Sungguh Aku Rindu

Sungguh Aku Rindu

Assalamualaikum semua. Ribuan terima kasih aku ucapkan kepada admin sekiranya sudi menyiarkan luahan hati aku ini. Sedikit pengenalan, nama aku Cahaya, berumur awal 20 an. Tahun 2019 merupakan tahun keempat aku berjihad menuntut ilmu di negara Uncle Sam, dimana aku adalah satu-satunya pelajar perempuan Malaysia di Universiti ini. Sungguh, menuntut ilmu tidak kira dimana-mana, akan ada kelebihan dan kekurangannya.

Aku sebenarnya sangat rindu untuk meluangkan masa bersama-sama keluargaku, lebih-lebih lagi ketika menyambut ramadhan dan hari raya. Sudah dua tahun aku tidak dapat merasakan air tangan ibuku ketika berbuka puasa dan merasai indahnya saat menunaikan terawikh bersama-sama. Suasana di sini sangatlah berbeza kerana muslim bilangannya sangat sedikit. Sudah dua tahun juga aku beraya ketika dalam minggu final dan hanya sempat bervideo call dengan keluarga di pagi raya.

Aku cemburu melihat adik beradik dan rakan-rakanku di Malaysia bergambar dan menjamu selera dipagi raya sedangkan aku disini hanya mampu bergambar dengan nota-nota peperiksaan. Tahun ini, walaupun peperiksaan akhir semester aku akan berakhir awal ramadhan dan aku sudah cukup wang untuk membeli tiket, aku masih tidak dapat pulang kerana masalah baru yang timbul memaksa aku untuk menggunakan wang simpanan tersebut. Tidak mengapalah, mungkin rezeki untuk menyambut ramadahan bersama keluarga tidak menyebelahiku pada tahun ini. Aku redha.

Sudah lama sebenarnya aku belajar jauh dari keluarga. Aku menyambung pelajaran ke MRSM jauh dari rumah sejak dari tingkatan satu lagi. Sebulan selepas SPM, aku ditawarkan masuk ke program persediaaan ke luar negara. Jika aku imbas kembali, aku tidak pernah meluangkan masa yang lama bersama keluarga dan jarang sekali pergi bercuti bersama-sama. Tetapi aku bersyukur dangan rezeki yang Allah kurniakan kepadaku kerana itu aku cuba memandangnya dari sudut positif.

Mungkin ramai yang tidak tahu, tapi pelajar-pelajar di luar negara ramai yang mengalami depresi. Kami tiada ibu bapa atau ahli keluarga yang berada dekat untuk meluahkan masaalah. Bagi aku, aku lebih sanggup berahsia daripada membuatkan ibu bapaku yang jauh beribu batu risau dengan keadaanku. Hanya Allah tempat aku meluah rasa dan berdoa. Alhamdullillah aku tidak pernah mengalami kemurungan yang melampau. Cuma aku sentiasa berdoa agar Allah menjaga keluargaku dari segala mara bahaya sepanjang aku berada disini.

Buat adik-adik di luar sana, luangkanlah masa remaja kamu bersama keluarga secukupnya. Tataplah mata ibu bapamu sepuas hati kerana nescaya, itu yang akan kamu rindukan nanti. Aku tahu, makin kamu dewasa, makin kurang masa untuk bersama keluarga.

Akhir sekali, sekiranya ada sesiapa yang ingin memberikan aku nasihat atau tips untuk survive jauh dari keluarga, aku sangat hargai. Coretan pendek aku ini hanyalah untuk meringankan beban di hati, bukannya untuk meminta simpati. Maaf sekiranya luahan aku ini membuang masa berharga kalian. Aku pinta doa dari kalian agar Allah permudahkan pembelajaran aku yang berbaki 2 tahun lagi dan aku juga berdoa agar urusan kalian dipermudahkan.

– Cahaya

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit