Assalamualaikum. Hai, sebelum ni saya ada hantar luahan mengenai saya keguguran, (https://iiumc.com/saya-antara-yang-diuji/).
Terima kasih kepada pembaca yang memberi komen positif. Setiap satu saya baca jadikan penguat semangat.
Alhamdulillah, saya dah semakin sihat. Saya cuma nak sambung cerita pengalaman dekat hospital hari tu.
Kes saya ni dalam bahasa perubatan dipanggil “missed miscariage”, dimana dah disahkan keguguran tapi janin tak mahu jatuh dengan sendiri.
Isnin 21 oktober saya telah disarankan oleh doktor untuk warded. Perancangan awal doktor akan d&c (dilation & curettage) atau bahasa mudahnya cuci. Seram saya dengar.
Sehari sebelum warded saya dah menangis depan suami sebab saya tak pernah warded dan saya dah tahu pulak proses d&c macam mana, jadi saya sangat-sangat takut.
Ok, perangai saya ni apa sahaja prosedur rawatan yang bakal saya jalani, saya akan google dan cari di youtube. Sebab pertama saya nak faham apa yang berlaku dan kedua saya juga minat dengan dunia perubatan (ini cita-cita saya yang tak kesampaian lah).
Antara prosedur yang saya pernah jalani ialah rawatan root canal gigi, pembedahan kecil utk membuang gigi bongsu dan rawatan IUI.
Sambung cerita tadi, saya dah pun warded. Suami saya tak dapat hantar kerana kerja (tarikh rawatan bertukar jadi suami tak dapat teman) dan mak saya tolong hantarkan.
Jadi mak saya hanya dapat hantar depan kaunter pendaftaran ward sahaja, waris tidak dibenarkan masuk ke ruang rawatan sebelum saya di bawa ke bahagian wad obstetrik.
Dipendekkan cerita, doktor yang merawat saya ni sangat sibuk pada hari berkenaan dengan kes bersalin czer. Jadi doktor bagi peluang untuk janin mungkin gugur sendiri dengan cara induce (masuk ubat melalui faraj).
Ubat dimasukkan pada pukul 11 pagi dan saya melayan contraction yang semakin kuat sehingga waktu kemuncak contraction pukul 7 petang.
Suami saya datang melawat pukul 6:30 petang selepas balik kerja. Waktu tu saya tak lalu dah nk makan tapi suap la sekali sebab ada suami tengah teman tu. Paksa la telan walaupun tengah sakit.
Menangis saya depan suami sebab sakit dan perlu hadap bersendirian tanpa ada waris boleh teman bermalam. Lemahnya bila depan suami.
Akhirnya, lebih kurang pukul 7:50 malam kandungan telah jatuh sepenuhnya sewaktu saya dalam bilik air. Mujur saya sempat tadah dan proses sangat lancar tanpa sebarang kesakitan.
Tuan puan, nak bagi kandungan 2 bulan gugur pun dah sakit tak senang duduk. Betapa kuatnya para ibu menahan contraction bersalin 9 bulan. Subhanaallah.
Alhamdulillah saya tak perlu d&c kerana rahim sudah kosong. Keputusan ultrasound dan bacaan tekanan darah saya baik selepas keguguran dan tidak berlaku pendarahan yang banyak.
saya bersyukur satu episod ini dah berakhir. Tetapi, ada sesuatu lagi yang menunggu saya. Doktor kata ada ketumbuhan di kawasan rahim saya sewaktu ultrasound dibuat sebelum saya warded.
Doktor nasihatkan untuk selesaikan kes keguguran dahulu dan akan set temujanji lain sebulan kemudian. Doktor syak sama ada fibroid ataupun ovarian cyst.
Saya dan doktor sama-sama terkejut sebab sepanjang 5 tahun saya follow up doktor pakar kesuburan (hospital lain) tak ada pun rekod mengatakan ada ketumbuhan tu.
Selepas discharge, saya baca apa yang tertulis pada discharge note saya. Segala short form medical term saya google dan cari makna.
Dan ada 1 baris ayat ni yang bermaksud lebih kurang ini : sample dari bahagian ketumbuhan tersebut akan diuji utk mengenalpasti sama ada kanser atau bukan. Ya, ia kemungkinan tapi saya takut.
Episod baru akan bermula sebulan lagi, sama ada saya perlu dibedah atau tidak. Itu pun saya takut. saya bukan banyak fikir cuma takut. Sudah pasti saya doakan semua ini dipermudahkan dan saya sihat sahaja hendaknya.
Sejak saya discharge, saya mula mengalami rasa tidak selesa pada bahagian abdomen saya dan saya pernah tidak boleh bangun dari katil disebabkan terlalu sakit.
Apa-apa pun saya bersyukur suami saya sentiasa support saya. Andai kata saya makin tak selesa, mungkin saya perlu percepatkan temujanji dengan hospital untk mendapatkan rawatan dengan segera.
Semoga dipermudahkan dan tiada apa yang saya impikan selain diberi peluang untuk mengandung lagi dan melahirkan zuriat yang sihat dan selamat. Insyaallah.
Terima kasih atas kesudian membaca kisah saya.
– Eva (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit