Serangan Kegelisahan

Malam semalam, selepas kesihatan mental aku dah agak stabil untuk beberapa bulan kebelakangan ni, aku diserang dengan anxiety attack. Untuk pengetahuan korang, aku didiagnos menghidapi Generalized Anxiety Disorder dan Major Depressive Disorder lebih kurang 4 tahun lepas.

Aku makan beberapa jenis ubat pada awalnya, dan kini, aku hanya makan satu jenis ubat sahaja dan dosnya juga amat kecil yang secara tidak langsung bermaksud aku semakin pulih. Tapi, semalam ada sedikit perubahan dalam diri aku di mana tak semena-mena aku berasa macam ada sesuatu yang tidak betul dan pelik.

Petang semalam, badan aku terasa panas, dan kepala aku berasa pening dan sakit. Aku ambil 2 biji paracetamol, dan cuba berehat sebentar dengan harapan semuanya akan reda. Waktu petang ke maghrib, aku mulai rasa perubahan mendadak dalam diri aku. Dahi aku sepanas 38.6 darjah celcius dan tapak kaki aku berasa amat sejuk.

Jadi, aku rasa mungkin aku tak cukup rehat memandangkan kebelakangan ini, aku sedikit sibuk dengan urusan pekerjaan dan forum. Jadi aku buat keputusan untuk tidur awal selepas mengerjakan solat Isyak lebih kurang jam 9.00 malam. Apabila aku baring sahaja, tiba-tiba aku diserang anxiety attack. Memang aku dengan sepenuh hati mengatakan bahawa dalam kehidupan aku ini, anxiety attack ini merupakan satu perkara yang amat teruk pernah aku lalui.

Aku pernah rasa kepatahan tulang dan aku pernah rasa concussion serta banyak kecederaan lain. Namun, di sini aku bukanlah nak mengatakan apa yang dirasai oleh pesakit MDD dan GAD itu lebih teruk daripada penyakit-penyakit lain.

Apa yang aku nak katakan di sini adalah serangan anxiety ini tidak sakit, maksud aku tidak sakit secara fizikalnya. Namun, rasanya amat teruk dan ianya akan memakan diri daripada dalam. Anxiety attack ini dengan mudah akan menyebabkan seseorang itu hilang kawalan terhadap dirinya dan menyebabkan seseorang itu cenderung untuk melakukan perkara yang pelik-pelik.

Korang jangan tertukar dengan panic attack ya, yang mana panic attack ni biasanya akan terjadi secara tiba-tiba, dan puncanya adalah kerana individu tersebut takut akan sesuatu perkara dan kebiasaannya, triggernya adalah kerana seseorang itu terlalu bimbang dan takut terkena panic attack sekali lagi. Pelik kan? Yup, itulah sebabnya masalah berkaitan psikologi ini adalah satu jenis penyakit, bukannya satu jenis benda yang dibuat-buat untuk mendapatkan perhatian.

Baik, anxiety attack ni biasanya dia akan datang secara senyap, subtle dan perlahan. Bila malam menjelma, keadaan di sekeliling menjadi sunyi sepi, dan masa itulah waktu anxiety attack ini akan mencapai kemuncaknya. Perkara yang paling menyeksakan pada anxiety attack ini adalah episod serangan ini akan berlaku tanpa apa-apa trigger. Hal inilah yang paling aku tak tahan, kerana sekiranya aku tahu apa triggernya, sekurang-kurangnya kita boleh mengelak atau berbuat sesuatu terhadapnya.

Aku nak katalah, malam semalam adalah antara satu anxiety attack yang amat teruk, di mana kali terakhir aku terkena serangan sedemikian rupa adalah pada bulan september 2018. Korang nak tahu bagaimana rasanya? Biar aku ceritakan memandangkan serangan ni baru sahaja berlaku, dan memori aku terhadap kejadian ini masih lagi segar di mana aku boleh menceritakan apa yang berlaku dengan terperinci.

Aku cuba baring, dan aku rasakan ada satu benda atau aura yang mengarahkan agar aku menggerakkan kaki aku. Perkara ini, dalam terma perubatannya dipanggil Restless Leg Syndrome (RLS). Aku tak boleh baring diam sahaja tanpa menggerakkan kaki aku kerana minda aku dikuasai oleh satu kuasa yang menekan dan memaksa kaki aku untuk bergerak, walaupun aku cuba tahan tetapi tidak boleh.

Otak aku masih lagi boleh mengawal pergerakkan kaki ini yang tak henti-henti, namun, apabila aku tidak menggerakkan kaki aku, rasa gelisah itu aku dapat rasakan turun daripada kepala ke kaki. Aku hilang kawalan terhadap badan aku sendiri. Sudah tentulah apabila kaki bergerak tanpa henti, macamana aku nak tidur?

Kemudian, aku bangun, ambil wudhu’ dan mula membaca Al-Quran. Pada awalnya, aku rasa sedikit reda walaupun aku terpaksa bersila, dan membaca Al-Quran dalam keadaan di mana kaki aku ini tidak henti-henti bergerak. Tetapi, masuk sahaja helaian yang ketiga, aku mula rasa sesak nafas pula. Aku tarik nafas panjang (4 saat), tahan sebentar (4 saat) dan hembus dengan panjang (6 saat), mengikut teknik Anxiety Breathing Technique.

Tetapi, seketika kemudian aku rasakan ada aura yang memaksa aku bernafas dengan laju. Aku terfikir untuk ke klinik, tetapi, aku rasa macam tak elok pula kerana menyusahkan orang lain di waktu malam-malam buta sebegitu. Kemudiannya, dengan badan aku yang sudah hilang kawalan, kini, tangan aku pula mula menggenggam tangan aku yang lagi satu. Ibarat dipicit-picit dan dipaksa berbuat sedemikian.

Aku sendiri dapat mendengar bunyi degupan jantung aku yang laju, dan apabila aku kira, memang benarlah aku sedang tachycardia, di mana kadar denyutan nadi aku mencapai sehingga 130 degupan per minit (normalnya adalah 60 – 100 degupan per minit). Aku cuba makan ubat yang ada, namun tidak berkesan. Ubat yang aku simpan untuk kecemasan sebegitu langsung tidak berfungsi untuk menghalang serangan ini.

Daripada duduk, aku berdiri, kemudian aku berbaring. Semua tak kena. Gelisah sentiasa. Mulut aku laju mengucap dan berzikir. Aku langsung tidak boleh baring dalam mana-mana posisi. Hujungnya, aku hanya mengerekotkan badan aku seperti tenggiling di atas simen di dalam tandas.

Aku buka air paip supaya aliran airnya terkena pada kepala aku, yang sedang panas, dan sakit. Reda sedikit rasanya. Namun, dalam posisi sedemikian pun, gejala RLS masih tidak mahu pergi. Aku berguling ke kanan dan ke kiri, cuba membuang tenaga yang terlalu banyak di dalam badan aku.

Aku masih ingat lagi, anxiety ini salah satu puncanya adalah disebabkan kita tidak aktif bersenam mahupun bersukan. Jadi, kita mempunyai banyak tenaga di dalam badan, dan satu-satunya cara untuk membuang tenaga tersebut adalah dengan menggerakkan tangan dan kaki secara paksa, dan mengulang-ulang pemikiran mengenai perkara yang lama dan yang buruk.

Aku bangun dan keluar daripada tandas. Badan aku basah lencun. Aku cuba untuk makan, kerana makanan itu adalah salah satu benda yang boleh menaikkan dopamine di dalam otak seseorang. Aku rasa, mungkin ianya boleh membantu diri aku ini. Namun, tidak berkesan juga. Aku mulai muntah-muntah.

Habis semua yang aku makan terkeluar semula, dan sehingga perut aku sudah betul-betul kosong pun, aku masih lagi muntah. Memuntahkan cecair bewarna hijau yang pahit, iaitu cecair hempedu. Aku rasakan, dalam keadaan terdesak sedemikian, ada sedikit terasa di dalam hati aku untuk membunuh diri. Aku bukanlah nak bercerita perkara ini dengan selamba tanpa memikirkan bahawa isu ini amat sensitif, tetapi aku cuma nak kongsikan kepada korang, apa yang berlaku semasa anxiety attack ini.

Pelbagai cara aku fikirkan untuk melakukan perkara berdosa besar itu. Aku cuba melafaz kalimah,

“La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin.”

Tanpa henti, yang mana sedikit sebanyak membantu aku untuk membuang pemikiran negatif di dalam mindaku.

Daripada jam 9 malam, sehinggalah masuk waktu solat Subuh, yang mana aku tak tahulah sama ada solat Subuh aku itu sah atau tidak kerana sepanjang masa aku bernafas dengan laju, kaki aku sentiasa bergerak tanpa henti, fokus pembacaan kalimah-kalimah suci itu pun entah ke mana.

Aku rasakan, itulah 8 jam yang paling teruk aku alami selama beberapa bulan ini. Aku cuba berbaring sahaja, entah bagaimana kuasa Allah yang ingin membantu insan lemah seperti aku ini, akhirnya aku terlelap. 3 jam kemudian, aku terjaga, dan keadaan badan aku masih lagi sedemikian rupa, namun, sekurang-kurangnya, hari sudahpun siang, bermaksud, urusan ke klinik akan menjadi lebih mudah.

Jam 9.30 pagi, aku tiba di sebuah klinik GP yang mempunyai kepakaran untuk merawat pesakit yang mempunyai masalah mental. Setelah aku menunggu lebih kurang 10 minit, akhirnya aku diberi sejenis ubat on the spot di klinik tersebut. Alhamdulillah, ubat yang diberikan ini sememangnya kuat, dan dos nya sedikit tinggi daripada ubat yang aku ada di rumah. Lega sedikit rasanya, dan kesan ubat ini akan berterusan sehingga 6 jam.

Sekarang, sudah jam 12.00 tengahari sewaktu aku menulis entri ini, dan aku kembali sihat dan normal, seperti biasa. Aku sendiri agak insaf bahawa betapa kerdil dan helplessnya insan bergelar manusia ini, yang mana boleh diberi sedikit dugaan sehingga mencapai tahap yang aku tak boleh bayangkan. Secepat mana serangan ini datang, secepat itulah serangan ini hilang.

Biarlah aku, sebagai seorang pesakit berkongsi perkara ini. Aku tegas menyatakan, serangan anxiety (kegelisahan) ini bukanlah satu jenis benda yang boleh dibuat main-main, dan dengan mudah dieksploitasikan oleh beberapa individu yang inginkan populariti sehingga sanggup membohong bahawa dirinya adalah seorang pesakit juga, hanya kerana pada pandangannya, isu ini trending sekarang. Kepala hotak dia! Aku berharap, satu hari nanti orang sebegini akan diberikan rasa sebenar bagaimanakah rasa serangan yang dialami oleh pesakit MDD dan GAD ini.

Allah bagi dugaan bila-bila masa sahaja, dan Dia ingin melihat, bagaimanakah caranya kita menghadapi cabaran sebegini. Hari ni, aku nak exercise semula, dan aku nak perbanyakkan bacaan Al-Quran serta memastikan, ubat untuk serangan sebegini sentiasa ada.

Korang, para pembaca mesti merasakan aku ni pelik bukan? Sebabnya simple, apa yang aku alami ini adalah satu jenis penyakit. Untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan kerohanian ini, kita harus mendapatkan rawatan dari segi ubat-ubatan dan pakar psikiatri, dan pada masa yang sama, mengamalkan suruhan agama dengan bersungguh-sungguh. Orang kata, rawatan agama works hand in hand with rawatan perubatan daripada hospital.

Jangan suka menuduh, terutama sekali tuduhan liar yang menyatakan bukan sahaja pesakit mental, waima pesakit kanser, pesakit jantung dan lain-lain ini dihidapi oleh seseorang disebabkan oleh masalah kekurangan iman dan tidak mengutamakan aspek keagamaan. Ingatlah, itulah tuduhan yang paling besar dan perbuatan sedemikian pasti akan mendapat balasan sama ada di dunia ataupun di akhirat kelak.

Wallahualam…

P/s – Syukur Alhamdulillah ya Allah kerana memudahkan urusan aku, dan memberi sedikit dugaan untuk menyedarkan diri aku supaya lebih komited, rajin dan bersungguh-sungguh dalam berkongsi pengalaman beharga kepada ramai orang lain di luar ini. Jika aku tidak terkena serangan ini, sudah tentu aku tidak akan menulis mengenai perkara ini dan lalai dengan perkara-perkara yang lain.

Maaf sebab ada mix bahasa Melayu dan Inggeris, sebab otak aku ni masih tak mencapai kapasiti sepenuhnya lagi selepas terseksa daripada malam tadi.

– Ilzanno Sharky (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *