Siapa Yang Menarik Kereta Aku

Aku tak mungkin lupa apa yang terjadi pada hari ini. Ini bukan soal hati dan perasaan. Aku ingin berkongsi kisah keajaiban dan keberkatan Solat Tahajud.

Solat tahajud dilakukan sebanyak 2 rakaat dan lebih afdhal dilakukan sebelum masuknya fardu Subuh. Pada pagi ini, aku merancang untuk pergi ke Kuala Terengganu dari Kuantan.

Oh ye, aku menetap di Kuantan dan aku suka sangat bercuti ke Kuala Terengganu. Namun kami di Pantai Timur masih berada dalam Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh. Musim tengkujuh kali ini membawa episod siri hujan lebat yang menyebabkan kawasan rendah banjir.

Pada masa itu, sudah tersebar info yang mengatakan seluruh negara dikenakan sekatan rentas negeri. Jadinya, aku terfikir hendak merebut peluang sebelum sekatan bermula.

Aku merancang untuk pergi pagi, pulangnya petang. Dan aku berdua saja dengan kakak aku, kami beranikan diri meredah hujan yang sangat lebat, awan hitam melarat bertakung air.

Bila – bila masa saja langit mencurahkan hujan yang bagaikan tiada hentinya. Sebelum subuh, sudah menjadi lazim untuk memulakan perjalanan, aku akan bersolat tahajud untuk memohon restu dari Allah serta perlindunganNya. Mohon untuk dipermudahkan segala urusan.

Segalanya selesai, pada masa itu cuaca di Kuantan, hujan sudah pun berhenti. Namun, musim tengkujuh, tak boleh jangka sampai bila boleh bertahan. Aku fikir, mungkin Terengganu begitu juga. Aku dan kakak aku, merancang untuk masuk LPT 2. Masuk ikut Kuantan.

Sebenarnya aku berdebar juga, mata aku tak lepas memandang langit. Sambil aku berdoa, semoga hujan tak turun. Kakak aku memandu dan aku di sebelahnya.

Kakak aku diam, katanya sakit perut. Aku biarkan dia memandu. Sekali sekala saja bercakap menyerikan suasana. Tatkala kereta kami sampai ke kawasan Kemaman yang sedang dilanda banjir dan hujan lebat, hati aku cuak. semakin cuak ketika kami menghampiri kawasan Air Putih, Kemaman.

Diatas jambatan aku rasa dekat exit Chukai, air banjir mengalir laju. Nampak semakin besar dan aku kira semakin mencecah jambatan. Ditambah pula hujan yang semakin lebat dan tidak berhenti.

Aku terfikir, kalau hujan sampai ke petang, tak mustahil jambatan yang menghubungkan LPT akan tenggelam. Sudahla bandar Kemaman dilimpahi air bah.kalau dekat sini pun air melimpah, maka kami akan terkandas untuk beberapa hari.

Hati aku ketika itu semakin tak sedap, makin berat rasanya. Tapi aku ini jenis degil, keras kepala.

Aku memang nak sangat pergi ke Kuala Terengganu kononnya untuk bercuti sebelum PKP/PKPB, aku keraskan hati untuk tak menghiraukan rintangan, makanya aku tetap teruskan perjalanan. Walaupun cuaca buruk.

Keanehan bermula dari sini.

Entah kenapa hati aku semakin berat untuk meneruskan perjalanan, tapi didorong hawa nafsu, aku abaikan segala rasa itu. Namun, aku jadi pelik. Jadi hairan.

Kenapa aku rasa masa seakan lambat. Masa seolah diperlahankan. Pernah tengok filem Hollywood yang memaparkan adegan diperlahankan? Begitula aku alami. Aku rasa macam lama benar hendak sampai ke signboard exit tol Kijal, pun rasa lambat sangat.

Hujan masih turun, ada kawasan agak lebat, ada masa langit sudah berhenti hujan. Jalan berlubang, berlopak air. Biasala kan. Selain itu, kereta kami berjalan perlahan sedangkan jarum pedometer minyak menunjukkan angka 100 kilometer perjam. Eh, apahal makin macam lambat ni?

Kataku dalam hati. Kalau lambat kang, tak tau sampai pukul berapa? Aku siap terfikir, ada yang menumpang kereta kami ke?

Maklum la kawasan LPT2 ini banyak kisah mistik. Masa itu pula, kereta tak banyak. Yela, musim hujan, banjir di sana sini. Orang pun bimbang juga nak melancong.

Tapi aku tak rasa seram. Situasi masa itu biasa saja. Dalam keadaan normal. Namun kereta kami menjadi semakin perlahan. Seperti sedang mendaki Genting Highland bawa muatan penuh.

Tapi pada masa itu, kereta kami kosong. Kami berdua saja. Beg – beg tak ada, sebab kami merancang balik hari saja.

Cuma bawa beg solat, tuala kecil dan scrub cuci muka. Itu saja. Jalan pula rata saja, tak ada naik bukit. Cuma sesekali kakak aku mengelak jalan berlubang. Pihak LPT 2 pun ada letak signboard amaran. Kakak aku memandu dengan penuh hati – hati.

Sebelum sampai RNR, aku tak pasti nama apa, dekat mana, kata kakak aku dia nak berhenti memandu. Katanya kakinya krem. Aku pun pelik, tak sampai KT, kaki dah lenguh ke? Sebelum ni, ketika cuaca cerah, langit membiru, dia boleh memandu sampai ke KT.

Seorang diri memandu saja tanpa bantuan aku. Kali ini, dia cakap penat. Tambah pula kaki lenguh. Dengan semangat berkobar, aku ambil alih memandu. Konon untuk cepat sampai KT. Namun, saat aku mula memegang stereng, menekan pedal minyak, segalanya berlaku.

Kereta yang aku pandu, semakin berat. Seperti ada orang yang sedang cuba menarik kereta kami dari belakang. Aku jadi hairan campur pelik. Siapa pula menarik kereta aku dari belakang sedangkan aku pecut memandu 100 kmj?

Ditambah angin yang menderu melawan pergerakan laju kereta yang dipacu, aku terasa kereta aku sedang ditarik atau cuba diperlahankan dengan sesuatu yang sukar dijelaskan logik akal.

Dihadapan aku, dibahagian enjin aku tak rasa apa – apa yang pelik. Semuanya dalam keadaan normal.

Cuma dibelakang, lebih tepat lagi dibahagian spoiler kereta (kereta Alza) aku rasakan seperti sekumpulan sesuatu yang bersayap sedang berusaha untuk memperlahankan kereta aku dengan cara menarik kereta aku dari terus memecut ke depan.

Makin aku ke depan, kereta aku jadi semakin perlahan. Nak saja aku tanya kakak aku, siapa yang menarik kereta kita dari belakang? tapi macam tak logik pula tanya dekat highway tengah hutan pula tu. jadi aku diamkan diri aku.

Aku sedaya upaya menekan pedal minyak. Menambahkan kelajuan, tapi yang anehnya, jarum pedometer minyak seakan tersekat sampai 100 saja.

Aku cuba tekan lebih lagi, tapi macam ada sesuatu tersekat. Tapi tak tau apa. Enjin kereta aku dalam keadaan baik. Brek semua diturunkan.

Sememangnya tak ada masalah. Ditambah pula hati aku semakin tak sedap hati, semakin berat hati aku untuk meneruskan perjalanan. Aku dah nampak exit tol Dungun, tapi aku masih buat degil lagi. Aku cuba abaikan perasaan yang aneh – aneh itu.

Tapi selepas itu, aku dah mula penat. Aku seperti sedang melawan sesuatu yang aku tak tahu apa. Macam aku nak sangat pergi ke KT, tapi ada orang menegah aku dari pergi kesana. Dengan melakukan pelbagai cara untuk pastikan aku patah balik ke Kuantan.

Akhirnya, aku mengalah. Dan aku terfikir, aku tidak mendapat keizinan dari Allah SWT? tak dapat restu dari Allah, lalu Allah hantarkan bantuan untuk pastikan aku selamat sampai ke Kuantan semula?

Bila aku melihat papan tanda exit tol Paka, aku pun masuk dan bayar tol. Kemudiannya aku buat pusingan U di tol yang sama, dan memandu terus ke Kuantan.

Kereta kami mula berkurangan berat, tapi aku rasa macam masih ada sesuatu yang mengiringi kepulangan aku ke Kuantan. Sampai Kemaman, aku lihat cuaca cerah, hujan dah berhenti. Aku mula buat degil, nak patah balik, tapi tetap hati aku berat untuk patah balik ke KT.

Exit Gebeng, Astana sudah kelihatan, tapi aku putuskan untuk exit ke tol Kuantan. Sampai di Kuantan, barula sesuatu yang mengiringi aku, hilang. Hati aku jadi lapang dan ringan. Tak seteruk tadi.

Aku tak tahu apa dan apa yang sedang berlaku. Aku fikir, aku seorang saja begitu. Rupanya kakak aku juga rasa apa yang aku rasa.

Rumusan aku dan kakak aku, kami tak dapat restu dari Allah untuk pergi ke Kuala Terengganu. Barangkali ada bencana atau malapetaka yang boleh membahayakan nyawa sedang menanti dihadapan. Musibah yang Allah cuba untuk elakkan dari menimpa ke atas kami.

Aku kecewa sangat tak boleh pergi ke sana, ditambah pula tak boleh merentas negeri tanpa sebab saat ini. apa kan daya perancangan Allah kita tak tau.

Namun pengalaman diiringi sesuatu yang Allah Maha Mengetahui, sangat istimewa. Aku fikir mungkin keberkatan solat Tahajud yang lazimnya aku lakukan sebelum memulakan perjalanan, menyelamatkan kami dari marabahaya.

Aku tak rasa itu hantu. Aku rasa seperti operasi menyelamatkan kami saja. Pengiring kami bukan dalam bentuk manusia. Bukti kekuasaan Allah SWT. Allah saja yang tahu.

– Chem Ki (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *