Aku hampir menjejakkan kaki ke umur 30 tahun dan hari ini aku terpanggil untuk menulis sedikit luahan hati yang terpendam.
Kisah aku bermula setelah aku keluar daripada tahfiz dengan cara yang tak elok, ustaz minta aku berhenti belajar dekat madrasah disebabkan salah faham. Padahal aku memang nak sangat jadi Ustaz dan hafiz al-quran waktu itu.
Selepas aku berhenti madrasah dan aku melanjutkan pelajaran di tingkatan 6, sewaktu ini pelbagai perkara berlaku kepada aku.
Aku belajar satu apa pun tak masuk, setiap malam buka buku untuk belajar tapi langsung tak dapat buat soalan yang cikgu beri. Kemuncaknya adalah ketika aku bergaduh dengan arwah ayah aku dan abang aku.
Ya gaduh tarik muka sampai 5 tahun tak bertegur sapa, aku yang malas nak tegur dan minta maaf.
Aku pun terfikir, kenapa aku boleh jadi macam ini padahal dulu aku rapat dengan mereka dan nak kata aku jahat pun tidak. Tapi selepas keluar tahfiz terus jadi perangai setan.
STPM aku gagal dapat cgpa 0.7, selepas itu aku takut nak sambung belajar sebab teringat betapa bebalnya otak aku waktu STPM. Trauma dan rasa kalau sambung aku tak akan boleh berjaya.
Jadi aku teruskan bekerja, aku planning nak ada empire bisnes sendiri.
Pelbagai bisnes dan buku aku baca, contohnya jutawan kedai gunting rambut, rich dad poor dad.
Orang lain mungkin akan pergi KLCC untuk bekerja part time setelah habis sekolah. Tapi aku pilih bekerja pasar malam sebab nak pengalaman, setelah itu aku bekerja kedai makan dan sebagainya.
Aku juga cuba berniaga online jual produk tapi akhirnya aku masih lagi di peringkat sama. Pendapatan aku masih lagi bawah RM2000.
Sehinggalah 1 tahun sebelum ayah aku meninggal, aku terasa sedih dan nak cuba berbaik semula. Aku cuba rapat-rapat dengan ayah aku setelah kecewakan dia.
Aku berjaya rapat semula tapi tak seakrab dulu, yang paling sedih ayah aku dah meninggal tapi aku tak sempat minta maaf. Sekarang ini aku cuma boleh doakan dia dan sedekah yassin untuknya.
Aku dah nak umur 30, masih lagi tak ada kereta, tak ada motor sendiri, rumah pun duduk sewa, girlfriend pun tak ada.
Pendapatan pun bawah RM3000, sekarang aku duduk dengan mak aku, jaga dia kalau dia sakit ke apa, adik beradik aku lain dah beli rumah dan tinggal sendiri.
Aku tak tahu, apa aku patut buat untuk masa depan, aku totally lost.
Mak aku cadang aku sambung je belajar ambil diploma semula, sebab STPM aku bukan boleh guna pun untuk sambung ijazah.
Sekarang ini aku cuba berkhidmat untuk mak aku, aku terasa punca aku tak berjaya sebab Allah sayangkan aku. Kerana aku derhaka dekat ayah aku, maka bisnes aku gagal.
Aku bersangka baik, Allah masih sayangkan aku dan nak jauhkan aku dari istidraj.
Cuba kalau aku berjaya dalam bisnes waktu aku masih gaduh dengan arwah ayah aku maybe aku akan bertambah sombong.
To be honest, aku takut tak dapat kahwin. Waktu aku kerja dahulu aku banyak tengok orang yang dah tua. Kehidupan tak kahwin dan hidup single mengerikan.
Tapi orang tua yang kahwin, kehidupan mereka ada arah tuju. Cuma ada ke perempuan yang nak dekat aku, aku dah tak kacak macam dulu perut pun dah buncit.
Kalau dulu aku ada lah self confidence tapi sekarang dah gone. Aku sedar diri.
Apa aku patut buat sekarang ya?
Aku cuba nak berubah tapi masih stuck lagi di tempat sama. Apa aku patut buat untuk mencari jodoh juga ya?
Sebelum cecah usia 30 tahun ni, aku nak sangat kahwin. Sebab aku dengar perempuan tak suka lelaki usia 30 tahun ke atas. Kalau umur 29 ke bawah mereka boleh terima lagi.
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit