Setia Seorang Suami

Assalamualaikum. Memandangkan page iiumc sekarang dilanda confession bab cinta, maka saya juga tertarik untuk kongsikan satu kisah cinta; bukan kisah cinta saya, tapi pak cik saya. Saya gelarkan dia Pak Cik A.

Kisah ni saya baru tahu dua hari lepas, masa dok cerita pasal nenek saya, kemudian terbuka cerita pasal arwah mak dia(Mak Cik A), Pak Cik A dan nenek saya. (Nenek tersebut adalah nenek tiri saya)

Pak Cik A ni dah nak masuk 60an, tapi sejak Mak Cik A meninggal 20 tahun lepas dia langsung taknak cari pengganti. Ada juga anak-anak suruh Pak Cik A ni kahwin lain selepas lama menduda dan nenek saya pun bagi calon, tapi dia taknak. Sampailah anak yang sulung, yang mana kakak sepupu saya (saya panggil kak Yen, bukan nama sebenar) meningkat dewasa, baru lah Pak Cik A ni bagitahu sebab dia taknak kahwin lain.

Kisahnya, Mak Cik A bukanlah calon menantu pilihan nenek saya. Jadi, nenek saya tak sukakan Mak Cik A. Disebabkan itu, Mak Cik A sentiasa diherdik, dimarah dan juga pernah dipukul oleh nenek jika Pak Cik A takde kat rumah. Alasan nenek saya tak sukakan Mak Cik A adalah disebabkan Mak Cik A bukan dari keturunan suku kaum yang sama dengan nenek, dan bangsa Mak Cik A ni biasanya terkenal dengan bangsa yang ramai non-muslim (ayah makcik A muallaf dan peluk Islam selepas berkahwin dengan Ibu Mak Cik A). Sebab utama nenek saya tak suka Mak Cik A , nenek saya dah ada calon lain untuk Pak Cik A.

Pak Cik A ni seorang yang sangat baik, anak yang baik, soft spoken. Cuma bab kahwin, dia tak ikut pilihan mak dia.

Selepas tahu Mak Cik A ni diperlakukan seumpama hamba oleh nenek, akhirnya Pak Cik A ni bawa isteri dan anak-anak kecil mereka ketika itu berumur 7 tahun, 5 tahun dan baby (masih menyusu badan) keluar dari rumah nenek, dan duduk menyewa di sebuah bilik kecil di kawasan ladang. (Hanya itu yang mampu memandangkan Pak Cik bekerja sebagai buruh kasar)

Mak Cik A ni, dari cerita Pak Cik A, seorang hamba Allah, isteri dan ibu yang sangat baik dan cantik. Ibadah terjaga. Keperluan makan minum dan pakaian suami dan anak-anak dijaga sebaiknya. Mak Cik A juga tidak pernah mengeluh walaupun hidup mereka tidak semewah yang lain. Itu juga antara sebab Pak Cik taktahu tentang perlakuan nenek pada Mak Cik A, sebab Mak Cik A ni tak bagitahu.

Bayangkan, disebabkan terlalu sayangkan anak, Mak Cik A ni sanggup mandikan dan pakaikan baju untuk anak-anak. Mereka tak dibenarkan mandi sendiri. Makan pun akan disuapkan oleh Mak Cik A. Mak Cik A juga, jika pagi tu suaminya tak sempat nak bersarapan, dia sanggup berlapar sehinggalah Pak Cik A balik rumah pada waktu tengah hari dan makan bersama-sama disebabkan dia rasa terlalu bersalah kerana kadang terlambat siapkan sarapan. Walaupun sebenarnya Pak Cik A tak kisah dan pesan supaya dia makan terlebih dahulu.

Selain itu, rutin harian Mak Cik A adalah menanti kepulangan Pak Cik A balik kerja. Dia akan sentiasa perhatikan masa. Jika menghampiri waktu Pak Cik A untuk balik dari kerja, walaupun masih ada kerja rumah yang belum siap, Mak Cik A sanggup tinggalkan dahulu dan mula bersiap-siap. Mak Cik A akan menunggu kepulangan Pak Cik A di depan pintu.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah yang berlaku apabila pada suatu hari, Mak Cik A jatuh pengsan. Dia dikejarkan ke hospital. Doktor bagitahu, Mak Cik A overdose makan ubat disebabkan ketika itu kondisi Mak Cik A, mulutnya berbuih-buih. (Mak Cik A kerap juga makan ubat disebabkan selalu mengalami sakit kepala)

Selepas sedarkan diri, Mak Cik A seperti hilang ingatan. Dia tidak mengenali sesiapa termasuklah anak-anaknya sendiri kecuali Pak Cik A. Bila dibagitahu perihal anak mereka, Mak Cik A akan bertanya, “Kita ada anak ke abang?”

Semua berubah seratus peratus. Mak Cik A mula menjadi seorang yang panas baran, pantang silap sikit, dilibas anak-anaknya.

Dia juga banyak bersendirian, termenung dan kadang akan gelak seorang diri. Selain itu, dia juga enggan menyusukan adik sepupu saya yang masih menyusu badan ketika itu, dengan alasan, itu bukan anaknya.

Sedih hati, anak-anak yang tidak pernah dijentik, makan disuap, dan dimanjakan, dilayan seperti orang asing. Semuanya secara tiba-tiba. Dan paling menyedihkan, ketika situasi seperti itu, tiada seorang pun saudara mara Pak Cik A yang mahu datang menjenguk Mak Cik A yang kurang sihat, termasuk nenek.

Sekali lagi, pada suatu hari, ketika kak Yen cuti sekolah, Mak Cik A jatuh sakit lagi. Kali ini Mak Cik A dihantar ke hospital yang agak jauh sedikit kerana hospital berdekatan mengalami kekangan dari segi kemudahan. Pak Cik A tidak sempat menghantar sepupu saya tiga orang itu kerana mengejar masa, dan hanya meninggalkan pesan kepada nenek saya.

Bermulalah kisah menyedihkan buat sepupu saya. Mereka yang tidak biasa keluar rumah, duduk menunggu diambil oleh saudara mereka. Tiga hari, batang hidung tidak kelihatan. Yang kecil, asyik menangis nakkan susu, abang sepupu kelaparan. Dan kak Yen sebagai kakak sulung (ketika itu berumur 9 tahun) menyuruh adiknya untuk makan apa saja yang ada. Bila diperiksa di dapur, yang ada cuma bubur yang sudah basi yang dimasak oleh Mak Cik A sebelum dihantar ke hospital. Itulah makanan mereka sepanjang tiga hari tersebut. Mahu masak, Kak Yen tak reti. Namun, dengan izin Allah, walaupun makan bubur basi, mereka langsung tidak sakit perut. Oh ya, lupa nak bagitahu, walaupun Mak Cik A tak mengenali dan mengingati perihal anak-anaknya, dia tetap masak dan menjaga makan minum mereka.

Apabila hujan turun, mereka adik beradik akan kebasahan disebabkan atap yang bocor. Menggigil-gigil mereka menahan sejuk. Mereka tiada tempat lain untuk pergi, kerana keadaan bilik yang kecil.

Saudara mara? Nenek?

Tiada seorang pun yang datang ambil dan menjaga mereka, apatah lagi mahu menjenguk. Jiran-jiran pula, langsung tidak mengetahui keberadaan mereka bertiga di rumah tersebut, kerana menyangka sudah ada saudara yang mengambil mereka. Mujur pada satu hari, tuan rumah datang menjenguk. Salah seorang jiran memberitahu mereka mendengar tangisan bayi di rumah tersebut. Apabila ditinjau oleh tuan rumah, terkejut sungguh sehingga menangis teresak-esak melihat keadaan sepupu saya. Tuan rumah itu lah, yang mengambil mereka dan membawa pulang ke rumahnya serta menjaga mereka adik-beradik. Berulang kali dia mengeluarkan rasa kecewa dengan sikap keluarga Pak Cik A yang tidak mahu ambil peduli.

Allah lebih sayangkan Mak Cik A apabila akhirnya dia meninggalkan dunia ini. Dan ketika itu juga, cinta Pak Cik A terhadap Mak Cik A dikuburkan bersama, dan dibiarkan mekar di dalam hati. Dan bermula juga kisah pahit anak-anak yatim ini yakni sepupu saya ketika mula tinggal bersama nenek. Insya-Allah, di lain masa saya akan kongsikan kisahnya.

20 tahun berlalu, Pak Cik A masih setia cintanya kepada Mak Cik A. Jika disuruh cari pengganti, pasti akan diceritakan perihal arwah isterinya yang tiada pengganti. Itulah cinta sejati dua insan yang terpisah di alam yang berbeza, tapi masih bertaut kerana Allah.

Zaman sekarang agak susah untuk jumpa lelaki yang setia macam Pak Cik saya, tapi insya-Allah masih wujud lagi.

Mohon maaf jika tulisan dan bahasa agak tunggang langgang. Moga ada pengajaran yang kita boleh jadikan ikhibar. Terima kasih sudi luangkan masa untuk membaca coretan saya.

Sekian.

– orkedd

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit