Ujian Atau Penyakit Jiwa?

Assalamualaikum. Sekadar ingin meluahan rasa hati yang terpendam. Kerana semakin lama diam semakin menusuk dalam.

Entah kenapa dan bila bermulanya “penyakit hati”. Harapan dengan terluahnya rasa, jiwa ringan dan kembali berbudi.

Aku Richisan (bukan nama sebenar). Baru bernikah kurang 12 purnama. Seorang berpendidikan dan punya kerjaya. Pergi dan pulang kerja tidak ketemu cahaya.

Tinggal di kediaman suami tidak jauh dari keluarga. Bersama kami, ada ayah mertua.

Sejujurnya mental ku penat. Jasad ku tidak kuat. Mengenang tenaga ku habis di rumah dan pejabat.

Kerana kepulangan ku bukan untuk berehat, namun menjadi isteri yang harus terus perah keringat.

Yang ku temukan di rumah bukan lah satu ketenangan jiwa, tetapi “tugas-tugas khas” yang dititipkan untuk dibereskan semua.

Pinggan di sinki bertaburan menunggu dicuci. Iya.. Aku lah yang ditunggu dia.

Rumah berselerakan menunggu dikemaskan. Iya… Aku lah yang harus selesaikan.

Kain cucian menunggu untuk diputarkan. Iya.. Aku la yang ditugaskan.

Dapur tidak berisi santapan, maka aku lah yang dinanti-nantikan untuk memasak, menghidang dan menjamu nya.

Kain di ampaian, kalau bukan aku yang ambil maka terbiar berhari-hari tidak diangkat. Dari basah, kering.. Kembali basah.. Dan kering di ampaian.

Sampah memenuhi raga. Langsung terbiar tidak pula dibuangnya.

Aku lah BABU nya!

(Ya Allah ampunkan ku andai aku memilih untuk marah dalam diam)

Setiap hari aku tertanya dalam hati “apa yang bapa mertuaku buat hari-hari?”.

Dia rumah selama ini, tidak bekerja, namun memilih untuk terus tidak berjasa.

Setiap saat juga fikiran ku mula emosi “apa yang suami ku buat dari pagi sampai tengah hari?”.

Masuk kerja petang tapi memilih untuk tidur sampai matahari tinggi.

Sudahnya, semua kerja rumah menjadi beban bahu ku seorang diri. Adakah kerana aku bergelar “perempuan”?!

Belum sempat aku jamah santapan masakan ku, ayah mertua sudah tapau dahulu. Tidak sedikit lauk disapu. Buat bekal seharian masuk ke kamar beradu.

Sedangkan lisannya berzikir “masakan ku banyak minyak, tidak bagus untuk kesihatan. Masakanku pedas, bikin sakit perut dia. Masakan ku berkuah santan, tidak sebati dengan pencernaannya”

Tetapi apa yang aku masak habis semua dimakannya!

Terkadang aku ingin berkata nista, meminta suamiku menghantar bapanya jauh ke kampung sana. Tetapi ku pikir-pikir, dua-dua perangai sama saja.

Jadi kini aku memilih pentingkan diri.

Biarlah jauh dari kata solehah. Asal mentalku sehat alhamdulillah.

Masak untuk diri ku sendiri.

Mereka lapar? Masak sendiri.

Baju masing-masing urus sendiri.

Baju mu kotor? Basuh sendiri.

Pinggan ku biar saja kotor.

Pandai guna, pandai cuci sendiri.

Derhaka kah aku selaku seorang isteri?

Kejamkah aku selaku seorang menantu?

– Richis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *