Siapa je yang tak pernah bergaduh suami isteri. Aku tak terkecuali. Namun aku bernasib baik kerana suami jenis introvert dan penyantun berbeza dengan aku yang extrovert jenis alpha.
Kalau bergaduh tu tak pernah lagi suami guna bahasa kasar, boleh jangka, siapa yang akan minta maaf dahulu.
Berbeza dengan karakter aku kalau marah, hati dingin, tingkah laku memang ganas tapi tak abusive ye. Masih boleh kawal diri walaupun mahir ilmu mempertahankan diri.
Meskipun begitu, aku lemah dalam ilmu mengawal emosi.
Banyak situasi dalam alam rumahtangga yang menyebabkan aku rasa menyesal berkahwin. Kerana pada asalnya, aku tiada niat untuk mendirikan rumahtangga.
Namun disebabkan aku terlalu stress tinggal dengan keluarga yang banyak konflik, aku terima pinangan suami yang aku tak kenal langsung. Hanya orang tengah yang menyatukan kami.
Fikiran aku masa tu, nak cepat cepat keluar dari rumah yang macam neraka.
Disebabkan persekitaran dan didikan keluarga yang buruk, menjadikan aku seorang isteri yang sukar untuk taat pada suami.
Aku benci saat suami meminta aku buat sesuatu kerana aku rasakan seperti hamba suruhan, sedangkan bagi orang lain, berbakti pada pasangan itu adalah refleksi kebahagiaan dan tanda kasih.
Adakalanya aku selalu terfikir, mengapa aku begini, sukar untuk positif dan belajar menghormati dan menghargai perasaan suami. Kenapa aku dibesarkan dengan begitu banyak kenangan pahit sehingga aku terlalu paranoid dengan kasih sayang suami.
Yang pastinya aku tak nak tunjuk yang aku mula menyayangi suami, sebab aku tak nak jadi macam ibu aku yang terlalu sayangkan ayah aku sampai jadi terlalu bodoh walaupun ayah aku buat macam-macam, perlakukan ibu dan anak-anak macam hamba.
Terjebak dengan perzinaan sekali, sering memaki hamun isteri, abusive dengan anak-anak. Dan yang paling aku tak boleh maaf dan lupakan adalah ketika aku kecil, ibu sedang masak di dapur, aku secara tidak sengaja terlihat adik aku diperlakukan tidak senonoh oleh ayah di bilik tv.
Itu adalah hari dimana aku benci dari hati yang paling dalam pada ayah yang tak layak dihormati dan ibu bodoh yang hanya memaafkan dan melupakan.
Dendam dan kenangan-kenangan hitam yang lalu, sungguh sakit sekali untuk melupakan.
Meskipun kini ayah sudah bertaubat dan berubah. Sifat seorang ayah makin terserlah. Sangat jelas penyesalan ayah atas kelakuannya yang dahulu, lebih-lebih lagi pada adik yang tika itu masih kecil tidak faham apa2.
Kini, dialah anak yang paling dilayan seperti minyak yang penuh oleh ayah. Acap keluar masuk hospital, ayahlah yang bersungguh menjaganya. Meskipun yang lain cemburu kenapa ayah begitu manjakan adik.
Hanya aku yang tahu kenapa. Aku faham, itu adalah ekspresi penyesalan seorang ayah pada anak atas perbuatannya yang dulu.
Walaupun begitu, aku tetap membencinya dan juga ibu. Fikiran aku, kalau seorang isteri tak melampau-lampau sayangkan suami, mungkin peristiwa hitam tu tak sempat untuk berlaku.
Mungkin saja, kami boleh hidup bahagia tanpa ayah. Kalau saja ibu punya keberanian buat dirinya dan anak-anak, aku tak perlu menyaksikan peristiwa-peristiwa pahit dalam hidup sehingga membentuk perwatakan aku yang sekarang ni.
Seorang yang paranoid dengan kasih sayang, prejudis, terlalu defensive, ego, keras, hati dingin, pendendam dan sukar memaafkan kesalahan orang lain.
Berkali-kali suami menangis atas sikapku dan layananku padanya. Aku sendiri buntu dan kesal dengan diri sendiri.
Kenapa aku begini? Kenapa aku dibesarkan dalam keluarga ni? Kenapa aku bersetuju untuk nikah?
Kalau aku tak setuju untuk berkahwin dulu, mungkin suami dah dijodohkan dengan wanita yang lebih baik dan mampu berbakti selayaknya seorang isteri. Sudah acap kali, aku minta dilepaskan tapi suami tidak mahu.
Apa yang perlu aku lakukan?
Pernah juga terfikir untuk rujuk doktor psychiatry, tapi aku masih waras, tidak depression mahupun mengalami sakit mental.
Doakan moga aku diberi kekuatan untuk melawan konflik dalam diri aku sendiri.
– Izah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit