Assalamualaikum buat semua pembaca. Terima kasih admin jika menyiarkan luahan saya. Berharap sangat ia disiarkan pada tanggal 31 ogos bersempena hari merdeka kerana apa yang saya nak luahkan ada kaitan dengan semangat patriotik dan integrasi kaum.
Saya menulis atas dasar rasa cinta kepada negara saya, Malaysia. Saya mahu menyumbang penulisan ini untuk generasi muda agar sentiasa mencintai dan menjaga negara kita.
Saya bekas jurulatih PLKN yang telah ditamatkan latihan secara rasmi pada Disember 2018. Saya hanya mahu berkongsi pengalaman sepanjang saya berkhidmat.
Perkara positif yang saya belajar daripada pengalaman hidup dan daripada individu2 yang saya kenali semasa berkhidmat. Juga tentang semangat patriotik, nilai murni, kasih sayang dan integrasi kaum.
Sudah 2 tahun saya rasa sambutan merdeka tidak segah dulu. Kalau dulu setiap hari mendengar dan menyanyi lagu2 patriotik. Tiap2 hari bercakap tentang semangat cintakan negara.
Setiap intake terlibat dalam pertandingan lagu2 patriotik, pertandingan sketsa sejarah, peristiwa dan kemerdekaan negara. Kini, semuanya tiada lagi, hanya tinggal menjadi kenangan terindah.
Ada banyak perkara positif yang berlaku dan mengubah hidup saya sendiri dalam PLKN.
Secara umumnya, pembaca tahu program ini diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Kem latihan diketuai oleh pegawai tentera berpangkat Mejar atau Lt. Kol (pengarah zon) yang dipanggil komandan.
Dulu, sebelum bekerja dengan tentera, saya fikir tentera ni sangat garang, tiada perikemanusiaan. Ibarat komputer yang diprogramkan untuk mengikut perintah tanpa perasaan. Ternyata saya silap.
Selepas bekerja, mengenali dan bergaul dengan mereka, baru saya tahu saya silap menghukum. Sangat mudah bekerja dengan tentera. Ramai yang baik, soft spoken dan berilmu.
Banyak ilmu pasal hutan, tentang disiplin, survival, navigasi, pertolongan cemas dan lain2 yang saya kutip dari mereka.
Rugi jika kenal tetapi tidak menuntut ilmu daripada mereka yang banyak merendah diri. Hanya jika bertanya baru mereka bercerita. Sekali sekala best juga dengar kisah seram dan mistik daripada mereka, itupun jika anda berani.
Ketika mula2 bekerja, saya kenal seorang Medical Assistant daripada tentera yang berpangkat koperal bertugas di pusat kesihatan di dalam kem. Boleh dikatakan setiap hari ada saje pelatih yang mendapatkan rawatan sakit ringan. Saya belajar 1 perkara penting daripada koperal tersebut.
Semasa duty malam, ramai pelatih menunggu giliran termasuk pelatih perempuan (wirawati). Saya menunggu di situ untuk menemani wirawati yang mendapatkan rawatan.
Peliknya, masuk saje ke bilik rawatan, Koperal tersebut hanya berbual kosong sambil bertanya khabar dan membuat lawak. Pelatih2 ketawa dan keluar dari bilik rawatan tanpa sebarang ubat.
Selesai semua urusan, saya bertanya. Sampai hari ini saya ingat kata2 Koperal tersebut. Kebanyakan pelatih yang datang ke pusat rawatan di kem ini bukanlah sakit tenat tapi sakit lain, dengan kata lain ‘homesick’.
Penyakit sebegini tidak perlu sebarang ubat, hanya hiburkan hati mereka supaya hilang rasa sedih rindukan family. Mind set atau psikologi mereka yang kerinduan menjadikan mereka rasa sakit.
Saya teringat masa semester satu di universiti, ambik paper Psikologi. Ada contoh yang diberi tentang 2 kumpulan pesakit, 1 diberi makan pil yang mengandungi ubat/ dadah. Manakala 1 kump lagi diberi placebo iaitu sejenis serbuk putih yang tidak mengandungi ubat/ dadah.
Di akhir rawatan, didapati kedua2 kump menunjukkan peratus kadar kesembuhan yang hampir sama. Ini menjelaskan mind setting seseorang individu mempengaruhi kehidupannya.
Kumpulan yang diberi placebo percaya mereka telah mendapat rawatan dan makan ubat sehingga keyakinan mereka itu mendorong kepada kesembuhan.
Apabila saya berpindah ke negeri lain, saya cuba praktikkan teori tadi apabila seorang wirawati cedera semasa aktiviti Kembara Halangan.
Kakinya cramp, saya masih baru dan belum belajar ilmu pertolongan cemas. Paramedik pula berada di check point lain. Sementara menunggu paramedik datang memberi bantuan, saya aplikasikan teori itu.
Saya bertanya soalan2 tentang latar belakang wirawati secara bertubi2 sehingga dia tidak fokus kepada sakit yang dia alami tetapi otaknya sibuk berfikir untuk menjawab soalan2 saya.
Kerana fokus untuk menjawab soalan saya dia terlupa seketika kesakitan yang dia alami. Dia berhenti menangis dan mula bertenang. Paramedik tiba tak lama kemudian untuk memberi rawatan, tugas saya selesai.
Saya terbaca quote di fb, ‘a physician once said, “the best medicine for humans is love”. Someone asked, “what if it doesn’t work?” He smiled and said, “increase the dose”. Kata2 ini, saya telah praktikkan ketika saya mengenali ramai pelatih yang bermasalah di dalam kelas.
Along nama panggilannya, saya kenali ketika berkhidmat di Perak. Wira berbangsa Cina, berasal dari Ipoh yang badannya besar, dipenuhi tatu naga dan harimau. Dia selalu membuka baju di dalam kelas dan hanya menutupnya apabila saya menegur dengan baik.
Mulutnya sentiasa menyumpah perkataan kesat seperti ‘anj***’. Saya stress mendengar kata2 kesat kerana dari kecil saya dididik supaya menjaga tutur kata.
Saya terdetik untuk mendekati dia sebagai seorang kakak, bukan seorang jurulatih. Saya bertanya latar belakangnya. Dia bekerja dengan kumpulan kongsi gelap seawal usia 15 tahun. Kerjanya mengutip hutang dan memukul orang. Gaji sebulan RM10K, tapi habis dalam masa sehari untuk berjudi.
Along tidak bersekolah. Tinggal bersama nenek dan adiknya. Kedua ibubapanya bercerai dan hilang entah kemana.
Saya bertanya bagaimana terlibat dengan kongsi gelap. Katanya sebab dia tidak tahu hala tuju hidup selepas tamat sekolah darjah 6. Tiada siapa sayangkan dirinya kecuali neneknya. Saya bersimpati dengan nasibnya dan menyuruhnya menganggap saya sebagai seorang kakak.
Seorang kakak yang sayangkan seorang adik. Mulai hari itu, perangainya berubah, lebih mendengar kata dan tidak lagi menyumpah seranah di dalam kelas.
Semasa berkhidmat di Pahang, saya kenal pelatih berbangsa Melayu berasal daripada kuantan. Leno dan Pian, nama panggilan. Kerap mengganggu pelatih lain dan bising di dalam kelas. Saya geram dan mula ada perasaan tidak puas hati dengannya.
Ikutkan hati mahu saje memarahinya tetapi saya cuba untuk bertenang dan bersangka baik. Saya cuba dekati mereka di waktu rehat untuk bertanya khabar latar belakang.
Pian, tidak bersekolah, bekerja di kilang memproses ayam dengan gaji RM450 sebulan. Adik beradiknya ramai, 2 abangnya terlibat dengan najis dadah. Ayahnya hilang ntah ke mana.
Hanya dia yang boleh di harap dalam family untuk mencari rezeki. 1/3 gajinya diberi kepada nenek, 1/3 kepada mak dan 1/3 lagi untuk diri sendiri.
Dia tidak pandai membaca quran atau bersolat kerana tidak diajar dari kecil. Dia mula belajar solat setelah masuk PLKN.
Sungguh, saya rasa nak meraung mendengar kisah hidupnya. Betapa berdosanya saya memandang dia sebagai budak nakal, sedangkan dia hanyalah remaja yang lahir dalam keluarga bermasalah dan kurang kasih sayang.
Leno juga datang daripada keluarga bermasalah. Ayahnya meninggal, ibunya berkahwin lain dan ayah tiri pula kerap memukul dan memarahi adik2nya. Tiada kebahagiaan dan ketenangan dalam keluarga sehingga dia mencari kebahagiaan di luar, terlibat dengan ponteng sekolah dan masalah disiplin.
Selepas mendekati mereka dan tahu kisah hidup mereka, perangai mereka berubah. Tiba2 mendengar kata, tekun belajar dan tidak lagi membuat bising di dalam kelas. Pian cakap dia dah pandai mengambil wudhuk, bersolat dan membaca surah2 ringkas.
Ketika mereka menamatkan latihan, saya menitipkan pesanan supaya menjaga solat dan menjaga keluarga mereka. Tiada sebarang khabar berita tentang mereka selepas itu.
Farah (saya lupa nama), wirawati yang datang berjumpa saya selepas tamat kelas Pembinaan Karaktor. Menangis sambil memberitahu dia tersentuh ketika saya membuat rumusan tajuk pembelajaran dalam kelas hari itu. Saya berikan pelukan untuk menenangkan dia. Katanya ingin berkongsi sesuatu.
Semasa riadah, dia meluahkan masalahnya dengan ibunya. Hubungan mereka renggang dan bergaduh disebabkan benda remeh. Selepas diselidik, dia mengaku sebenarnya dia pernah menjadi mangsa rogol beberapa tahun yang lalu sebelum masuk ke PLKN. Terdiam saya.
Saya lahir dalam family yang menitikkan beratkan agama, tiada masalah serius seperti yang dihadap pelatih2 saya. Ketika inilah saya sedar betapa beruntungnya saya selama ini.
Mengenali pelatih2 bermasalah ini membuatkan saya insaf supaya tidak memandang rendah kepada orang lain, tentang empati, tentang betapa pentingnya nilai kasih sayang dalam keluarga.
Saya baik dengan beberapa pelatih India, Umasree, Rajan dan Kuki. Budak bijak di sekolah, fasih berbahasa melayu dan sangat merendah diri.
Mark, pelatih Cindian yang menjadikan saya idola untuk menjadi cikgu. Saya cakap “jadi guru, kamu takkan kaya tetapi ia tugas mulia kerana mendidik anak bangsa. Jadilah guru yang ikhlas berkhidmat untuk negara”.
Kami kekal friend di fb sehingga hari ini. Masing2 sudah bekerja dan berjaya. Bila diselidik, datang daripada keluarga yang bahagia. Punya ibubapa yang penyayang dan mementingkan pendidikan. No wonder la kan?
Tong, wira Cina yang kerap berhubung dengan saya dan selalu bertanya soalan tentang hidup. Sangat sayang PLKN. Beberapa orang wirawati Cina mengajar saya lagu Lau Su Ai Tami, kami menyanyi sama2 sehingga saya boleh menyebutnya dengan betul.
Dari mereka juga, saya belajar tarian Kipas. Kerana mereka, bangsa dan agama yang berbeza, saya belajar sejarah agama Buddha, Kristian dan Hindu.
Tahun lepas, saya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan. Tiba2 pegawai perubatan yang merawat saya bertanya, “puan dulu jurulatih PLKN di KPP ke?” Saya terkejut. Rupanya salah seorang bekas pelatih yang telah berjaya menjadi Pegawai Perubatan.
Saya gembira. Terasa betapa tuanya saya saat ini apabila pelatih2 saya sudah bekerja. Namun saya bangga mereka masih ingat saya. Panggilan cikgu yang sangat saya rindui sampai hari ini.
Buat semua bekas pelatih PLKN, gunalah segala ilmu yang kamu pelajari di PLKN dulu sebaik2nya. Bagaimana latihan fizikal melatih kamu semua menjadi seorang yang berdisiplin, berani, semangat kerjasama dalam team, tentang ilmu survival hidup dan belajar ilmu pertolongan cemas.
Kelas Pembinaan Karaktor menerapkan nilai2 murni dan membentuk perwatakan positif untuk menjadi insan cemerlang. Kelas Kenegaraan menerapkan semangat patriotik dalam diri. Modul Khidmat Komuniti melahirkan semangat sukarela dan suka membantu orang lain.
Ingatlah selama hampir 3 bulan kamu berada di kem latihan. Gembira dan menangis bersama teman2 seperjuangan.
Berkongsi bilik tidur di dorm, berbaris menunggu makanan, mandi air kolah yang sejuk di pagi hari, solat berjamaah 5 kali sehari, mengikuti kelas agama masing2. Semua itu kenangan dan pengalaman yang mahal dan tak mungkin generasi baru rasai.
Meskipun kini, PLKN sudah 2 tahun berkubur, buktilah kepada masyarakat bahawa kamu semua adalah pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara yang bakal mencorak masa depan negara kelak.
Kami semua sudah semakin tua, hanya kamulah harapan kami menjaga dan mempertahankan tanah air ini agar sentiasa aman dan harmoni.
Saya, Cikgu S, mewakili barisan jurulatih yang pernah berkhidmat untuk negara, yang sayangkan negara, ingin menitipkan pesanan, SAYANGILAH NEGARA KITA.
Pertahankanlah sepertimana nenek moyang kita pertahankan. Sematkan dalam hati untuk berkorban nyawa dan harta sehingga nafas dan titis darah yang terakhir.
Saya, ‘bukanlah seorang perwira yang gagah menghunus senjata’. Namun saya punya mata pena yang bisa mengarang kata2 untuk menyedarkan anak bangsa agar mencintai negara.
Selamat Menyambut Hari Merdeka ke 63. Semoga Malaysia tercinta kekal aman dan sentosa.
– Cikgu S (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit