Scammer Dan Ah Long

Aku Jebon. Kerja aku memerlukan aku berinteraksi dengan orang ramai dan salah satu dari kerja aku adalah mendengar masalah orang lain.

Dan masalah yang memang aku akan selalu hadap adalah masalah yang melibatkan scammer atau ah long. Cukup itu sebagai pengenalan.

Dalam confession ni, aku nak bercerita sedikit sebanyak tentang scammer dan ah long serta apa modus operandi mereka berdasarkan pengalaman kerja aku.

Confession ni mungkin agak panjang dan membosankan tapi mana la tau kot-kot boleh menyelamatkan korang dari jadi mangsa. Aku mulakan dengan scammer dulu.

Sekarang ni, ada dua cara yang selalu scammer guna untuk rembat duit orang.

Pertama, scammer akan umpan mangsa dengan tawaran kerja sambilan (part time). Kerjanya cukup mudah. Mangsa cuma perlu buat beberapa tugas (task) yang sangat senang dan tugasan tersebut ada beberapa peringkat.

Untuk peringkat awal contohnya, mangsa perlu like atau follow atau subscribe page atau channel dekat mana-mana media sosial atau platform. Untuk task ni, mangsa akan diberikan upah. Contoh RM5 untuk setiap like atau follow.

Peringkat seterusnya, mangsa perlu membuat pembelian dan setiap duit yang mangsa keluarkan untuk pembelian akan dikembalikan semula berserta komisyen.

Contoh beli barang harga RM50, dapat balik RM56. Untuk task yang ini pun, mangsa akan betul-betul terima bayaran seperti yang dijanjikan. Biasa la, nak tangkap ayam, kena tabur dedak dulu.

Peringkat ketiga adalah kemuncak bermulanya penipuan. Mangsa akan disuruh buat pembelian barang yang berharga ratusan ringgit tetapi tidak diberikan bayaran balik.

Bila mangsa tanya, scammer akan bagi jawapan macam wang dibekukan atau perlu buat task yang seterusnya untuk tebus wang dan komisyen.

Scammer akan minta buat pembelian barang yang lebih mahal mencecah ribuan ringgit ataupun sehingga mangsa sedar yang mangsa sudah kena scam.

Cara kedua, scammer buat panggilan telefon, menyamar sebagai pekerja Pos Malaysia dan bagitau yang kita ada bungkusan yang ditahan kerana mengandungi barang salah.

Aku pun dah berkali-kali kena macam ni tapi malas nak buang masa melayan scammer. Biasanya barang salah itu adalah kononnya kad ATM dan kad pengenalan.

Kemudian, panggilan akan disambungkan kepada beberapa orang yang konon-kononnya pegawai polis dari mana-mana IPK. Scammer ni buat ugutan kepada mangsa agar beri kerjasama kalau tak nak kena tangkap.

Seterusnya, mereka akan bertanya soalan-soalan yang tak perlu sebagai contoh berapa baki yang ada dalam akaun bank, nombor pin kad ATM, nombor TAC atau lain-lain soalan yang akan membolehkan mereka sedut duit dari akaun mangsa.

Dan selalunya scammer ni akan suruh mangsa pergi ke tempat yang sunyi dan tiada sesiapa dengar perbualan kerana konon-kononnya perbualan tersebut adalah sulit.

Itu modus operandi scammer. Ah long pula macam mana?

Ah long ni dia lain sikit, bukan macam scammer. Scammer perlu mencari mangsa tapi ah long ni cuma perlu tunggu mangsa. Sama ada ah long berlesen atau tidak, kedua-duanya sama. Kerjanya cuma perah duit peminjam sampai licin.

Ah long takkan bagi 100% nilai pinjaman yang mangsa dia minta. Macam nak pinjam RM500, dia bagi RM430. Nak pinjam RM1000, dia bagi RM890. Alasannya, loan ditolak siap-siap untuk service charge. Tapi mangsa kena bayar berkali-kali ganda daripada jumlah pinjaman.

Sebagai contoh, mangsa nak pinjam RM500, wang yang ah long bagi cuma RM430 tapi kena bayar sebanyak RM700 dalam masa tiga hari.

Sisa gelapnya ialah, walaupun mangsa dah bayar RM700 dalam masa tiga hari, ah long akan tetap minta bayaran lain dari peminjam. Masa ni banyak cas-cas yang tak logik akan muncul.

Bila mangsa tak mahu bayar, mangsa akan diugut, gambar-gambar mangsa akan ditularkan dan mungkin di edit jadi gambar lucah.

Tapi sepanjang aku kerja, belum ada lagi yang datang jumpa aku bagitau dia kena pukul dengan ah long ataupun ah long datang rumah nak pungut dia.

Jadi kesimpulan yang aku boleh buat, ah long sebenarnya berani ugut dalam telefon je tapi tak berani nak jumpa depan-depan. Mereka pun takut sebenarnya.

Cuma mereka akan dera mental dan emosi peminjam dengan ugutan yang teruk-teruk dan menakutkan sehingga mangsa akan bayar walau berapa pun ah long tu minta.

Aku nak selit satu nasihat. jangan sekali-kali buat pinjaman ah long walaupun berlesen sebab mereka takkan berhenti minta duit walaupun kita dah habis bayar.

Lebih baik kau pinjam dengan kawan-kawan atau keluarga kau. Kalau semua tak nak bagi pinjam, kau cucuk je personal loan. Seribu kali lebih baik dari kau pinjam ah long.

FAQ.

1. Kalau kena scam pastu buat repot, boleh dapat balik ke tak duit yang kena scam tu?

Hampir 100% kemungkinan untuk kau takkan dapat balik duit tu. Kenapa? Sebab scammer ni pun cerdik. Mereka takkan guna akaun bank sendiri untuk buat scam. Mereka gunakan keldai akaun. Macam mana caranya? Aku bagi contoh.

Ali adalah seorang scammer. Satu hari Ali jumpa Babu. Ali dengan Babu ni tak kenal rapat pun antara satu sama lain. Ali minta sewa akaun bank Babu.

Setiap bulan, Ali akan bagi sejumlah duit kepada Babu sebagai bayaran sewa akaun bank. Babu seronok sebab dapat duit tanpa buat apa-apa.

Satu hari, Ali berjaya scam Chong guna akaun bank Babu. Ali cepat-cepat keluarkan wang dari akaun bank Babu yang dia scam dari Chong.

Chong pergi buat repot. Bila buat repot, nama Babu yang wanted sebab tu akaun dia. Polis tangkap Babu. Tapi Babu tak tahu apa-apa. Mungkin Babu pun dah lupa yang dia pernah bagi orang lain guna akaun bank dia.

Kemudian, pihak bank bekukan akaun Babu. Tapi duit dalam tu dah takde sebab Ali dah keluarkan. Meringkuklah Babu dalam lokap untuk beberapa hari sebelum dilepaskan. Chong tak dapat balik duit dia. Ali pula akan cari mangsa lain.

2. Macam mana ah long boleh dapat gambar peribadi dan nombor kenalan kita?

Sejujurnya, aku pun tak pasti. Tapi mungkin ah long ni pun ada link dengan agensi-agensi tertentu. Ataupun mungkin mereka ada kepakaran dalam bidang IT untuk hack icloud, google photo, contact.

3. Kenapa susah nak tangkap scammer?

Berbalik kepada FAQ 1 di atas. Scammer ni bijak. Mereka buat kerja tanpa mendedahkan identiti diri yang sebenarnya.

Yang jadi mangsa adalah orang yang kena scam dan keldai akaun. Sebab itu susah nak kesan scammer yang sebenarnya. Macam mencari hantu di siang hari. Mereka licik. Yang selalu kena tangkap hanyalah keldai akaun.

4. Kalau polis tak boleh tolong banteras scammer, nak harapkan siapa?

Harapkan diri sendiri. Jangan mudah tertipu dengan tawaran yang tak masuk akal. Takde yang nak bagi duit senang-senang je kat orang lain. Pegang yang tu, in sha Allah anda selamat.

Juga nasihat selalu mak ayah kita, jangan mudah terpengaruh dengan panggilan yang bukan-bukan. Kesian dengan orang tua yang tiada pendedahan dengan scammer. Duit yang sepatutnya guna untuk pergi umrah pergi haji, hilang macam tu je.

Aku harap penulisan aku ni sedikit sebanyak boleh beri kesedaran dan info untuk pembaca. Kita boleh elak daripada menjadi mangsa. Jangan mudah percayakan orang. Duit takkan datang bergolek. Sekian dari aku.

– Jebon (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *