Jawapan Sebuah Penantian

Assalamualaikum semua, nama aku Mimi. Aku pernah confess di sini 2 tahun lepas berkenaan dilema aku bersuamikan seorang penagih, Adi (bukan nama sebenar).

Aku pun susah nak cari balik post aku yang lama. Tetapi aku baca setiap satu komen walaupun ketika itu aku sangat rapuh.

Ada komen yang berkata Adi tidak akan berubah sama sekali. Ada juga memberi cadangan yang buatkan aku bersemangat untuk cuba menyelamatkan rumah tangga ku.

Ada komen yang menambah luka di hati aku. Kerana setiap bicaranya menunjukkan betapa jijiknya nilai seorang penagih kepada mereka.

Tidak mengapa, aku sikitpun tidak menyalahkan sesiapa. Kerana aku juga pernah merasakan sebegitu sebelum aku berkahwin.

Apa pun komen kalian, aku berterima kasih. Setiap satunya aku baca. Tapi ketika itu aku masih buntu. Solat dan doa juga aku teruskan.. Supaya aku dapat mencapai kata putus.

Ketika itu, jauh di hatiku tidak rasa ingin meninggalkan kerana Adi cuba untuk berubah. Kalau aku tinggalkannya, aku tahu kehidupannya akan lebih buruk. Dia akan kembali pada ‘kehidupan hitam’ itu.

Tapi aku juga ingin menyelamatkan bukan saja masa depanku, tapi juga masa depan anakku.

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt. Adi berjaya untuk berhenti dari mengambil ‘barang’ itu. Hampir 3 tahun dia sudah berhenti dan kini kami sangat bahagia dengan kehidupan yang tidaklah mewah tetapi serba mencukupi.

Berbalik kepada keadaan aku ketika itu (2 tahun lepas), aku juga masih runsing dengan keadaanku. Hatiku juga sudah menjadi sekeras batu.

Untuk pengetahuan pembaca, aku asalnya seorang gadis yang sangat lemah lembut dan manja. Aku sentiasa menyusun ayat agar percakapanku tidak mengguris hati sesiapa.

Tapi setelah Allah swt hadirkan ujian berat begini padaku, hatiku sudah menjadi batu. Suaraku sudah menjadi tegas. Malah aku jadi lebih tegas dengan diriku sendiri.

Aku ada membuat rujukan ke pejabat agama untuk permohonan fasakh. Aku merancang supaya aku tidak lagi mengandung ketika itu.

Malah aku juga sudah memberitahu Adi bahawa jika kami berpisah, aku tidak ingin sesiapa pun mengetahui punca penceraian kami kerana aku tidak sanggup sesiapa pun melabel anakku sebagai anak penagih.

Berulang kali aku menyebut mengenai betapa hancurnya hati seorang anak jika ada orang melabelnya anak penagih.

Aku tegas padanya jika dia ambil sekali lagi, maka aku akan terus ke pejabat agama kerana bukti bukti sudah cukup untuk aku bawa ke mahkamah memohon fasakh.

Kewangan keluarga kini aku yang uruskan. Segala transaksi in dan out di bank akanku teliti setiap bulan. Tapi aku masih letakkan hormat padanya.

Dan alhamdulillah sepanjang proses Adi untuk pulih dari ketagihan, dia tidak pernah lost control, dia tidak pernah memukul, tidak pernah ambil duit, dan banyak toleransi untuk berbincang mengenai plan kewangan dan masa depan kami yang dibuat oleh aku.

Alhamdulillah kali terakhir dia ambil barang itu ketika anakku berusia 5 bulan. Selepas itu, mungkin kuasa Allah swt menjadikan anakku begitu attach dengannya.

Setiap masa anakku hanya ingin bersamanya. Dia lah penguat Adi. Di samping itu, Adi kembali menjaga solat & mengajar anakku untuk bersolat bersamanya.

Anakku membesar menjadi anak yang sangat ceria dan aktif. Yang begitu rapat dengan bapanya.

Dulu ketika aku begitu ingin untuk bercerai, aku nekad untuk mewasiatkan supaya anakku tidak boleh dijaga oleh bapanya jika aku meninggal. Anakku akan diberikan kepada keluargaku.

Aku pun tidak tahu ketika itu boleh kah untuk berbuat sedemikian jika mengikut undang undang Malaysia tapi aku tetap nekad.

Namun kini, aku sedar. Sebenarnya tiada sesiapa yang boleh menjaga anakku sebaik Adi. Malah Adi menjaga anak lebih baik dari aku, ibunya sendiri.

Rutin Adi masih sama sejak awal berkahwin. Dia lah yang banyak melakukan kerja rumah. Terlalu banyak yang dia bantu aku dalam urusan rumah tangga dan menguruskan anak.

Aku bahagia untuk masa sekarang ni. Tolonglah kalian doakan aku supaya kebahagian aku ini berkekalan. Aku ada banyak mendengar cerita yang penagih ini boleh kembali menagih walaupun sudah berhenti seketika. Adakah benar begitu?

Selepas aku membaca beberapa komen di suatu posting facebook mengatakan penagih tidak akan boleh berhenti, dia tetap akan kembali menagih suatu hari nanti. Hatiku kembali panic. Trauma lama kembali.

Sehinggakan kini jika Adi lambat angkat telefon aku sudah gelisah. Perasan gelisah yang tidak dikawal ini hampir menimbulkan kembali rasa benci kepada Adi. Tapi hingga ketika ini, Adi memang sudah tidak mengambil bahan terlarang itu lagi.

Aku tidak layak untuk memberi nasihat. Tetapi buat kalian yang mempunyai masalah yang sama denganku.. benar, sesiapa pun yang mengetahui jika kalian bersuamikan/beristerikan penagih akan segera menasihati kalian untuk melarikan diri dan stop dari perkahwinan ini.

Tetapi, kalian lebih kenal pasangan kalian. Jika dia sedang berusaha keras untuk berhenti, bantu lah dia. Bimbing lah dia. Jika perlu menjadi garang, tegaslah untuknya. Jika perlu paksa ambil rawatan, paksa lah dia.

Kita berusaha untuk orang yang ingin berusaha, untuk orang yang struggle mencari jalan keluar. Jika anda terus bertindak meninggalkan dia, aku yakin dia akan kembali dalam kehidupan gelap itu.

Sedikit informasi aku ada dapat dari komen confession aku tempoh hari, terdapat tempat pemulihan bukan under AADK seperti pondok/tahfiz yang boleh membantu memulihkan golongan ini. Mungkin boleh cuba.

Tetapi jika dia pernah memukul, mencederakan, mencuri demi membeli ‘barang’ itu ataupun sebagainya, angkat lah kaki.

Malah jika peluang yang diberi telah disiakan sehingga lebih dari 3X, maksudnya dia sendiri tidak kuat untuk berhenti. Dia tidak akan boleh berubah jika tindakannya melampaui akal fikiran.

Kumpul bukti sebanyak mungkin ketika dia sedang mengambil ‘barang’ tersebut untuk permohonan fasakh. Ataupun terus call AADK datang ke rumah ketika dia sedang dalam ‘dunia’ sendiri.

Aku mohon doa kalian supaya Adi dapat kembali normal selamanya. Harapan aku semoga kegigihannya yang kini kembali mengukuhkan tiang agamanya berjaya membantu untuk dia terus keluar dan bebas daripada kehidupan ‘hitam’ itu lagi.

Jikapun suatu hari nanti, segala komen di facebook yang mengatakan penagih ini akan tetap kembali menagih ini terjadi pada Adi, aku bersedia untuk menamatkan perkahwinan ini. Tetapi cukup lah ya Allah.

Aku rasa sudah tidak kuat lagi untuk berhadapan dengan ujian seberat itu lagi. Doakan aku.

– Mimi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *