“The most innocent face is the most manipulative person!”
Satu kata-kata yang diungkapkan oleh seorang kaunselor kaunseling baru-baru ini selalu terngiang-ngiang di telingaku sehingga hari ini.
Pada hari itu, beberapa orang guru termasuklah aku sendiri dipanggil untuk mendengar sedikit taklimat daripada beliau untuk mencari solusi berkenaan masalah-masalah disiplin yang telah dilakukan oleh murid-murid sekolah.
Berdasarkan ungkapan di atas, maka terbukalah minda aku bahawa manusia diciptakan dengan kadar survival tinggi.
Ada di antaranya bijak mengatur tingkah laku mengikut situasi yang pernah berlaku dalam erti kata lain, berpura-pura baik ibarat harimau menyembunyikan kuku. Selalu beringat bahawa sebagai manusia, kita pasti lebih mempercayai individu yang beperwatakan baik dan kelihatan naif.
Namun, mereka sebenarnya menunggu peluang keemasan untuk melakukan sesuatu yang kita tidak jangkakan tanpa pengetahuan kita.
Pernah dengar ungkapan sesuatu antibiotik akan tidak lagi relevan selepas satu-satu tempoh kerana suatu virus itu mampu menyesuaikan diri terhadap antibiotik tersebut? Begitu juga manusia.
Manusia diciptakan sebagai makhluk paling sempurna diciptakan Allah di dunia, sudah pasti dapat mengadaptasi permasalahan dan cabaran yang ada serta pasti mampu meloloskan diri daripada permasalan itu.
Selepas itu, manusia pasti mencari ruang untuk melunaskan keinginannya dan terus berselindung disebalik wajahnya yang naif walaupun telah melakukan sesuatu yang kurang elok.
Dalam konteks dunia remaja. Jangan sesekali meletakkan kepercayaan seratus peratus terhadap anak-anak atau pun pelajar sekolah. Elak membuat perbandingan di antara “batch” atau adik beradik. “Batch” tahun lalu kuat membuli. “Batch” tahun ini lebih baik.
Sebenarnya manusia diciptakan sama. Cuma, masing-masing mempunyai nafsu yang berbeza-beza. Ada yang secara lahiriahnya memang nampak jahat. Ada pula yang di depan kita, pijak semut pun tak mati, di belakang kita harimau melihat mereka pun lari bertempiaran!
Mungkin sebab itulah dikatakan bahawa agama itu penunduk nafsu. Konsep pahala dan dosa mampu mengawal nafsu manusia. Jadi sebagai ibu bapa dan warga pendidik, amatlah berat tanggungjawab kita dalam menyedarkan golongan ini berkenaan yang boleh dan yang haram.
Akhir sekali, marilah sama-sama kita berdoa, generasi pemimpin masa depan yang dijaga dan dibimbing kita pada hari ini dibajai dengan ajaran sahsiah terbaik agar kedudukan manusia sebagai khalifah di bumi ini terus terpelihara.
Ramai di antara kita yang menjadikan teknologi sebagai ancaman kepada kebobrokan sahsiah remaja masa kini. Namun aku adalah antara individu yang masih berpegang bahawa teknologi itu banyak manfaatnya namun kita belum menemui kunci untuk menangkis segala perihal negatif mengenainya.
– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit