Selepas 20 Tahun Bonda Pergi

Hai, nama aku Suri. Saja nak bercerita tentang apa yang berlaku hari. Rasa macam nak melepaskan sesuatu di dada.

Hari ini minggu ke 3 aku cuti sakit. Sudah aku gagahkan diri keluar dari rumah, memandu keluar dan melihat dunia luar.

Tadi jam 12.30 tengahari, aku rasa lelah. Aku ambil keputusan untuk berhenti di masjid, parking kereta di bawah pokok rendang dan menghela nafas.

Terik matahari tidak terasa dengan aircond yang sengaja aku setting di tahap maximum.

Scrolling social media, tak terasa lebih setengah jam sudah berlalu. Azan sudah mula kedengaran.

Aku masuk masjid, berniat untuk solat Zohor berjemaah. Ramai Jemaah lelaki memenuhi ruang hadapan beberapa barisan saf, sedangkan Jemaah perempuan hanya 1 barisan saf.

Apabila iqamah dilaungkan, segera aku mengambil tempat, hinggalah aku terpandang seorang wanita berusia lewat 40-an yang mengambil tempat disebelah kanan aku. Dia tersenyum lembut pada aku.

Pertama kali dalam hidup aku, dada aku terasa berat. Nafas menjadi laju. Jantung berlumba-lumba. Aku lantas alihkan pandang pada tempat sujud, dan mengangkat takbir mengikut imam.

Bacaan Al-Fatihah rakaat pertama aku diiringi dengan rembesan air mata yang tiada hentinya. Kerana wanita di sebelah kanan aku ketika itu, saling tak tumpah persis arwah bonda.

Tuhan, inikah rasanya berjemaah di masjid dengan seorang ibu?

Berpuluh tahun bonda pergi. Selama 20 tahun ini, tidak pernah sekali dalam hidup aku bonda datang menjenguk dalam mimpi.

Tidak pernah sekali pun aku temui wanita yang sosok dan wajahnya serupa bonda.

Hari ini, saat aku Lelah dan sakit, Tuhan hantarkan seorang wanita sekadar berdiri di sebelah aku sepanjang empat rakaat aku bersolat.

Ingin aku peluk cium wanita itu. Tapi aku tidak mahu terlalu melayan perasaan aku. Kerana dia tetap bukan bonda. Dia tetap tidak akan ada denganku layaknya seorang ibu. Dia tetap akan pergi dari hidup aku.

Cukuplah sekali rasa sakitnya kehilangan bonda 20 tahun lalu.

Sendirian membesar tanpa sosok seorang ibu. Begitu menyakitkan tapi Tuhan tetap memudahkan segalanya untuk aku.

Hari ini, hati aku rasa puas dapat menatap wajah itu. Dan mencium lembut tangannya seusai solat. Cukuplah untuk memujuk hati ini.

Terima kasih Tuhan.

– SURI (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *