Nama aku Imran. Aku seorang remaja belasan tahun yang tinggal di kampung dan hidup ku sederhana.
Sebelum kita meneroka hidup aku eloklah kalau aku bagitahu dulu yang aku ni anak angkat. Ya anak angkat.
Mungkin orang ingat anak angkat hidupnya bahagia selalu. Tetapi tidak.
Aku dijaga daripada aku bayi oleh sebuah keluarga yang tegas. Tidaklah terlalu tegas tapi apa yang boleh aku katakan agak tegas. Cubit rotan tu sudah biasa kena.
Namun perkara yang aku tidak berapa suka adalah apabila keluarga aku menormalisasikan carutan dalam kehidupan.
Yalah orang Melaka campur pulak dengan orang Negeri Sembilan kan manakan tidak.
Kehidupan sewaktu aku sekolah rendah semua berjalan lancar dan bahagia lah boleh dikatakan.
Namun sejak aku menginjak usia ku yang sekarang ini iaitu belasan tahun, aku rasa hubungan aku dan ibubapa aku semakin renggang. Aku sendiri tak tahu penyebab sebenar.
Aku lebih selesa di sekolah juga berseorang ketika di rumah.
Entah kenapa aku berubah. Mungkin aku banyak terasa dengan mereka. Mulut ibuku boleh dikatakan pedas.
Banyak kali sebenarnya aku makan hati dengannya tapi aku tak mampu melawan kerana setiap kali aku cuba mempertahankan diri aku, sudah pasti aku akan dianggap kurang ajar. Jadi solusi terbaik hanya mengiyakan saja.
Ibuku sejenis orang yang keras kepala. Senang cerita semua nak ikut cakap dia. Kalau dia cakap A, A lah juga jawapnya. Kalau B, B lah jawapnya. Itulah perkara yang aku kurang suka.
Aku di sekolah sangat aktif. Apa sahaja yang aku tak masuk?
Sajak? Pantun? Debat?
Tarian? Larian? Semua aku sapu.
Ya ibuku bangga dan aku boleh lihat buktinya. Namun sejujurnya dia seakan akan tidak menyokong minatku. Dia seolah olah tidak bertanya tentang aku.
Adakah aku ok? Adakah aku penat? Kerana apa?
Kerana dia sibuk dengan dunianya. Aku pula terpaksa duduk dalam dunia aku sendiri.
Ayahku? Lagilah. Bercakap sehari sekali sahaja dengan aku. Sekarang aku hanya menjawab pertanyaan mereka sepatah sahaja.
Aku sudah tiada jiwa ingin beria di hadapan mereka. Kerana mereka selalu melayan aku begitu.
Aku pernah di marah di hadapan orang ramai.
Aku pernah di maki di hadapan ahli keluarga ku yang lain.
Mereka buat aku seolah olah tiada hati. Meskipun aku berusia 10 tahun ketika itu, namun aku sudah ada perasaan malu.
Aku juga merupakan seorang lelaki lembut. Bukan pondan ye, tapi lembut. Aku lebih suka berkawan dengan perempuan berbanding lelaki.
Aku lebih minat mainan masak² berbanding patung ultraman. Aku lebih minat princess berbanding superhero. Namun malangnya keluarga aku tidak faham akan diri aku.
Aku dihina pondan oleh ibu aku sendiri. Alangkah luluh hati aku ketika itu.
Namun lama kelamaan sifat maskulin aku “dipaksa” keluar oleh situasi kehidupan aku.
Ketika mood ibu tak baik, memang aku yang jadi target. Semua salah dimata dia. Aku terlalu hina dan bodoh di mata dia.
Lagi² bila ada cucu dia. Memang aku ni tak dipandang langsung lah.
Mulut ibuku kata tak pilih kasih, tapi aku tahu dia sayang cucu lelaki seorang tu lebih dari yang lain. Jarang sekali dia dimarah. Alih² aku yang kena.
Baru² ini dia diajak oleh cucunya pergi memancing. Jadi semua kena ikut.
Aku sebagai seseorang yang tidak minat akan memancing memang nak tinggal lah kan. Dihina nya aku, kata dia, “Huh lepas ni kau jangan harap lah aku nak hanta kau pergi latihan tu semua. Asik sekolah je kau pikir.”
Sakit sungguh hati ini mendengar. Mungkin korang akan pikir aku yang salah sebab sengaja renggangkan hubungan.
Aku dah cuba. Namun setiap kali aku cuba mood dia tak baik. Dan aku memang dimarah tanpa sebab lah.
Aku sudah berapa kali dicop anak kurang ajar oleh mereka kerana benda kecil yang sengaja diperbesarkan. Ibuku memang bukan seseorang yang suka bertanya adakah mental aku ok atau tak. Kalau dia tanya apa lagi ayah aku.
Jadi aku meluahkan segala rasa kepada kawan aku di sekolah. Mereka lebih memahami aku berbanding keluarga sendiri.
Kadang² aku terlalu marah dan penat akan mereka sehingga pernah terlintas untuk bunuh diri.
Namun aku berfikir masa depan aku. Ya, jasa mereka sangat besar kerana membela anak haram yang entah dari mana ini juga akan aku balas jasa² mereka namun aku takkan tinggal disini selepas aku menginjak dewasa.
Aku mahu keluar dan buat aku yang aku impikan. Hidup sendiri. Mungkin kedengaran derhaka namun tak. Aku hanya perlukan ruang untuk aku bernafas.
Namun aku tidak akan pernah melupakan jasa 2 wali keramat ini. Akan aku jaga mereka sehingga aku mati. Namun juga, akan aku keluar dari kampung ini secepat mungkin.
Itu saja dari aku, anak yang tersepit.
– Imran (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit