Belajar tinggi-tinggi memang tidak menjamin kerja yang bagus, gaji yang besar. Jadi untuk apa belajar tinggi-tinggi?? Bagi aku, belajar tinggi-tinggi untuk kau dapatkan ILMU.. dengan ILMU yang ada kau gunalah sebaiknya dalam kehidupan kau.
Kita kena sedar pada zaman sekarang ini, tidak kira dalam bidang apa sekali pun peluang kerja agak terhad. Lambakan graduan-graduan daripada universiti awam dan swasta setiap tahun serta di tambah dengan wabak covid yang baru melanda merumitkan lagi keadaan.
Dan hasilnya ada graduan-graduan lulusan tinggi yang terpaksa membuat kerja separuh masa dan juga kerja luar dari bidang yang dipelajari. Untuk graduan-graduan ini.. aku salute!! Tidak membuang masa dengan mencipta pelbagai alasan, menyalahkan orang lain dan sebagainya.
Jangan membuang masa untuk tunggu sahaja, penuhkan kehidupan kau dengan kerja-kerja yang kau boleh buat, selain dapat menambah ilmu dalam alam pekerjaan kerana kita tidak tahu mungkin dengan pengalaman kerja yang kita anggap biasa ini dapat menbantu kita di masa akan datang.
Ingat pesan aku ini., ini semua adalah REZEKI. Kau USAHA kau BERDOA dan kau TAWAKAL. Jika kita sudah berusaha tapi masih belum mendapat kerja yang di idamkan, jangan terlalu kecewa ingat la ini semua adalah REZEKI dan ketentuan dari yang Maha Kuasa.
Sebagai orang islam jika perlu redha dan jangan pernah berputus asa untuk berusaha dan berdoa.
Aku ingin kongsi pengalaman sendiri. Selepas SPM aku mengambil diploma di sebuah universiti tempatan dalam bidang kejuruteraan.
Habis sahaja diploma aku berpeluang dan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke luar negara., tapi terpaksa aku tolak atas beberapa sebab.
Salah satunya, ayah aku sakit kronik ketika aku dalam pengajian diploma dan tidak boleh bekerja, manakala aku adalah anak lelaki sulung dan menjadi harapan keluarga.
Aku membatalkan niat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mencari kerja untuk membantu keluarga kerana ada adik yang masih bersekolah. Sebenarnya ketika ayahku mula sakit aku sudah pun ingin berhenti belajar dan bekerja tetapi dilarang oleh keluargaku.
Maka bermula alam pekerjaan aku. Kerja pertama aku adalah sebagai pembantu di kedai makan, seterusnya sebagai pembantu di kedai runcit.
Sementara bekerja itu aku tetap berusaha memohon kerja-kerja yang bersesuaian dengan bidang yang aku pelajari, berbelas temuduga yang aku hadiri, tetapi tidak Berjaya.
Hampir 2 tahun selepas tamat Diploma, aku mengambil keputusan untuk keluar dari negeriku dan mencari rezeki di lembah klang, sebelum terlupa aku berasal dari utara.
Di lembah klang aku bermula dengan bekerja di 7Eleven, selepas itu sebagai juruwang di The Store dan seterusnya sebagai pembantu di kedai buku.
Seperti biasa aku juga tidak lupa untuk memohon jawatan kosong yang bersesuaian dengan bidang aku. Banyak wang ringgit yang dihabiskan untuk menghadiri temuduga kerana ada sesetengah syarikat yang memanggil aku temuduga dari luar lembah klang.
Pengalaman pahit ketika mencari kerja?? Macam-macam, tapi yang paling tidak aku lupakan adalah ketika aku hadir temuduga di sebuah kilang antara pembekal utama part kereta nasional. Jawatan kosong yang ditawarkan adalah sebagai penyelia di bahagian QC.
Aku dihubungi pihak HR untuk lapor diri dan ditawarkan gaji yang cukup lumayan tidak termasuk OT dan sebagainya. Aku lapor diri dan hadir sesi orientasi dan sebagainya.
Walaubagaimanapun ketika sesi akhir orientasi iaitu suai kenal antara staf dan pengurusan, ketua jurutera disitu terkejut melihat aku.
Aku perasan yang dia becakap sesuatu kepada Ketua HR. Selepas itu aku dipanggil oleh HR dan dimaklumkan ada sedikit kesilapan dan diberitahu yang jawatan penyelia itu sudah ada calonnya. Korang rasa logik tak??
Dan menawarkan aku sebagai operator di kilang itu dengan gaji tak sampai separuh dari asalnya… Huhuhuhu..
dan tahu la aku bahawa Ketua Jurutera itu mahukan seseorang yang dikenali untuk jawatan itu, boleh bayangkan? walaupun kita sudah lapor diri untuk sesuatu jawatan itu. Jika itu bukan rezeki kita, tetap kita tak dapat.
Jujur aku kecewa, tetapi aku selalu teringat pesan ibuku, REZEKI.. semua kehendak ALLAH SWT. Belajar untuk redha. Kerana semua yang terjadi ada hikmahnya.Aku tidak menerima jawatan operator di kilang itu kerana terkilan dilayan sebegitu.
Hingga satu hari, aku ternampak iklan jawatan kosong pengawal keselamatan di salah sebuah Konglomerat (syarikat multi-industri) yang agak terkenal dalam negara.
Secara jujurnya aku terpikat dengan tawaran gaji dan semua kelebihan yang ditawarkan kerana pada waktu itu aku sudah redha dengan apa-apa sahaja kerja memandangkan perlu membantu keluarga. Walaupun sudah tamat tarikh memohon, aku cuba pergi untuk temuduga.
Ketika sampai nama aku tiada dalam senarai dan aku maklumkan bahawa aku tidak membuat pemohon terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun wakil pihak HR memberi kebenaran untuk aku sertai temuduga fizikal dan bertulis. Alhamdulillah aku berjaya keduanya sebelum ke temuduga akhir dengan pihak HR.
Soalan-soalan yang di tanya seperti yang aku duga, berkenaan pemilihan jawatan ini kerana aku ada kelayakan untuk kerja yang lebih baik. Aku jawab dengan sejujurnya.
Aku Berjaya dalam temuduga dan bermulalah alam pekerjaan aku sebagai pengawal keselamatan. Kerja yang hampir tidak dipandang oleh graduan-graduan.
Banyak ilmu dan manfaat yang aku dapat dalam bidang ini kerana syarikat banyak menganjur dan menghantar staf untuk berkursus bagi menambah kemahiran.
Aku tidak pernah melepaskan peluang menghadiri kursus yang ditawarkan jika berkelapangan. Bagi aku ilmu itu amat bernilai.
Secara jujurnya aku tidak mempunyai masalah berkenaan gaji kerana bagiku cukup untuk diri sendiri dan membantu keluarga ini kerana syarikat juga memberi faedah-faedah, bonus, pelindungan kesihatan dan sebagainya.
Hampir 7 tahun di sana aku berpeluang untuk menghadiri temuduga daripada badan berkanun. Jawatan yang ditawarkan juga dalam bidang keselamatan tetapi dengan jawatan atau pangkat yang agak tinggi (Pegawai).
Dipendekkan cerita selepas beberapa sesi temuduga dan sampai la ke sesi temuduga yang terakhir. Ada lebih kurang 20 orang calon akhir dari seluruh Malaysia dan dibahagikan kepada 4 kumpulan. Satu kumpulan seramai 5 orang calon dipanggil serentak menghadap 6 orang panel.
Dalam sesi temuduga itu aku perasaan kesemua calon-calon ini mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi selain bidang pengajian yang lebih sesuai dengan jawatan ini berbanding aku.
Pada ketika itu lah aku sedar bertapa bertuahnya aku dengan pengalaman kerja yang ada selain pekerjaanku di syarikat yang perlu berhadapan dengan orang ramai,
Ianya dari pelbagai latar belakang termasuk dari dalam dan luar negara menyebabkan aku tidak kekok dan dapat jawab setiap soalan dari ahli panel dengan lancar dan yakin.
Dalam sesi itu juga aku perasan bahawa calon-calon lain walaupun mempunyai taraf pendidikan yang tinggi tetapi masih agak ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan dalam jawatan yang dipohon dan kurang keyakinan ketika bercakap.
Aku bukan lah ingin merendahkan sesiapa, tetapi jika pembaca mengambil positif dari apa yang aku cuba sampaikan pembaca akan paham maksud aku.
Dalam sesi itu juga, jika calon-calon lain gagal menjawab soalan yang diajukan oleh ahli panel, ahli panel tanpa teragak-agak menyuruh aku menerangkan atau memberi jawapan kepada calon-calon lain.
Aku berjaya dalam temuduga itu dan ditawarkan dengan gaji yang agak lumayan kerana pengalaman aku dalam bidang keselamatan.
Untuk makluman pembaca Badan Berkanun akan menguruskan pengambilan pekerjanya sendiri dan menawarkan gaji berpatutan, (Tidak lebih atau kurang dari tangga gaji minimum dan gaji maksimum yang ditetapkan kerajaan mengikut Gred Skim Perjawatan).
Sekarang sudah lebih 4 tahun sebagai pegawai di agensi ini. Dilantik sebagai ketua unit keselamatan di salah satu cawangannya diluar lembah klang. 100% lari dari bidang yang aku belajar di universiti. Siapa tahu pengalaman kerja aku sebelum ini banyak membantu.
Apa yang aku ingin sampaikan disini, jangan memilih kerja. Kerjalah untuk mencari rezeki yang halal dan menambah ilmu. Kita tidak tahu ilmu atau kerja apa yang membantu kita di masa hadapan.
Dan pesan aku kepada graduan baru, ilmu yang kita pelajari di universiti kadang-kadang tidak cukup untuk kita dalam menghadapi alam pekerjaan, jadi cari la pengalaman dan menambah ilmu walaupun kerja-kerja yang dianggap biasa untuk kita bina keyakinan diri.
Jika kau lulusan kejuruteraan, tidak salah kau kerja sebagai operator kilang dulu, pengalaman itu yang berharga.
Dan jangan terkejut ilmu yang dapat ketika kau bekerja sebagai operator kilang akan membantu kau menjadi jurutera nanti. Ini hanya lah pengalaman aku dan juga pandangan aku.
Pembaca boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan pendapatku. Kita raikan pendapat semua. Aku ingin memohon maaf jika ada yang mengguris hati pembaca.. yang buruk adalah diriku sendiri dan yang baik dari Allah SWT.
Akhir sekali ingat la, Allah yang memberi rezeki kepada setiap hambanya, jangan lupa berdoa dan memohon kepadanya. Jangan abaikan keluarga kita, kerana mungkin doa dari mereka dan orang yang kita sayang salah satu asbab yang membuatkan kita berjaya hari ini.
Al-Fatihah untuk arwah ibuku yang telah meninggal dunia. Arwah tidak pernah jemu utk mendoakan aku ketika hayatnya didunia ini. Semoga Allah tempatkan arwah ibuku bersama orang2 yang beriman. Aamiin.
– TK (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit