ayah aku, adik dengan kak ngah 3 orang jatuh terduduk mampu sebut “Allah Umi”
Aku pula menggeletar tangan pegang besi dekat kerusi depan aku. Along aku yang kuat tahan diri. Telefon saudara mara.
Saudara mara datang. Esoknya mandikan, solat, aku ayah dengan along tolong galikan liang lahad susun kan segala macam sebab ini tempat terakhir umi kami berehat.
Lepas selesai kami balik rumah yang drive tu along aku.
Semua dalam kereta tu termenung. Ayah aku pegang tasbih sambil pejam mata dekat seat depan. Adik aku baring dekat riba kak ngah aku sambil teresak esak.
Aku pula sandarkan kepala dekat tingkap kereta sambil biarkan air mata mengalir.
Balik rumah jiran ucap takziah suruh tabah kami semua cuma mampu angguk kepala sahaja.
Balik rumah tu semua baring dekat ruang tamu tu termenung pandang kipas siling berpusing. Dan semua tertidur.
Lepas sejam aku bangun pergi dekat peti sejuk nak minum air. Tergamam aku bila dalam peti sejuk tu ada betik yang dah di racik halus.
Bawang merah, bawang putih, lada hitam, udang kering dan ikan bilis yang di letak dalam mangkuk. Daun selasih dengan daun kunyit yang dah potong halus. Tinggal blender dan masak sahaja.
Aku pun keluarkan letak atas meja makan.
Angah aku pula pergi dapur dan tanya ada apa tu dekat atas meja. Aku pun cakap ada betik yang di racik halus. Kemudian, kami berdua pun blender dan masak sayur tu.
Selang 30 minit semua bangun pergi dapur. Nasi tak masak tapi semua makan dengan sagu.
Tengah makan along aku menangis kuat bukan perlahan sampai dia panggil nama umi.
Ayah aku yang dekat sebelah dia cuma mampu urut belakang along aku.
Pedih dan perit…
– Azfar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit