Siapakah Aku Dihatimu?

Hai Assalammualaikum semua. Aku Aisyah, seorang pensyarah, berusia awal 30an berkawan dengan seorang lelaki muda sedikit dari aku.

Kami berkenalan bermula di media sosial setahun yang lepas pada mulanya dan bersua muka setelah beberapa bulan mengenali.

Aku gelarkan dia sebagai M, M seorang lelaki yang baik, rupa paras dan pekerjaan biasa sahaja (belum stabil), namun baik dalam melayan aku sebagai seorang wanita.

Maksud baik itu, M tidak pernah meninggikan suara dan memarahi aku sekiranya terjadi pergaduhan antara kami. M akan berdiam diri dan bertindak seperti tiada apa yang berlaku sekiranya tercetus perbalahan antara kami.

Mungkin kedengaran baik tetapi kelakuan M ini sering membuat aku berjauh hati kerana bagi aku komunikasi dan berbincangan yang baik diantara pasangan adalah penting dalam perhubungan.

M tidak ingin cuba langsung untuk menyelesaikan masalah, dia akan berdiam diri, memilih bercakap tidak jujur untuk mengelakkan pergaduhan, terus mengubah topik dan bertindak seperti tiada apa yang terjadi.

M tidak menyorokkan aku dihadapan rakan-rakannya tapi tidak juga terang-terangan meng’exposed’ diriku lebih-lebih lagi di media sosial.

Katanya dia tak ‘exposed’ hubungan dia media sosial.

Aku seorang wanita yang tidak mengongkong, bukan jenis yang cepat merajuk, menghormati M walaupun terdapat perbezaan umur,

Meletakkan sepenuh kepercayaan kepada M namun beberapa bulan lepas, satu peristiwa telah berlaku di mana M telah terkantoi masih berhubung dengan seorang wanita yang dia katakan adalah ‘bekas teman wanitanya’.

Sebelum ini, kami pernah bercerita secara santai mengenai bekas kekasih masing-masing, hanya untuk suka-suka dan M mengatakan ‘bekas teman wanitanya’ adalah perempuan paling baik yang dia pernah kenali.

Aku berasa sedikit sedih dan cemburu namun aku mengabaikan apa yang dikatakan itu kerana aku beranggapan hubungan itu telah berakhir.

Aku juga pernah dapat menghidu sedikit sebanyak mengenai perempuan ini, bertanya kepada M namun M seperti biasa akan memberi 1001 perbohongan dan akhirnya aku pilih untuk percaya walaupun aku tahu itu semua mungkin satu perbohongan.

Aku pegang kata-kata M, aku perlu percayakan dia, mungkin aku yang terlalu overthinking. Namun aku silap.

Satu peristiwa telah berlaku dan ternyata terkantoi mereka masih berhubungan lagi sebagai pasangan kekasih.

Masih ‘facetime’ dan ber’whatsapp’ lagi tapi M bijak merahsiakan hubungan mereka atau mungkin aku yang terlalu meletakkan sepenuh kepercayaan kepada M sehingga tidak dapat menghidu apa yang dilakukan.

Aku berasa sangat sedih dan meminta penjelasan daripada M. M mengatakan hubungan dia dan perempuan itu tidak mungkin akan pergi jauh kerana tiada restu daripada keluarga.

Namun apabila aku bertanya mengapa dia melakukan aku seperti ini, M seperti biasa, tidak ingin menjelaskan. Meminta maaf jutaan kali dan mengatakan dia takut kehilangan aku tapi tiada penjelasan yang diberikan.

Aku membawa diri dari M lebih kurang 2 bulan. Aku unfriend dan blocked M di semua media sosial, kerana aku tahu, aku cepat terpujuk dan memaafkan.

Hal ini terbukti, setelah hampir setiap hari menerima mesej daripada M yang tak putus-putus memujuk, akhirnya atas dasar sayang, aku terpujuk, memaafkan M dan memberi peluang kepada M.

Namun, hubungan M dan perempuan itu masih tidak aku ketahui pangkalnya. Samaada sudah putus atau masih seperti biasa.

Sesekali aku apabila mendapat peluang aku akan bertanyakan pada M. Dia seperti biasa akan berkata dia tidak mahu membincangkan hal ini kerana dia tak nak kami bergaduh, tak nak aku sedih dan dia akan bijak mengubah topik.

Aku rasa seakan sudah putus asa untuk bertanya, sebab setiap kali itu hati aku sakit namun naluriku masih yakin mereka masih bersama.

Sehinggalah baru-baru ini, aku keluar makan bersama M, dengan nada bergurau aku tanya kepada M, aku minta M jujur kepada aku tentang hubungan dia dan perempuan itu.

Aku hanya mahu tahu kerana aku tak nak hidup dalam perasaan insecure, sentiasa syak wasangka dan disembunyikan.

Aku kata kepada M, aku bukan perempuan simpanan. M terdiam sebentar dan dia mengaku dia masih bersama perempuan tu lagi tapi seperti mana dia katakan hubungan mereka tak boleh pergi jauh kerana tiada restu keluarga.

Kata M, perempuan itu tidak mahu lepaskan dia.

Aku berkata kepada M, satu hubungan tidak akan boleh terjadi jika, satu pihak sahaja yang mempertahankan.

Kalau mereka berdua masih bersama, maksudnya M juga tidak sanggup lepaskan perempuan itu, dia juga masih cintakan perempuan tu. M berkata dia mahu berkahwin, tapi tak boleh.

Bukan dia tak nak tapi tak boleh. M tidak menyatakan pun dengan siapa yang dia ingin berkahwin. Tidak namaku, tidak nama perempuan itu.

Tapi aku tahu bukan aku yang dia maksudkan. Mungkin tidak boleh kerana tiada restu keluarga mereka. Jadi memang bukan aku lah yang dimaksudkan tu.

Aku terdiam lama, rasa menggigil sebak tapi aku tak nak menangis depan M. Aku tak nak kelihatan lemah, aku dah penat menangis.

Aku bertanya lagi beberapa soalan kepada M, Habis bagaimana dengan aku? Siapa aku dihati M? Mengapa kau masih ingin teruskan hubungan kita? M terus pilih untuk berdiam diri dan ubah topik.

Aku memendam perasaan, namun aku berasa sangat terganggu jadi pada malam berikutnya sebelum tidur, aku kata kepada M, aku sedih, aku luahkan kenapa aku sedih dengan harapan M sedia berbincang sekali lagi dengan aku, apa hala tujuan hubungan kami.

Aku katakan kepada M aku bukan muda lagi untuk meneruskan hubungan seperti ini, aku tidak pernah mendesak, bertanya kepada M tentang masa depan kami kerana aku tahu dia belum bersedia. Aku hanya minta dia bagi kepastian, aku atau perempuan itu.

Aku tahu apa yang aku buat ini salah, perempuan itu yang pertama. Aku yang datang dalam hubungan mereka. Tapi aku tidak sengaja. Aku tak tahu. Jika M kata dia pilih perempuan itu, aku akan undur diri.

Tapi kesedihan aku memuncak, M mengatakan dia berasa stress setiap kali isu ini dibangkitkan, dia tak nak membincangkan hal ini. M terus membiarkan mesejku tergantung malam itu.

Dia berdiam diri, tak membalas mesejku dan keesokkan harinya dia menegurku seperti tiada apa yang terjadi walhal aku seperti orang gila kesedihan malam itu. Orang yang kita sayang tidak akan membiarkan kita tidur dalam kesedihan.

Aku berdoa memohon petunjuk kepada Allah melalui istikarah, Ya Allah jika dia bukan yang terbaik untuk dunia dan akhiratku aku mohon kau tunjukkan lah jalan. Aku tahu jika aku pilih untuk stay aku akan terluka.

Begitu juga perempuan itu jika dia mengetahui tentang kewujudan aku. Jadi biar aku undur diri sekarang. Berilah aku kekuatan untuk keluar dari hubungan ini Ya Allah. Sekarang aku dalam fasa menarik diri daripada perhubungan ini.

M seperti dapat menghidu perubahan layanan aku kepadanya tapi semua sudah terlambat, aku sudah tawar hati. Mungkinkah ini jawapan istikarah yang Allah berikan.

Aku menulis confession ini hanya untuk meluahkah apa yang aku rasa. Aku mohon doa yang baik-baik daripada semua.

– Aisyah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *