Suami Tak Bagi Balik Rumah

Assalamualaikum wbt. & salam sejahtera buat admin dan pembaca semua. Ya, suami saya tak bagi balik rumah…

Saya Sya, berusia hujung 40an dan alhamdulillah telah bersuami tanpa punya zuriat dengan usia pernikahan kami memasuki tahun ke 18. Tapi hari ini tiba- tiba rasa sedih sangat berkunjung tiba. Ahad lepas saya telah pulang ke kampung saya di tanah selatan selama seminggu.

Pulang melawat emak yang sudah tua sebagai rutin anak yang tinggal jauh, setiap bulan atau dua bulan sekali, insyaAllah saya seboleh mungkin akan pulang sekejap.

Suami saya alhamdulillah sangat memahami dan memberi izin untuk saya pulang bila-bila masa perlu. Sama ada bersama dia atau biasanya saya sendirian.

Pada Sabtu lepas, semasa saya di kampung lagi suami ada memaklumkan supaya saya sambung cuti di kampung dan jangan balik ke rumah kami kerana dia demam. Tapi saya katakan saya bimbang pasal dia demam sendirian di rumah, biarlah saya balik saja.

Dia berkeras tak bagi balik rumah kami dan suruh saya duduk di rumah mertua saya di Cheras saja untuk beberapa hari.

Dalam hati saya tak bersetuju pun, maka saya teruskan nak balik hari esoknya iaitu Ahad yakni semalam. Saya terus beli tiket bas ekspres dalam talian. Maka baliklah saya semula ke KL semalam dan tiba di TBS waktu tengahari selepas 4.5 jam perjalanan.

Dari dalam bas lagi suami whatsapp dan telefon bertanyakan sampai mana dan sebagainya. Bila saya ajukan untuk terus balik ke rumah kami, dia masih membantah dan mengarahkan saya terus balik ke rumah Cheras saja.

Dia masih lagi demam, batuk, selsema dan sakit2 badan katanya. Dia bertegas mengatakan yang dia sedang kuarantin kendiri dan tak nak saya berjangkit nanti. Saya faham dan saya tahu kenapa suami sangat berkeras tidak membenarkan saya bertemunya.

Dia sangat sensitif dalam isu sebegini ada sebab. Ya saya tau dan saya faham. Tapi saya tetap risaukan keadaan suami.

Risau makan pakainya. Dan saya berasa sangat2 sedih kali ini. Bimbang sangat pasal kondisi dan situasi dia di sana.

Mungkin sebab faktor usia yang semakin meningkat serta pakej penyakit2 yang dialami suami membuatkan saya terlebih bimbang.

Jika dahulu untuk meninggalkan dia seorang diri di rumah ketika saya tinggal lebih lama di kampung atau bercuti ke mana2, tidak begitu merisaukan saya. Seawal perkahwinan kami sudah PJJ kerana bekerja jauh.

Jadi kami lebih kepada quality time couple. Kami banyak habiskan masa bersama dengan bercuti kemana saja tempat yang kami ingin pergi. Dalam atau luar negara.

Kami memang seronok berbulan madu sepanjang usia pernikahan kami, alhamdulillah. Tapi semua berubah bila badai cov19 melanda dunia.  Suami saya seorang paramedik KKM dan merupakan pejuang barisan hadapan sepanjang wabak melanda.

Semasa awal Cov19 mula bertebaran, kami sedang dalam percutian bulan madu yang entah kali ke berapa kami di Pulau Belitong Indonesia.

Sedang seronok bercuti suami mula menerima memo2 dan maklumat berkaitan dari KKM. Kami juga menonton berita berkenaan situasi awal di China waktu itu serta beberapa prosedur lapangan terbang bakal diperketatkan.

Kami yang bakal terbang pulang pun cuak dan bimbang juga jika ada apa2 peraturan baru di KLIA nanti. Waktu itu awal 2019 dan sekitar tempoh cuti umum Tahun Baru Cina. Sampai saja di airport keadaan dan prosedur masih sama.

Cuma mula nampak tanda paparan tentang Cov19. Alhamdulillah sepanjang 2019 sehingga 2020 kami berjaya harungi bersama meski adakalanya kami terpisah jarak lokasi. Hari Raya 2020 kami sambut berasingan dari kejauhan.

Bila diperketatkan PKP, maka adakalanya saya tersangkut di kampung atau bersama suami di KL. Maka itulah raya asing2 kami buat kali pertama. Dia di KL saya di Johor.

Raya PKP. Dalam pada sibuk PKP tu, alhamdulillah kami sempat bercuti bersama ke KK Sabah pada hari Malaysia yang kebetulan berlangsungnya PRN Sabah tika itu. Macam saya nyatakan awal tadi bahawa bercuti adalah rutin tahunan kami.

Cuti seminggu setiap kali percutian adalah kebiasaan kami. Itu untuk percutian jauh atau lama. Tidak termasuk cuti singkat atau sekadar jalan2 cari makan yang hujung minggu atau cuti umum bila2 masa.

Ye lah, kami berdua saja, teragak nak pergi je boleh ON terus sebab tak ada isu anak sekolah bagai kan. Naik motor, naik bas, ETS, keretapi, kapal terbang, Grab atau apa saja semua jadi. InsyaAllah jika ada rezeki duit dan masa memang kami gunakan sepenuhnya.

Namun siapa sangka sekembalinya kami dari KK tahun itu, situasi Cov19 seluruh dunia termasuk dalam negara semakin teruk. Masuk tahun 2021 awal tahun, setiap kali PKP saya memang bersama suami di KL. Ramadhan dan Syawal kami sambut bersama di KL rumah sendiri.

Nak balik rumah mertua pun lain daerah maka suami saja yang boleh balik sebab dia ada pas kerja yang boleh akses 1 wilayah.

Rutin harian saya sebagai isteri ‘front liner’ waktu itu, memang sentiasa pastikan siapkan pakaian dan tuala suami di kerusi kerana dia akan terus masuk dan mandi setiap kali balik kerja. Siap mandi dia akan lap dan sanitize semua tempat yang dia pegang dan pijak sampai ke bilik air.

Makanan dan air minum dia memang saya siapkan dan terhidang di meja makan. Manakala saya akan duduk diam dalam bilik tidur, hingga suami selesai buat semua sanitization tu barulah dia panggil saya keluar. Kami betul2 menjaga sepenuhnya untuk tidak dijangkiti virus seboleh mungkin.

Sejak mulanya Cov19 saya langsung tidak pernah jejak kaki ke pasar basah, pasar raya atau kedai runcit untuk beli barang2. Semuanya saya beli atas talian. Ikan segar dari jeti dan murah lagi berbaloi. Hahahaa

Ikan, ayam, daging sayur semua hantar sampai depan pintu. Barang runcit pun sama.

Letak saja kotak atau besen depan pintu, mereka sampai nanti penuhlah diisi. Langsung tiada transaksi fizikal ya. Cakap letak situ dan terima kasih pun dari dalam rumah sebalik pintu tau.

Lepas setengah jam ke 15 minit baru bawa barang2 masuk dan kemaskan. Selama 6 bulan tahun 2021 itu saya langsung tak keluar rumah ke mana2. Paling jauh hanya kaki lima beranda sebab menyapu 2 hari sekali dan jemur kain jika ada.

Turun tangga jejak tanah pun tidak. Cuma hanya sekali saja iaitu ketika saya menerima suntikan vaksin cov19 dos pertama pada bulan Mac jika tak silap. Namun kehendak Allah, ujian juga buat kami, serapi dan sebaik mungkin kami berjaga2 untuk mengelakkan jangkitan, jika terjadi tetaplah jadi.

Pertengahan Jun, suami demam tapi tak teruk. Dia masih terus bekerja. Waktu itu dia banyak kerja di lapangan kerana terlibat dengan program vaksin cov19.

Dia banyak pergi ke tempat2 gelandangan sekitar wilayah persekutuan ini. Memang risiko terdedah sangat besar lah, namun suami sudah dapat vaksin penuh, dos 1 dan 2 ketika itu. Atas faktor itu mungkin dia tak demam teruk tapi dia hilang deria bau.

Dia jadi yakin dijangkiti bila 1 pagi bila dia sembur minyak wangi tapi dia tidak bau apa2. Berkali kali tanya saya ada bau tak bila dia sembur. Saya katalah ada, kuat sangat dah baunya sebab dia sembur banyak kali dah kan.

Suami bergegas pergi ke klinik dan buat pemeriksaan darah. Sah dia positif. Dan pada waktu itu saya sudah mula demam dan batuk.

Kami tak fikir pun pasal covid. Sebab suami dah vaksin penuh dan saya pula akan dapat vaksin ke 2 selang 3 hari lagi. Namun apabila suami pulang dengan muka muram dengan berat hati dia maklumkan dia positif.

Dia minta saya check juga. Esok pagi tu kami ke klinik buat ujian dan upetangnya dapat keputusan positif. Tika itu saya rasa dunia saya gelap.

Sebab saya sebenarnya dan 3 hari tak boleh tidur. Demam tak teruk, batuk pun tak teruk tapi saya khayal @ high gitu. Suami bergegas ambil tong oksigen petang tu bila dia kata oksigen saya jatuh.

Sampai sekarang saya tidak ingat sepenuhnya apa yang terjadi selama beberapa hari itu. Kesan kurang oksigen itu yang buatkan saya khayal dan bagai hidup diawangan. Meski dah menggunakan bantuan tong oksigen pun saya masih lagi sukar nak bernafas dan kandungan oksigen tetap rendah.

Suami buat keputusan menelefon ambulan. Tepat jam 1 pagi jika tak silap, ambulan sampai dan nurse memeriksa keadaan saya yang separa sedar itu.

Saya dibawa ke hospital dengan tong oksigen baru yang dibawa oleh petugas dan yang saya ingat suara petugas ambulan kata keadaan saya teruk dan perlu ke hospital segera.

Sampai HKL saya disahkan Cov19 tahap 4 dan bermulalah kisah hidup saya di sana. Tiap kali saya menulis dan bercakap tentang ini mesti airmata menitis dan sebak. Saya antara cov19 survivor yang ditidurkan pada tahap 5 selepas 3 hari di wad covid.

Tidak sedar selama 10 hari dan terlantar di katil hospital selama sebulan. Mengalami luka @ bed sore yang agak teruk di punggung dan betis kanan. Menjalani dialisis sebanyak 3 kali semasa tidak sedar.

Rehab selama 6 bulan untuk boleh berjalan normal dan melakukan aktiviti harian. Follow up selama setahun di hospital kerana bahagian bawah paru2 rosak dan berfungsi sekitar 75 – 80% saja kini. Keadaan buah pinggang yang perlu diperiksa berkala.

PTSD semua ada. Emosi kurang stabil. Mudah penat.

Banyak sangat nak cerita. Tapi nanti lah episod lain. Masalahnya ialah rentetan peristiwa itu, suami sering menyalahkan diri kerana dia berasa saya dijangkiti sebab dia.

Suami menjadi seolah trauma jika dia demam saja dia mesti taknak saya ada sama dengan dia. Dia benar2 rasa bersalah yang teruk masa saya sakit dulu. Kakak saya ada cerita yang suami telefon dia sambil menangis menyalahkan diri dia punca saya kena cov19.

Sudah hampir 3 tahun saya kena hadap masalah sebegini. Bahkan kami juga pernah dijangkiti cov19 kali kedua juga bersama sama kena. Pada pilihanraya 2023 jika tak silap, berjangkit daripada ayah mertua yang dapat dari adik ipar. Hahahaa…

Kami kuarantin kendiri dan makan vitamin saja di rumah pantau sendiri sebab tak serius.

Itupun dia dah risau sangat keadaan saya. Selang 2 hari buat covid test nak tengok masih ada ke tak. Suami saya sangat berhati2 selepas covid pertama kami.

Dia taknak lagi bercuti ke mana2 apatah lagi keluar negara. Berjalan dekat2 pun dia taknak. Prinsip dia selagi masih ada virus covid ni memang dia tak yakin kata dia.

Selepas dua tahun baru dia nak dan benarkan saya naik pengangkutan awam. Izinkan saya naik bas ekspres atau Grab untuk ke mana2. Ya, saya dapat rasakan yang suami alami PTSD yang lebih teruk dari saya.

Dia selalu cakap pada saya yang dia sebolehnya taknak lalui dan alami fasa yang sama pada waktu saya sakit tu. Dia kata dia tak ingat apa2 lagi lepas doktor maklumkan padanya bahawa keadaan saya kritikal dan berdoalah jika ada miracle untuk saya. Kerana waktu itu tiada 1 pun ventilator untuk saya.

Nyawa hanya 50-50 untuk saya terus bertahan. Ya, kejaiban itu berlaku. 1 ventilator yang datang secara tiba2 dan hanya 1 sahaja, itulah rezeki saya untuk sambung nyawa.

Mengenangkan itu, saya tahu dan boleh bayangkan apa perasaan suami. Tapi sampai hari ini jika saya ajak bercuti ke mana2 ada saja alasan untuk dia menolak. Sedangkan saya sudah tahap rindu giler nak bercuti sama berjalan berdua macam dulu.

Pada awal lepas keluar wad, suami larang sepenuhnya untuk saya membeli barang atau makanan atas talian. Sedangkan hidup saya sebelum itu memang sebati dengan Grab dan FPanda hahaaa. Selalu kena marah sampai jadi gaduh lah kalau dia tau saya beli online.

Punya dia takut saya dapat jangkitan dengan cara itu. Pada awalnya saya okay saja, faham dan boleh tolerate dengan semua sikap2 suami itu. Tapi bila semalam dia benar berkeras tak bagi saya balik rumah kami, saya jadi sedih sangat.

Suami sakit tapi saya tak boleh jaga. Sedihlah. Tapi saya lega sikit sebab adik suami duduk berdekatan rumah.

Adalah orang terdekat yang boleh jenguk dan memastikan apa2 jika perlu. Saya juga dah beli tiket untuk ke Sabah seminggu Julai nanti. Sebelum beli memang dah bincang dan dia okay saja.

Bila saya maklumkan pada suami fasal ni, tiada reaksi gembira macam biasa sebelum2 ni. Saya nekad saja sebab memang dah teringin sangat nak bercuti sama. Bila saya slowtalk dengan dia, suami ok saja.

Tapi saya tak tau apa dalam hati dia sebenarnya. Mungkin dia nak jaga hati saya saja. Atau nak gembirakan saya.

Saya berharap suami dapat faham perasaan yang saya juga risaukan dia. Sekuman pun saya tidak pernah salahkan suami punca saya dijangkiti covid. Saya redha dan terima ujian ini.

Seringkali saya maklumkan padanya. Alhamdulillah. Lega sikit dada yang sebak ni lepas meluah rasa.

Maafkan saya jika luahan ini membazir masa kalian. Hargailah dan jaga pasangan kalian. Setiap rumahtangga ada kisah indah, sedih, ngeri, seram dan macam2 lagi.

Dugaan setiap insan tidak sama. Kita cipta bahagia kita sendiri. 

Terima kasih tak terhingga.

– Sya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. bila baca cerita mcm ni…percaya covid tu wujud…tp bila baca orang tak percaya covid tu…yela..tak kena pada dia orang kan…dengna vaksin tipu lagi…moga kita semua di permudahkan urusan oleh Allah..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *