Takut M4ti, Takut Juga Hidup

Hi assalamualaikum semua.

Sebagai pengenalan diri yang ringkas, saya merupakan seorang perempuan berumur 18 tahun.

Terdetik hati untuk menulis luahan yang sudah lama terpendam setelah membaca artikel yang ditulis oleh orang lain.

Saya selalu mempunyai perasaan ingin mati, saya rasa penat sangat. Bukannya saya hidup dalam kesusahan. Keluarga saya boleh dikatakan sempurna, cukup makan, selalu bersiar-siar dan lain-lain.

Tetapi saya tak tahu kenapa saya selalu rasa tak gembira. Ada sahaja masa saya gembira, tapi apabila rasa nak mati itu datang, memang saya rasa macam semua tak kena.

Walaupun keluarga saya dipandang tinggi oleh orang sekeliling, hanya saya sahaja yang tahu dosa-dosa mereka.

Mereka bukan orang yang selalu solat. Bapa saya kadang-kadang solat, ibu saya kerap juga solat tetapi dia juga pernah meninggalkan solat. Adik-beradik saya pula memang tak solat.

Disebabkan saya berada dalam keluarga ini, saya pun okay je lah dengan hidup macam ini. Sampai lah saya masuk SMK, saya berkawan dengan orang yang beragama.

Bukan dia suruh saya solat atau apa-apa. Tetapi saya suka cara dia hidup. Dia tak sokong saya membuka aurat, dia suruh saya berubah perlahan-lahan dan dia tidak menghina saya walaupun kami lain.

Jadi waktu PKP, saya mula solat, mula tutup aurat. Tetapi saya takut nak solat, takut akan pandangan ahli keluarga saya. Nak baca Al-Quran pun gelisah takut ada orang nampak.

Saya tak selesa. Bila bertudung, saya dipanggil “uztazah” oleh adik-beradik saya. Saya selalu berdoa agar mereka berubah. Saya benci kata-kata mereka.

Hari ini bertudung, hari esok membuka aurat. Lama-kelamaan saya rasa saya hipokrit. Saya selalu dalam hati mengkritik orang atas dosa mereka. Tetapi diri sendiri…

Sewaktu tingkatan 4, saya bersekolah di sekolah berasrama penuh yang terletak jauh dari rumah saya.

Di situ, macam-macam perangai lah boleh jumpa. Memang ada yang mencabar kesabaran saya. Boleh dikatakan ada masa saya stres dengan orang sekeliling.

Ada satu masa itu, saya sakit, dan macam-macam saya rasa, masa itu saya macam bodoh dalam pelajaran. Saya benci diri saya, saya hentak kepala saya pada dinding. Saya menelefon ibu saya, meluahkan kesedihan.

Saya minta dia bawa saya pergi terapi, bawa jumpa doktor psikiatri sebab saya rasa saya mempunyai tanda-tanda orang ADHD.

Tetapi ibu bapa saya memandang remeh tentang perkara yang berkaitan mental. Jadi saya pun hidup lah dengan seadanya.

Tetapi sekarang saya fikir, sampai bila saya nak rasa macam ini. Hidup dalam ketakutan, tak tahu nak apa.

Saya selalu fikir, “nak masuk syurga tapi malas beribadah.” Kerana persekitaran yang judgemental, saya pun rasa macam nak gila.

Hidup tanpa arah, buat dosa pun sudah rasa tidak berdosa. Sekurang-kurangnya kalau saya nak membuka aurat, hidup gembira tanpa peraturan, saya patut hidup sepuas hati.

Tapi saya tak gembira pun dalam hidup ini. Walaupun selalu mencari hiburan. Jadi saya rasa sia-sia hidup saya jika saya tak hidup dengan baik, jadi orang yang solehah.

Nak berubah bukan senang, saya selalu rasa terkurung dalam jiwa. Bilik selalu bersepah, hidup tidak terurus. Saya harap ada sesuatu yang dalam selamatkan saya. Saya penat hidup dalam dilema.

Takut-takut berjaya di dunia tidak dapat, berjaya di akhirat juga tidak dapat…

– Ila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *