Seksa Yang Berpunca Dari N4rcissistic Personality Disorder?

Aku Inara (bukan nama sebenar), seorang gadis yang berusia 23 tahun.

Alhamdulillah walaupun lahir dalam keluarga di mana ramai saudaraku menghidap penyakit berkaitan mental disorder, aku seorang yang boleh dikatakan normal,

Ini kerana tidak pernah menghadapi apa-apa masalah besar yang berpunca dari mental disorder walaupun dikelilingi orang-orang yang begitu.

Namun aku diuji dengan seseorang yang telah membesarkan aku selama 23 tahun. Ayahku. Ayahku seorang yang panas baran. Dia juga seorang yang jarang sekali mahu mengaku kesalahannya.

Dari kecil aku banyak mendengar tentang ayahku bertengkar dengan si fulan, si fulana. Kadangkala depan mataku sendiri ayahku mencaci maki orang lain.

Sewaktu kecil, kadangkala aku melihat ayah memukul ibu. Pada ketika itu aku tidak merasakan seperti hal itu adalah serius kerana ayah sering memujuk ibu setelah memukulnya dan mereka berbaik semula.

Perkara itu berulang sehinggalah aku remaja. Sebenarnya, aku juga pernah banyak kali dipukul oleh ayah dan ibu semenjak kecil.

Perkara itu menjadi biasa dalam keluargaku sehingga aku menganggap hal itu normal. Aku menganggap semua keluarga adalah seperti itu.

Mencecah usia remaja, aku semakin terdedah dengan kes-kes keganasan domestik. Baru aku sedar akan kesalahan ayahku yang sering memukul ibu dan kesalahan ibu bapaku mendidik aku dengan memukul walaupun akibat masalah yang kecil.

Aku sudah biasa mendengar kata-kata kotor berbaur maki hamun sejak kecil. Ketika mendapat keputusan yang kurang baik di sekolah, aku akan dimaki dan dipukul oleh ayah. Ayah pernah menggelarku anak setan kerana keputusanku.

Masih aku ingat sehingga hari ini. Dicaci dan dimaki itu sudah biasa bagiku. Ayah juga sering memalukan aku di sekolah.

Kadangkala dia jerit padaku di hadapan orang ramai akibat kesalahan kecil yang aku lakukan. Aku menahan malu setiap hari kerana terpaksa berhadapan dengan ayah seperti itu.

Layanan seperti itu aku tahan sehinggalah aku sambung belajar di luar negeri. Ayahku suka memperbesarkan hal-hal yang kecil seperti lambat membalas mesej.

Aku dari kecil sering mendengar kata ayahku. Pernah suatu hari aku sudah tidak boleh menahan dicaci sehingga aku berteriak pada ayahku sehingga dia tergamam. Demi Allah, itulah pertama kali aku meninggikan suara kepada ayah akibat tidak tahan.

Perangai ayahku semakin teruk. Dia makin suka memperbesarkan masalah remeh. Aku sehingga sampai tahap ingin membunuh diri.

Aku bukanlah seorang yang suka mengikut emosi. Tapi ada kalanya aku benar-benar rasa ingin berputus asa. Aku seorang yang mempelajari agama.

Aku rasa bersyukur kerana Allah masih menguatkan hatiku untuk menghadapi ayahku. Sekarang aku sudah berani melawan ketika dicaci oleh ayah.

Aku sudah penat menasihati ayahku. Setiap kali aku menasihati ayah, dia akan berkata yang aku pandai-pandai ingin mengajarnya.

Pada hari aku menulis confession ini adalah ketika aku betul-betul sudah tidak tahan. Kerana ayah memang benar-benar terbukti narcissistic. Aku terlambat membalas mesej ayahku.

Pada malam sebelumnya aku sibuk mengerjakan tugasan lalu tertidur. Ketika aku bangun, ayah sudah memarahiku melalui mesej. Dia mengungkit bagaimana dia bersusah-payah membesarkanku dan aku seorang anak yang tidak mendengar kata.

Aku merasa tidak patut diperlakukan seperti itu dan melawan kata ayah. Aku sempat berkata yang dosa kita dengan manusia perlu diselesaikan dengan manusia. Ayah mengherdik dan mengatakan yang aku pandai-pandai ingin mengajar.

Bagaimana dia boleh berkata seperti itu sedangkan dia solat? Dia selalu menasihati aku untuk belajar agama dan mendengar nasihat tapi dia sendiri bagaimana? Kami bertengkar lama. Aku mengungkit kesalahan-kesalahannya terhadapku.

Tetapi dia tidak ingin mengaku. Dia siap mengungkit yang dia hanya ingin mendidikku dan aku tidak layak berdendam. Tanpa Tuhan, aku mungkin sudah mati. Aku kasihan akan ibu dan adikku.

Kami semua sudah banyak bersabar dengan ayah dari dulu. Apabila dia tidak puas hati, dia suka menjatuhkan maruah ahli keluarganya.

Ayah sangat keras kepala walaupun aku berikan nasihat agama.

Kadang-kadang aku merasa benci terhadap ayah sehingga membayangkan kehidupanku akan lebih tenang jika ayah mati. Begitulah perasaanku terhadap ayah.

Dengan mempelajari agama, aku memujuk hatiku walaupun sisa benci masih ada. Aku sudah terlalu buntu. Aku sehingga pernah berfikir untuk meninggalkan keluarga kerana sudah tidak tahan dengan ayah. Tetapi aku kasihan akan ibu dan adikku.

Kadangkala dalam doaku aku menangis bertanya kepada Allah kenapa dia membiarkan aku berhadapan dengan orang seperti itu. Kenapa dia harus menjadi ayahku?

Kenapa Allah tidak mengubahnya? Aku tidak pernah berkongsi masalah keluarga dengan orang luar kerana sangat menjaga maruah keluarga. Sifat malu seperti sudah hilang dari diri ayahku.

Aku sudah tidak tahan, ya Allah.

– Inara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *