Syurga Bukan Percuma

Assalamualaikum. Aku berusia awal 40an. Aku telah bercerai sejak 5 tahun yang lalu dan mempunyai sepasang anak yang aku jaga.

Apa yang aku ingin ceritakan bukanlah tentang penceraian aku tapi lebih kepada diri aku sendiri. Aku sedikit trigger membaca post Facebook seseorang berkenaan kanak-kanak mangsa ped0phile.

Ini kisah aku. Mudah mudahan menjadi ped0man buat yang sama situasi seperti aku dan yang lain-lainnya. Aku minta maaf terlebih dahulu sebab kisah aku ini panjang.

Aku berasal dari keluarga bercerai. Mak dan abah berpisah masa aku 7 tahun. Abah menghilangkan diri bersama keluarga baru dan mak akulah yang membesarkan aku 5 beradik dengan susah payah. Abah langsung tidak pedulikan kami apatah lagi nak beri nafkah.

Mak aku buat bermacam-macam jenis kerja dari tukang cuci hinggalah menjadi orang gaji. Mak aku kurang berpendidikan dan sepanjang berkahwin beliau surirumah.

Bila abah tiba-tiba menghilang, mak terpaksa keluar bekerja demi menyara kami adjk beradik yang lahir rapat-rapat dan masih bersekolah.

Kami lebih kepada hidup sendiri sebab mak seawal subuh sudah naik bas ke tempat kerja dan akan pulang malam. Makan apa adanya, urus diri sesama sendiri. Kami hanya belajar agama di sekolah pagi saja dan memang kami semua tidak pandai Al-Quran.

Mak aku sejak abah tinggalkan kami, beliau jadi semakin abusive. Akulah punching bag mak.

Dipukul sehingga berdarah dan berjahit, di maki hamun sundal, jalang, betina sial, pemalas semua sudah lali di pendengaran aku walaupun ketika itu aku masih sekolah rendah. Aku dan adik di bawah akulah sering jadi mangsa mak.

Berbalik cerita pasal ped0filia, aku menjadi mangsa pertama kali masa berumur 7 tahun oleh pakcik sepupu aku sendiri. Dia datang ke rumah masa mak aku kerja. Yang ada masa itu aku adik beradik dan arwah nenek yang uzur. Masa itu aku tidak tahu ‘benda’ itu salah.

Aku dapat jangkitan di bahagian sulit dan aku ingat masa itu mak bawa aku mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Aku masih ingat dengan jelas baju apa aku pakai ketika itu dan klinik mana aku dirawat. Doktor beritahu mak keadaan aku, masa balik mak ada tanya siapa yang buat dan aku sebut nama si polan.

Kemudian mak pesan jangan beritahu sesiapa dan mak belanja aku air Fanta hijau dalam plastik ikat tepi. Aku menurut saja. Aku cuma budak yang tidak faham kekejaman dunia.

Sejak itu bila si polan itu datang, aku akan menyorok bawah katil milik arwah nenek aku. Aku akan tunggu sampai dia balik baru aku keluar.

Dia akan gunakan alasan nak bawa aku ke kedailah, nak bagi gula-gula lah. Aku tetap tidak mahu keluar. Mak aku?

Mak tidak ambil apa-apa tindakan pada si polan dan masa itu abah pun sudah jarang balik rumah. Aku tidak pasti kenapa mak aku buat macam itu. Sampai saat ini aku tidak pernah bertanya pada mak soal itu.

Kejadian semacam itu tidak berhenti setakat itu saja, aku turut dic4bul dan diperkosa beberapa kali lagi oleh 2 lagi orang lain.

Sampai umur aku 11 tahun, aku sudah tahu dan faham perkara itu salah maka aku beranikan diri beritahu mak. Tapi alangkah sedihnya hati aku sebab mak kata aku mereka-reka cerita.

Mak kata mustahil saudara mara mak nak buat macam itu. Sejak itu aku nekad, aku takkan bercerita lagi pada mak. Aku sudah tidak percaya sesiapa lagi. Tambahan masa itu mak masih kerap membelasah aku bila aku tidak menurut kata mak untuk buat kerja-kerja rumah.

Kejadian c4bul dan r0g0l masih berlaku sampai aku masuk sekolah menengah. Aku hampir putus asa kerana jika mak tidak percayakan aku, siapalah yang akan percayakan aku?

Aku menjadi malu nak ceritakan pada sesiapa kerana aku rasa diri aku kotor dan jijik. Mujurlah si polan si polan tu berhenti bila aku sudah boleh melawan.

Masuk usia remaja aku jadi sangat sangat _rebellious_ pada mak. Aku sangat panas baran. Mak sudah tidak lagi memukul aku. Kalau mak marah aku akan lawan cakap mak. (Astagfirullah al azim jahilnya aku waktu tu).

Bila aku marah dengan mak atau adik beradik aku, aku akan keluar dari rumah berjalan kaki untuk ke pantai tak kisahlah jam berapa pun.

Lepas aku lega, aku balik rumah. Alhamdulillah aku tidaklah terjebak ke kancah gejala sosial atau berkawan dengan budak budak nakal. Aku perahsia dan tidak ada ramai kawan.

Aku bersyukur aku dikurniakan akal yang bijak dan cemerlang dalam pelajaran walaupun hidup serba kekurangan dan sangat dhaif.

Kami selalu kelaparan, rumah tiada bekalan elektrik hatta tandas sempurna pun tiada. Kami hanya memakai baju-baju terpakai pemberian orang tapi aku tetap bersyukur.

Cuma aku sentiasa mempunyai amarah dalam diri, selalu melawan cakap mak dan personaliti aku menjadi kasar. Kelembutan aku hilang. Di sekolah aku menjadi pendiam, aku tidak banyak bercakap dan aku kerap memerhati.

Pun begitu, keputusan peperiksaan aku tidak pernah mengecewakan kerana pada fikiran aku ketika itu, hanya pelajaranlah harapan dan kekuatan aku untuk meneruskan hidup yang terasa kotor dan hina.

Aku terus cemerlang untuk tahun-tahun tahun berikutnya, aku berjaya menamatkan pengajian di universiti, aku berjaya menjawat pelbagai jawatan di firma multinasional dan kemudian jawatan selesa di sektor kerajaan.

Namun takdir kembali menguji aku. Kekuatan dan kebahagiaan aku tidak lama sehingga aku berkahwin. Di sinilah segalanya bermula.

Selepas berkahwin aku akui aku menjadi lemah dan tunduk pada suami kerana ketika itu, aku rasa Allah telah angkat martabat aku yang kotor ini menjadi isteri seseorang.

Maka aku harus berkorban. Aku belajar jadi penyabar, perlahan-lahan tiada lagi panas baran dalam diriku. Walaupun aku jahil, aku masih mahu merasa syurga kononnya. Begitu jahilnya pemikiran aku ketika itu.

Aku disuruh berhenti kerja dan menjadi surirumah sebaik sahaja bernikah walaupun komitmen kewangan ketika itu agak tinggi. Aku yang taat membuta tuli menurut segala kehendak suamiku. Suami aku seorang yang agak abusive physically dan mentally.

Dia tahu kisah-kisah aku dan dia gunakan untuk menentang aku bila kami bertengkar atau ada perselisihan faham. Segala pengorbanan aku sia-sia, bukan setakat dipukul meski waktu sarat hamil,aku turut dihina bila bertengkar malah dicurangi berulangkali.

Setelah beberapa tahun berkahwin dan mempunyai anak-anak, tekanan demi tekanan yang hebat menyebabkan aku disahkan menghidap beberapa jenis penyakit mental.

Aku disahkan mempunyai PTSD iaitu post traumatic stress disorder akibat trauma masa lalu didera secara mental, fizikal dan s3ksual.

Aku juga didiagnos mempunyai kepelbagain personaliti (DID) , general anxiety disorder (GAD) dan major depression(MDD). Rupa-rupanya penyakit-penyakit ini sudah lama ada pada aku cuma ia meletus bila aku masuk 30an.

Setelah sedekad berkahwin, akhirnya aku membulatkan tekad untuk failkan penceraian. Aku bercerai secara baik dengan bekas suami.

Aku katakan padanya, aku tidak mampu membahagiakan dia dan aku tidak boleh terus kehilangan diri aku sendiri. Aku tidak sempurna sebagai isteri, aku penuh caca marba.

Aku ketika itu jatuh terduduk, segala yang aku bina ranap sepanjang perkahwinan aku. Namun sedikit pun aku tidak menyesal bercerai. Aku tidak tunjukkan lemahnya aku. Pada aku, Allah telah izinkan aku menjadi ibu. Nikmat terbesar aku.

Aku sangat sayangkan anak-anak aku, tidak pernah aku lakukan apa mak aku lakukan pada aku dulu kepada anak anak aku.

Malah aku dan anak-anak macam kawan baik. Aku pastikan anak-anak aku boleh bercerita semua pada aku. Kami sangat rapat. Demi itu aku sanggup berkorban apa saja demi anak-anakku.

Tentang mak, aku sudah lama berbaik dengan mak. Sejak zaman aku di universiti lagi. Seorang ibu tiada dosa pada anaknya. Malah sekarang aku sangat-sangat rapat dengan mak. Apa yang mak mahukan, aku cuba tunaikan.

Aku kini sudah tidak lagi menyalahkan mak, mak jadi macam itu sebab penderitaan yang dia alami. Mak seorang diri menghadapi segala kesulitan hidup. Mak tiada sesiapa untuk meluahkan kesedihan. Mak tiada sesiapa dapat memahami dirinya ketika itu.

Mak anak tunggal arwah nenek. Tak ada adik beradik. Miskin, tak berpendidikan, kurang didikan agama dan sentiasa berhadapan hinaan orang kampung. Di caci dihina sebab menjadi janda miskin. Mak tertekan.

Aku faham..andai tubuh kecilku mampu melegakan amarah mak pada takdir, aku terima itu sebagai ujian yang Allah beri padaku. Aku tidak berdendam sekelumit pun pada mak dan abah. Demi Allah, aku telah lama redha.

Allah telah beri aku bermacam-macam bakat dan kelebihan yang lain walaupun dugaan pahit aku bermula sejak kecil.

Kini, aku bangkit sekali lagi pasca penceraian aku. Aku masih berusaha mencari kesembuhan diri, menguatkan mental dan emosi aku. Aku sudah boleh tegak berdiri. Demi anak anakku, aku tidak boleh tewas dengan permainan takdir ini.

Aku berjaya mengukir nama dalam kerjaya baru dan Allah permudahkan urusan pekerjaanku. Ada masa, aku akan ‘sakit’ tapi tidaklah begitu teruk seperti saat aku masih berkahwin.

Jikalau kalian tertanya-tanya, tidakkah aku pernah marah dengan takdir? Ya aku pernah.

Aku pernah hampir putus asa, aku pernah melakukan cubaan bunuh diri semasa remaja dan ditahan di wad hospital. Aku masih berhadapan breakdown berulang kali, aku akan mengasingkan diri ( self isolation) apabila aku mula rasa kurang ‘sihat’.

Malah ketika aku baru baru bercerai aku sukarela mendapatkan rawatan psikiatri bila aku rasa aku perlukan pertolongan orang yang tepat.

Ketika aku ‘lost’, aku akan bercerita pada Allah. Aku akan menangis semahu-mahunya.

Kalau aku uzur dan tidak boleh solat, bila aku stress aku akan ke pantai, menangis dalam kereta. Tidak aku pedulikan siapa yang melihat asalkan bukan anak anak aku. Aku tidak mahu anak- anak nampak aku sedih. Aku manusia biasa. Aku pun ada titik lemah.

Oh ya, aku belajar solat dan mengaji sendiri sejak aku sekolah menengah selepas kes aku hampir bunuh diri tu. Aku beli buku solat dan mengaji pula semasa aku sudah berkahwin. Ada kenalan hadiahkan Al-Quran yang ada pen beraudio tu sempena pernikahan aku.

Aku belajar dari situ sebab aku masih menebal rasa malu nak berguru. Aku belum kuat untuk dipandang rendah lagi, ya aku tahu belajar agama tidak boleh malu.

Tapi aku belum cukup kuat menghadapi benda tu sebab aku selalu terkenang disindir ustazah semasa sekolah menengah kerana tidak lancar mengaji.

Aku kini sudah menerima diri aku. Aku sudah belajar mencintai dan menghargai diri aku sendiri. Ya aku akui, aku damaged and broken, tapi aku positif aku akan sembuh suatu hari nanti. In sha Allah.

Jika kalian sudi, doakan aku ya. Aku mahu menjadi seorang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Niat aku adalah untuk menubuhkan yayasan kebajikan untuk anak anak mangsa dera mental, fizikal dan s3ksual seperti aku. Yang jiwa mereka rapuh bak sayap sang rama-rama.

Aku ingin membiayai kos-kos rawatan psikiatri anak-anak seperti ini pada usia mereka masih muda. Trauma seperti ini perlu dirawat dari peringkat awal. Agar nasib mereka kelak lebih baik dari aku.

Agar mereka tahu, masih ada jiwa yang berlapang dada mendengar cerita dan kisah mereka. Agar mereka tahu, mereka tidak bersendirian.

Saat ini aku masih bahagia sendiri dengan anak-anak. Aku akui aku agak skeptikal tentang lelaki-lelaki yang ingin mendekati aku. Pintu hati aku belum terbuka. Doakan aku bertemu jodoh lelaki yang baik-baik suatu hari nanti.

Yang menerima aku apa adanya. Yang boleh membantu membawa aku ke syurga. Aku tidak serik untuk berumahtangga kerana aku mahu mati kelak di dalam redha seorang suami. In sha Allah.

Terima kasih sudi membaca luahan pengalaman aku. Untuk yang senasib, jangan putus asa ya. Allah tidak akan membebani kita dengan sesuatu di luar keupayaan kita. Bersangka baik dengan Allah, pasti ada sinar di penghujungnya.

Syurga itu bukan percuma, kita perlu usaha untuk membuktikan adakah kita layak menghuninya. Moga Allah ampunkan dosa-dosa aku, dan terima taubatku. Aamiin.

Dari aku yang masih jahil,

– Helena (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *