Surat ini ditujukan khas buat ibu ayahku. Ampun maaf zahir batin, dunia akhirat andai aku melukai hati kalian selama hidupku. Untuk berdepan dengan kalian, aku tidak punya kekuatan.
Ibu, ayah,
Pertama-tamanya, aku seringkali mempersoalkan kewujudanku di dunia ini dan dalam hidup kalian.
Aku tahu aku bukan kelahiran yang pertama, kedua, atau ketiga, mahupun keempat, bukan yang kelima, keenam, bukan juga yang ketujuh apalagi yang terakhir buat kalian.
Tidak dinafikan, aku berasa cemburu dengan Along dan Usu kerana mereka punya tempat yang istimewa di hati kalian. Tapi tidak aku dan yang lainnya.
Justeru, apa saja yang aku lakukan, semuanya serba tidak kena.
Buat, salah. Tidak berbuat, lagilah salah. Apa yang sebenarnya harus aku lakukan?
Aku buntu dan keliru.
Jika aku bertanya, jerkahan menjadi jawapan.
Jika aku mencari penyelesaian sendiri, aku dikatakan bodoh sombong.
Lalu aku memutuskan untuk berdiam dan hanya menunggu arahan.
Namun, itu juga mengundang kemarahan.
Aku pening!
Ibu, ayah,
Andai ada salah silapku, berterus-teranglah kepadaku.
Aku tidak punya superpower untuk membaca fikiran dan hati kalian.
Namun aku sepertinya mewarisi perangai tersebut.
Jujurnya, aku malu bila kalian menceritakan perangai burukku kepada orang.
Adapun mak cik atau pak cik yang memujiku, kalian menidakkan segalanya. Menurut kalian, aku hanyalah berlakon.
Tahukah kalian, sehingga kini aku sering berasa tidak yakin dengan diriku sendiri?
Kerana aku tahu, orang lain sentiasa lebih bagus berbanding diriku.
Dan itulah yang sering kalian katakan padaku.
Aku percaya semua itu.
Ibu, ayah,
Tidak kupinta akan kehidupan di dunia ini. Ibu pernah mengugutku sekiranya aku nakal dan tidak mendengar kata, ibu akan cincang diriku dan dijadikan makanan anjing.
Kata ibu lagi, aku tidak guna diberikan hidup. Benarkah begitu?
Benarkah, ibu?
Benarkah, ayah?
Ibu, ayah,
Ada masanya aku jatuh sakit kerana aku juga manusia biasa.
Tapi tidak menurut kalian. Aku hanyalah melayan perasaan malas. Lantas menjadikan sakit sebagai alasan.
Untuk pengetahuan kalian, aku punya pepatah sendiri yang aku pegang jika aku sakit.
“Selagi belum terbaring kaku jadi mayat,
Selagi itu aku sihat wal afiat.”
Meski aku pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya, seteruk mana pun lukaku, aku paksa diriku untuk tidak berehat.
Kata ayah, dunia ini bukan tempat berehat.
Ibu, ayah,
Di setiap doaku, aku meminta agar Tuhan mengambilku. Agar kalian tidak lagi terbeban dengan diriku. Agar kalian boleh menarik nafas lega tanpaku.
Aku tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan di dunia ini. Cita-citaku hanyalah mati dan berhenti menjadi beban dalam hidup kalian.
Namun, saban hari doaku bagai tergantung di langit.
Mungkin jika ibu dan ayah turut bersama mengaminkan doaku, barulah Tuhan makbulkan. Bukankah doa ibu dan ayah tiada hijab?
Ibu, ayah,
Aku tidak kisah jika dirotan, disepak terajang, dikurung dalam kegelapan malam, apa saja aku sanggup. Asalkan kalian tidak bermasam muka denganku.
Serasa bagai runtuh langit menghempap diriku kerana membuatkan kalian berkecil hati denganku.
Panggillah aku anak yang bodoh, tolol, makilah sesuka hati kalian, aku terima.
Andai itu dapat menggembirakan hati kalian, aku rela.
Kata ayah, sehari di akhirat itu bersamaan dengan seribu tahun di dunia.
Demi syurga yang terletak pada redha ibu dan ayah, aku sanggup hidup begini.
Ibu, ayah,
Aku tidak malu menjadi pengemis kasih kalian.
Kerana selamanya aku terhutang budi pada kalian untuk segalanya.
Kalian sering berkata, “what goes around comes around” dan aku jadi takut untuk punya keluarga sendiri.
Aku tidak mahu dilayan seperti sampah oleh anak sendiri. Namun aku juga ingin menyayangi dan disayangi.
Tapi kalian hanya membenarkan aku berkawan dengan sesama jenis.
Lalu pintu hatiku ini aku tutup. Tiada istilah sayang mahupun cinta untuk orang yang cuba mendekati. Semua aku halau sejauh mungkin.
Kata ayah, kalau ayah dapat tahu aku punya kekasih hati, ayah akan membuangku.
Aku tidak mahu!
Ibu, ayah,
Kini aku sudah dewasa. Terima kasih untuk semuanya.
Namun aku masih belum direzekikan pekerjaan yang dapat membayar setiap sen wang yang kalian belanjakan selama membesarkan aku.
Maafkan aku kerana masih tidak mampu memberi kesenangan apalagi kemewahan yang kalian ingini.
Maafkan aku kerana tidak mampu membanggakan kalian di mata dunia.
Maafkan aku jika tidak punya apa-apa untuk dibandingkan dengan sepupuku yang lain.
Maafkan aku kerana masih terkial-kial mencari arah tuju dalam hidup.
Maafkan aku kerana kalian masih terpaksa menangung biawak hidup sepertiku.
Andai bunuh diri itu tidak berdosa, sudah lama aku tiada di dunia.
Sebagai anak, aku tidak mahu dibayangi rasa berdosa kerana tidak mampu menjadi anak yang terbaik buat kalian.
Ampunkan salah silapku andai sepanjang hidupku, aku hanya membebani kalian.
Doaku biarlah aku mati dalam kemalangan tragik yang tidak perlu untuk kalian bersusah payah menyediakan tanah kubur buatku.
Kerana aku tidak mahu kematianku menambahkan lagi kesusahan kalian.
Cukuplah hidupku ini sudah banyak membebankan kalian.
Ayah, halalkan makan minumku, pakaianku, pelajaranku dan segalanya yang menggunkan kudratmu, wang ringgitmu, dan segala jasamu menjaga diriku.
Ibu, halalkan susumu selama aku masih menyusuimu, air matamu, keringatmu, darahmu dan segalanya demi melahirkanku, membesarkanku, menjagaku, mendidikku hingga aku dewasa.
Hanya Tuhan saja yang mampu membalas segala jasa kalian terhadapku. Moga Tuhan kurniakan syurga yang tertinggi buat kalian.
Aamiin ya Rabbal Alamin.
– Beban (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit