Menonton di kaca tv kisah-kisah pahlawan negara yang telah banyak berkorban terhadap negara sempena Hari Pahlawan hari ini membuat aku rasa bangga dengan mereka. Di media sosial, pelbagai kisah juga disiarkan tentang pejuang-pejuang negara yang berjuang melawan penjajah dan komunis.
Di hatiku terdetik, alangkah bangganya andai akan ada putera puteriku yang menjadi ahli ribath ini bertugas berbakti dan menjaga keselamatan negara. Dari lima orang anakku, hanya seorang sahaja anakku yang kulihat berminat dengan tugas ini.
Semangatku semakin membuak-buak selepas berlakunya tragedi yang menimpa pegawai bomba Adib dan Mejar Zahir yang telah terkorban dalam insiden yang menyedihkan.
Selepas tamat alam persekolahannya (form six), aku lihat puteraku ini nampak beriya-iya untuk memohon menjadi anggota beruniform samada bomba, polis, ATM, penjara, kastam dan imegresen.
Namun jauh di sudut hatiku, terasa amat sedih kerana kemungkinan untuk dia berjaya adalah terlalu tipis. Ini adalah kerana anakku bukan anak yang hebat dalam akademiknya. Sejak lahir selalu sakit hingga menyebabkan aku terpaksa meletakkan jawatan kerana tidak sanggup mengadap majikan sebab sering mengambil cuti.
Setelah berhenti kerja, memang banyak masa nak mendidiknya seperti bercakap (lambat bercakap), masalah mengawal kencing, lambat dan tidak memahami arahan, lambat membaca dan mengira. Di sekolah memang termasuk dalam golongan pelajar lembam (antara tiga nombor yang tercorot dalam peperiksaan).
Apabila telah memasuki sekolah menengah aku memang tidak meletakkan apa-apa harapan kerana keputusan darjah enamnya pun hanya d dan e. Namun niat aku dan suami memasukkannya ke sebuah sekolah agama berasrama adalah untuk melihat dia boleh berdikari dan menimba ilmu agama.
Tahun demi tahun hinggalah tamat tingkatan lima, kami tidak menyangka dia boleh lulus semua peperiksaan walaupun sekadar lulus sahaja. Dan yang kami tidak lupa, ada juga guru-guru yang mahukan dia dipindahkan kerana mereka bimbang menjejaskan peratus kelulusan dalam peperiksaan. Namun takdir Allah itu tidak berlaku malah sekolah mendapat keputusan seratus peratus.
Walaupun kami tidak menggalakkan dia memasuki tingkatan enam kerana merasa agak berat baginya untuk menghadapinya namun kami tunaikan juga hajatnya. Dan akhirnya, keputusannya dia gagal untuk mendapat sijil penuh.
Oleh kerana anakku ini anak yang memang agak pendiam, tak banyak cakap dan selalu taat arahan ayah ibu malah disenangi oleh semua guru-guru kerana kebaikan akhlaknya maka kami berinya pilihan sama ada untuk bekerja atau belajar. Dan dia memilih untuk bekerja kerana sedar keputusan peperiksaannya tidak memungkinkan dia dapat memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi.
Oleh itu, dia mula memohon di SPA jawatan-jawatan yang menjadi impiannya. Sambil itu mula bekerja untuk mengisi masa dan tidak mahu membebankan ibu bapa sambil membuat simpanan di bank.
Namun dugaan tiba apabila dia ditimpa kemalangan jalanraya sebanyak dua kali dan menyebabkan kecederaan (patah) hingga terpaksa bercuti selama hampir 4 bulan.
Di sinilah aku rasa impiannya akan musnah kerana dengan kelayakan akademiknya yang sekadar cukup makan (tidak cukup kredit) dan ditambah dengan kecederaan yang menimpa, memang sudah tertutuplah peluang itu. Kebetulan temuduga angkatan tentera dia sedang cuti sakit dan dengan kenyataan doktor ada bahagian yang patah itu memang dah tak adalah peluang itu.
Kini dia meneruskan tugasnya menjaga kebersihan alam sekitar, berbakti untuk alam! Aku cuma mampu berdoa moga Allah dapat memberinya peluang untuk berbakti menjaga keselamatan negara seperti yang dia dan aku impikan meskipun sukar untuk dipastikan untuk menjadi realiti.
Tidak mengapalah anakku, ketaatanmu kepada kami, sentiasa menjaga solat berjemaah, sering membaca al-quran dan berakhlak baik tidak membuang masa berpeleseran ke sana sini sudah cukup membuat sejuk hati kami.
Dengan adanyamu di sisi, kamulah yang ke hulu hilir mengurus kami apatah lagi ketika terlantar di hospital. Mungkin Allah memilihmu untuk berbakti kepada kami di saat saudara-saudaramu jauh di mata.
Aku doakan kamu anakku, semoga menjadi ahli syurga, walau tidak hebat di mata manusia moga hebat di mata Allah. Kekuranganmu hanya akademikmu tapi ketinggian budimu penyejuk hati kami!
Moga Allah rahmatimu…
– Ummu Naeemah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit